RESOLUSI KONVENSYEN PENDIDIKAN PELAJAR ISLAM SARAWAK 2004

Menyedari hakikat bahawa masalah sosial dikalangan remaja di negeri Sarawak semakin meruncing dan memerlukan perhatian daripada semua pihak, maka Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) telah mengambil iniasiatif mengadakan Konvensyen Pendidikan Pelajar Islam Sarawak khusus untuk memberikan kesedaran kepada seluruh peserta mengenai barah sosial yang semakin parah. Justeru, konvensyen kali ini dapat dijadikan medan untuk peserta-peserta berpartisipasi dalam membincangkan tindakan dan aktiviti yang bersifat problem solving bagi menangani krisis sosial, budaya negatif dan hedonisme dikalangan generasi muda hari ini. Peningkatan kadar jenayah sebanyak 10 peratus di negeri Sarawak telah membuktikan kepada kita bahawa generasi muda hari ini perlu diselamatkan.
Sebagai sebuah badan penyelamat akhlak generasi muda, PERKEPIS memainkan peranan penting dalam menyuarakan pandangan pelajar mengenai isu sosial ini. Justeru, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) melalui Konvensyen Pendidikan Pelajar Islam Sarawak 2004 mengusulkan:

1. PERKEPIS menggesa pelajar-pelajar Islam khususnya di negeri Sarawak supaya bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kecemerlangan akademik tanpa mengabaikan kecemerlangan rohani, emosi dan jasmani selaras dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Negara Malaysia.

2. PERKEPIS menyeru seluruh tenaga guru di sekolah beriltizam memberikan contoh yang terbaik, menghazami dan mengamalkan etika perguruan dan memantau perkembangan pelajar bukan hanya merangkumi pencapaian akademik semata-mata tetapi meliputi sahsiah dan jati diri pelajar.

3. PERKEPIS menggesa masyarakat agar lebih prihatin dan turut menyumbang dalam menangani gejala sosial dengan membuat laporan terhadap sebarang kegiatan yang tidak sihat kepada pihak berkuasa.

4. PERKEPIS menggesa Kerajaan Negeri Sarawak supaya lebih prihatin dan mengambil berat tentang keadaan para pelajar Islam di Sarawak dari segi sahsiah dan akademik serta mengawal gejala sosial dikalangan generasi muda.

5. PERKEPIS menyeru ibu bapa supaya mengambil berat aspek pendidikan kekeluargaan dan mengawasi pergerakan dan aktiviti anak-anak di luar waktu persekolahan.

6. PERKEPIS menggesa badan-badan bukan kerajaan supaya bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran seperti Kempen Gaya Hidup Murni, Kempen Tak-nak Rokok, program-program dan bengkel-bengkel untuk melibatkan golongan remaja dalam aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

7 PERKEPIS menggesa pihak kerajaan supaya memantau dan mengawal siaran televisyen yang mempunyai unsur ganas, lucah, tahyul yang kini semakin berleluasa dan memberi kesan kepada generasi muda.

8. PERKEPIS menggesa pihak berkuasa kerajaan negeri Sarawak seperti polis, jabatan agama dan sebagainya supaya membuat rondaan di tempat-tempat sunyi dan gelap serta kawasan penginapan mahasisiwa IPTA dan IPTS dari semasa ke semasa terutamanya di waktu malam untuk mengelakkan maksiat.

9. PERKEPIS menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas pelumba-pelumba haram yang sering beroperasi di sekitar jalan Dewan Undangan Negeri dan bangunan MASJA terutamanya pada malam ahad sekitar jam 2 pagi.

10. Memantapkan fungsi rakan sebaya di semua sekolah-sekolah dalam membantu rakan-rakan sekolah yang bermasalah dengan mengamalkan konsep “Rakan Sebaya Positif”.
Post a Comment