Graduan Menganggur: Sampai Bila Harus Terbelenggu
Isu graduan menganggur sudah terlalu lama menghantui graduan-graduan di Negara ini. Saban tahun, isu lapuk ini terus dibincangkan tanpa satu solusi yang benar-benar kukuh dan berkesan dalam menangani maslaah ini. Statistik menunjukkan kadar pengangguran di kalangan graduan, menurun kepada 50,000 orang. Ini adalah hasil daripada program-program atau skim-skim yang diwujudkan oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah pengangguran ini.
Namun begitu, segala program dan skim yang dijalankan hanya bertujuan untuk mengurangkan jumlah pengangguran di kalangan graduan. Maksudnya, belum ada lagi satu penyelesaian yang jitu untuk menghapuskan pengangguran di kalangan graduan. Segala program dan skim yang dilaksanakan hanyalah sebagai satu langkah segera dan terdesak yang terpaksa diambil bagi memenuhi tuntutan graduan-graduan yang semakin hilang sabar dengan keadaan mereka.
Dengan penurunan kadar pengangguran itu, pihak bertanggungjawab belum boleh berpuas hati kerana perlu diingat, purata penambahan graduan setiap tahun di Negara ini adalah seramai 20,000 orang. Ini bermakna pada penghujung tahun ini, kadar pengangguran di kalangan graduan akan kembali meningkat. Jumlah pengangguran di kalangan graduan akan kembali berlambakan.
Pengangguran berpunca daripada jumlah peluang pekerjaan yang terhad dan tidak mencukupi untuk menampung jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun. Perkara ini perlu diambil serius. Walaupun kadar pengangguran di negara kita tidak berada pada tahap yang membimbangkan jika dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain, masalah pengangguran ini tidak wajar diambil mudah. Ini kerana, pengangguran yang berlaku adalah di kalangan graduan-graduan yang merupakan golongan yang bakal mencorakkan suasana negara dalam 10-20 tahun yang mendatang.
Peluang pekerjaan hanya akan dapat dibuka apabila pembangunan negara berjalan. Tetapi ia juga bergantung kepada corak pembangunan negara yang diamalkan. Pembangunan merupakan satu usaha wajib bagi sesebuah negara dalam memperbaiki dan memajukan ketamadunan sesebuah negara. Pembangunan boleh dilihat dari dua aspek iaitu daripada aspek perkembangan fizikal dan perkembangan sosial.
Jika diperhatikan pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa negara kita sememangnya sedang bergerak maju ke hadapan di dalam perkembangan fizikal, untuk setanding dengan negara-negara maju yang lain selaras dengan wawasan 2020 iaitu untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Namun yang demikian, apabila menyentuh pada aspek perkembangan sosial, negara kita tampak mengabaikannya. Ini dibuktikan dengan peluang pekerjaan yang amat terhad dan tidak mencukupi untuk menampung graduan-graduan yang berkelulusan sastera yang dihasilkan setiap tahun. Sedangkan perkembangan sosial inilah yang membentuk pembangunan dalaman sesebuah negara.
Supaya, pembangunan yang dijalankan tidak hanya pada fizikal yang boleh dikatakan sebagai bersifat kosmetik malah yang lebih perlu ialah untuk mengukuhkan pembangunan dalaman atau spiritual negara. Apabila perkembangan fizikal tidak selari dengan perkembangan sosial, natijahnya negara hanya akan digerakkan oleh sebuah kuasa pembangunan. Ini akan menyebabkan sebahagian lagi kuasa pembangunan negara lumpuh.
Kalau kita lihat pada hari ini, perkembangan industri ialah penyumbang utama kepada perkembangan fizikal Negara. Ia telah menjadi kuasa utama yang mengawal segala tindak-tanduk pembangunan negara. Ketidakseimbangan pembangunan negara inilah merupakan faktor utama yang telah mengakibatkan pengangguran di kalangan graduan khususnya bagi graduan-graduan yang berkelulusan sastera. Perkembangan industri telah menghadkan peluang-peluang pekerjaan bagi sebahagian besar graduan menganggur pada hari ini yang terdiri daripada lulusan bidang sastera. Ini kerana perkembangan industri menuntut graduan-graduan yang berkelulusan dalam bidang-bidang yang berasaskan sains dan teknologi. Ini telah menyebabkan insititusi-institusi pengajian tinggi bertindak untuk menambah bilangan tawaran ke bidang-bidang berasaskan sains dan teknologi dan dalam pada masa yang sama, mengurangkan jumlah tawaran ke bidang-bidang sastera.
