Tsunami landa Malaysia !!!

Angka kematian hampir mencecah 25,000 manusia(Metro, 28/12/04) di 9 buah negara (Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia, Bangladesh, Indonesia, Kepulauan Maldives, Myanmar dan Somalia) akibat badai Tsunami yang melanda pantai-pantai bandar tersebut. Rantau Asia dicemaskan dengan kejadian yang seolah-olah mimpi ngeri yang tidak disangka-sangka.

Terutamanya Malaysia, sebagai sebuah negara di luar lingkaran bencana alam seperti gempa bumi dan gunung berapi sudah tidak dapat bersenang hati setelah kejadian buruk ini.

Rakyat Malaysia amat terkejut dengan berita cemas dan mendebarkan ini kerana khuatir akan keselamatan masing-masing kerana sebelum ini beranggapan tidak ada apa yang perlu ditakutkan dengan gempa bumi dan gunung berapi. Mangsa-mangsa Tsunami di Malaysia juga tidak menjangkakan bala buruk ini. Amat pilu hati apabila membaca berita di dada-dada akhbar berhubung dengan mangsa-mangsa tsunami yang sedang berkelah dan berekrasi di tepi pantai tanpa mengetahui bencana yang akan menimpa. Turut menyedihkan lagi apabila rakyat kita di kalangan nelayan yang bukan sahaja kehilangan sanak keluarga malah seluruh rumah kediaman dan bot-bot punca pencarian.

Sesungguhnya ini merupakan satu bencana yang di luar jangkaan yang akan berlaku di negara kita. Malah bencana ini mungkin akan menjadi isu yang akan mengubah aturan minda rakyat yang sebelum ini yang berasa selamat di negara ini.

Seperti apa yang diberitakan di akhbar dan saluran berita TV, kemungkinan akan berlaku gempa bumi susulan daripada gempa bumi yang mengakibatkan tsunami ini. malah, penulis juga mempunyai satu teori bahawa gempa bumi yang berskala 6.1 skala rikter yang mengakibatkan tsunami ini adalah gempa bumi susulan daripada gempa bumi yang berlaku di benua Australia yang berskala 8.1 skala rikter yang dikatakan sebagai gempa bumi terkuat selepas gempa bumi yang diakbiatkan oleh Gunung Krakatoa pada tahun 1883 dahulu. Jika teori atau lebih elok penulis ceritakan sebagai andaian penulis ini benar, maka plat-palt bumi yang bergeseran di Australia sebenarnya berhubung dengan plat-plat bumi yang bergeseran di tengah Lautan yang mengakibatkan tsunami tersebut. Andaian penulis ini mungkin salah. Tetapi adalah wajar untuk kerajaan Negara masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga di tahap maksimum dengan mengerahkan jabatan-jabatan yang berkaitan untuk memantau perkembangan plat-plat bumi yang bergeser di kawasan sekitar gempa bumi yang berlaku di Australia dan di Lautan tempoh hari.

Apa-apa pun, hanya takziah yang dapat diucapkan kepada keluarga-keluarga mangsa yang terbabit di samping bantuan kewangan dan tenaga yang dapat dihulurkan. Penulis menyahut seruan yang dikeluarkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk menggesa kerajaan Malaysia memotong bajet yang dikeluarkan untuk sambutan tahun baru untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa Tsunami. Sesungguhnya kerajaan lebih bijak dalam menentukan keutamaan yang paling perlu buat masa ini. Dengan kehilangan jiwa, kerosakan harta dan kehilangan punca rezeki rakyat yang menjadi mangsa tsunami, adalah perlu untuk kebajikan mereka diuatamakan daripada meraikan Tahun Baru dengan suasana meriah di kala ada di kalangan rakyat kita yang menderita. Penulis juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghulurkan segala apa bantuan yang terdaya untuk membantu mangsa Tsunami ini. Kejadian yang pertama ini mungkin bukan akhirnya, di masa yang lain mungkin kita adalah mangsanya.


Comments