Tindakan institusi-institusi pengajian tinggi ini jelas menunjukkan sifat utilitarianisme nya kerana terpengaruh dengan pembangunan Negara yang berat kepada perkembangan fizikal semata-mata. Institusi-institusi pengajian tinggi terpaksa bertindak sedemikian demi memenuhi keperluan atau kehendak pekerjaan semasa yang dimonopoli oleh perkembangan industri. Malah, pelajar-pelajar yang ingin menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi yang cenderung kepada bidang sastera juga terpaksa memilih bidang-bidang berasaskan sains dan teknologi yang berlawanan dengan minat dan kehendak meraka kerana terpaksa menuruti kehendak pekerjaan semasa.
Pengaruh perkembangan industri telah menyebabkan institusi-institusi pengajian tersasar daripada falsafah pendidikan Negara. Seterusnya, institusi-institusi pengajian tinggi hanya akan melahirkan golongan graduan yang dikhususkan untuk perkembangan fizikal Negara. Akhirnya, golongan graduan bidang sastera akan terbiar dan ini tentunya akan melambakkan jumlah graduan menganggur di masa akan datang.Seharusnya, perkembangan fizikal diseimbangkan dengan perkembangan sosial Negara. Perkembangan fizikal Negara yang bersifat kosmetik perlu diseiringkan dengan perkembangan sosial yang bersifat spiritualistik. Dengan mempertingkatkan usaha perkembangan sosial supaya seiringan dengan perkembangan fizikal, akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan-graduan bidang sastera.
Hakikatnya, masih banyak lagi bidang-bidang di dalam perkembangan sosial yang belum lagi diterokai. Kerajaan perlu memainkan peranan dengan membuka jalan kepada bidang-bidang yang terdapat di dalam perkembangan sosial ini kepada graduan-graduan menganggur pada hari ini dan yang akan datang. Kerajaan perlu memberi lebih banyak ruang kepada graduan-graduan bidang sastera untuk turut sama berkhidmat untuk membangunkan negara melalui perkembangan sosial. Ini merupakan antara usaha yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah pengangguran graduan dalam jangka masa panjang.
Mungkin tidak adil jika perbincangan hanya berlegar sekitar penyelesaian masalah pengangguran untuk golongan graduan berkelulusan sastera sahaja. Kerana realitinya, golongan graduan yang berkelulusan sains juga turut dibelenggu masalah pengangguran. Oleh yang demikian, beberapa cadangan diutarakan di sini untuk perhatian dan tindakan pihak yang berwajib dalam menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan graduan. Kebiasaannya, antara punca graduan-graduan tidak diterima bekerja ialah kerana kekurangan kemahiran, samada dalam kemahiran menguasai bahasa khususnya bahasa Inggeris, kemahiran mengakses informasi dan teknologi contohnya penguasaan penggunaan komputer, kemahiran keusahawanan untuk membolehkan para mahasiswa lebih bersifat berdikari apabila bergelar graduan kelak dan kemahiran-kemahiran yang lain.
Oleh itu, adalah baik jika kursus-kursus kemahiran yang diperlukan pada masa sekarang, diwajibkan di peringkat institusi-institusi pengajian tinggi. Langkah ini bukanlah bermaksud untuk memberikan bebanan kepada mahasiswa, tetapi lebih kepada membekalkan kemahiran-kemahiran yang secukupnya sebelum mahasiswa bergelar graduan. Memang terdapat kursus-kursus seperti ini yang telah pun dilaksanakan, tetapi tidak diwajibkan atau tidak dilaksanakan secara menyeluruh. Hanya golongan yang berminat atau yang terpilih sahaja diberikan keutamaan.
Bagaimanapun, baru-baru ini, langkah Kementerian Pengajian Tinggi yang diketuai oleh Dr. Shafiee Salleh selaku Menterinya mungkin agak keras dalam usaha membendung masalah pengangguran iaitu dengan mewajibkan program berkembar iaitu dwi ijazah dalam satu pengajian. Yang mana salah satu daripadanya adalah di dalam bidang yang diperlukan di dalam perkembangan fizikal negara. Langkah ini tampak terpengaruh dengan perkembangan industri di negara ini seperti yang disebutkan awal-awal perbincangan tadi. Walaupun ia adalah salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan graduan, tetapi ia akan memberi kesan sampingan yang tidak dapat dijangka di dalam pengajian mahasiswa. Pengajian yang sedia ada iaitu satu ijazah dalam satu tempoh pengajian pun sudah cukup berat, apatah lagi dengan mewajibkan ijazah kedua yang tentunya akan memberi tekanan dan bebanan kepada mahasiswa.
Pihak kementerian seharusnya mengambil kira pandangan dan sensitiviti golongan mahasiswa sebagai golongan sasar lengkah ini. Daripada mewajibkan ijazah kedua dalam satu pengajian, adalah lebih baik mewajibkan kursus-kursus kemahiran yang terpilih kepada mahasiswa sebagai satu bonus dan pengalaman semasa mencari kerja kelak.Pemberian kerja secara kontrak kepada golongan graduan menganggur juga boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah pengangguran.
Mungkin ia telah dilaksanakan sebelum ini, tetapi kesannya kurang memberansangkan kerana tidak ada kesedaran di pihak majikan yang tidak mendapati apa-apa manfaat kepadanya melalui sistem ini. Di pihak graduan, ia akan menjadi wadah untuk mereka menimba pengalaman dan membina kemahiran di dalam bidang pengkhususan mereka.
Manakala di pihak majikan pula, mereka mungkin mendapati mereka tidak beroleh sebarang manfaat selain daripada beroleh tenaga kerja. Tetapi perlu diingat, tujuan utama kita ialah untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang membelenggu negara pada masa ini. Oleh itu, pihak majikan di negara ini perlu diberikan kesedaran atau insentif supaya mereka akan lebih bertanggungjawab dalam memikul tugas ini. Dengan itu, pihak majikan akan lebih bersemangat dan berkesedaran untuk membantu golongan graduan yang menganggur ini dengan bimbingan dan sokongan.
Satu perjanjian boleh dibuat berhubung dengan tempoh masa kontrak, gaji, dan lain-lainnya. Hasil daripada usaha ini, golongan graduan yang diterima bekerja akan beroleh masa yang mencukupi untuk mereka menentukan hala tuju mereka, samada untuk terus bekerja di bawah majikan yang sama atau membuka syarikat sendiri melalui pengalaman yang diperolehi. Selain daripada itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan program pertukaran pekerja. Iaitu usaha untuk mengeksport tenaga-tenaga pekerja di dalam negara ke luar negara.
Melalui program ini, tenaga graduan-graduan yang menganggur di Negara ini boleh dimanfaatkan untuk kepentingan sejagat. Bukan itu sahaja, malah program ini sebenarnya boleh membawa kepada integrasi antarabangsa dan dalam pada masa yang sama menjadikan negara kita perintis kepada pembangunan serantau yang bersifat sejagat. Program seumpama ini boleh dimulakan di peringkat ASEAN, memandangkan negara-negara anggota ASEAN adalah di kalangan negara-negara membangun. Para pekerja yang dieksport ke luar negara boleh diserap di dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang sastera dalam membantu perkembangan sosial negara-negara anggota. Langkah ini amat sesuai dan selaras dalam usaha kerajaan untuk membantu kerajaan Negara Thailand dalam membanteras kegiatan pengganas di wilayah bergolak di Selatan Thailand dalam bentuk lembut iaitu dengan memenangi hati dan jiwa rakyatnya.
Ini boleh diaplikasi di dalam mana-mana bidang dalam membangunkan sesebuah negara. Program pertukaran pekerja ini juga boleh membawa impak yang besar dalam memastikan kesemua negara anggota ASEAN dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Seterusnya membina dan mengukuhkan kekuatan dari pelbagai aspek di blok Timur untuk mempunyai kemandirian dalam mendepani globalisasi dunia tanpa pergantungan kepada blok Barat.
Dalam pada masa yang sama, program-program dan skim-skim sedia ada untuk graduan menganggur yang telah dilaksanakan perlu diteruskan. Ia merupakan satu langkah segera yang bijak untuk menyelesaikan jumlah pengangguran yang sedia ada walaupun tidak secara keseluruhannya. Sehubungan dengan itu, segala program dan skim tersebut perlu digerakkan dengan lebih hebat dan meluas. Supaya nanti, kesannya akan lebih kelihatan dalam menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan graduan.
Perbincangan di atas mungkin lebih bersifat satu hala iaitu apa yang boleh dilakukan oleh pihak yang berwajib khususnya pemerintah negara dalam menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan graduan. Tetapi, kita tidak seharusnya terus-menerus hanya bergantung kepada pihak ini untuk menyelesaikan masalah penganguran graduan, kerana sebagai golongan mahasiswa yang digelar ilmuan, kitalah yang lebih perlu bersifat berdikari dalam menentukan hala tuju dan corak kehidupan kita.
Bagaimana mungkin kita digelar sebagai suara rakyat atau sebagai agen perobah masyarakat jika diri kita sebagai mahasiswa belum mampu untuk merobah sebab-sebab kemunduran dan masalah pengangguran yang melanda. Kita perlu sedar bahawa peranan besar kita untuk membangunkan negara mengikut acuan yang dikehendaki melalui panduan jalan yang lurus.
Oleh yang demikian, mahasiswa perlu lebih berkesedaran untuk tidak hanya disuap dengan bantuan, tetapi juga perlu lebih tahu dan faham akan tanggungjawab kita dalam meneruskan pembangunan negara dengan menggunakan segala kemahiran dan pengalaman yang kita perolehi semasa belajar di menara gading. Jika tidak, kita akan terus terbelenggu dengan masalah-masalah seumpama ini dan akhirnya tenggelam tanpa memberikan apa-apa sumbangan dalam membangunkan Agama dan Negara.
Comments
takutnye,tak keje!