Memerdekakan Persatuan Belia

Kejayaan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mempertahankan kerusi Presiden World Assembly of Youth baru-baru ini atas tiket Majlis Belia Malaysia (MBM) di Namibia telah menimbulkan persoalan-persoalan yang bertubi-tubi di fikiran penulis. Mungkin sahaja, persoalan-persoalan yang timbul ini merupakan jawapan kepada permasalahan yang timbul di kalangan persatuan-persatuan belia khususnya di Malaysia.

Jika kita lihat suasana persatuan-persatuan belia samada di Malaysia, rata-rata kerusi Presiden diduduki oleh individu-individu yang menjawat jawatan penting di dalam kerajaan Negara atau Negeri masing-masing. Lihat sahaja contoh-contoh yang terdapat di Malaysia. Tan Sri Abdul Taib Bin Mahmud yang menduduki kerusi Yang Di Pertua PERKIM setelah sekian lama seperti mana beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Sarawak sehingga sekarang. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sendiri adalah Ketua Menteri Melaka, dan juga turut menduduki kerusi Pengerusi Kelab Belia 4B sehingga sekarang. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo turut menduduki kerusi Presiden MBM. Turut tidak ketinggalan, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Luar Negara kini juga merangkap Presiden MAYC.

Tidak dinafikan bahawa pemilihan individu-individu yang telah disebutkan adalah berdasarkan semangat demokrasi. Malah kejayaan mereka untuk menduduki kerusi tertinggi sesebuah persatuan adalah bukti bahawa mereka dipercayai oleh ahli-ahli untuk memimpin persatuan. Namun, adakah semangat demokrasi yang ditunjukkan itu adalah dalam keadaan sedar dan insaf bahawa individu yang dipilih itu betul-betul atas dasar kelayakan untuk memberikan fokus dan tumpuan dalam memajukan persatuan dan belia secara keseluruhannya? Dan bukannya atas dasar nama dan kemasyhuran individu-indidvidu semata-mata?

Apa yang ingin diketengahkan di sini adalah kewajaran individu-individu yang telah menjawat jawatan di dalam kabinet kerajaan Negeri mahupun Persekutuan masih lagi mengekalkan kerusi mereka di dalam persatuan-persatuan belia.

Sememangnya dari segi kepimpinan dan keterampilan, individu-individu yang telah menjawat jawatan dalam kabinet kerajaan tidak boleh dipertikai. Jika tidak, masakan mereka boleh diberikan kepercayaan untuk mentadbir Negeri atau Negara. Tetapi, apabila sudah terlalu banyak fokus dan tanggungjwab, sudah pasti komitmen yang diberikan kepada sesuatu tanggungjawab akan terpaksa diseimbangkan. Contohnya jika individu A memegang jawatan di dalam kerajaan sebagai Timbalan Menteri dalam masa yang sama merangkap Exco sayap Parti dan turut menduduki kerusi Pengerusi sesebuah persatuan, sudah tentu komitmen yang pada asalnya 100 % terpaksa dibahagikan mengikut keutamaan tanggungjawab yang dipikul. Mungkin dalam nisbah 50:30:20 atau mungkin sahaja 100:0:0.

Jadi nampak di sini bagaimana komitmen yang diberikan seharusnya penuh untuk memimpin persatun dalam memajukan persatuan dan belia tetapi terpaksa berkongsi dengan komitmen terhadap tanggungjawan kepada perkara lain. Lebih-lebih lagi individu yang menjawat jawatan di dalam kebinet kerajaan, tentu sahaja tanggungjawab terhadap Negeri atau Negara adalah lebih utama.

Soal komitmen inilah yang perlu diperhalusi oleh ahli-ahli persatuan khususnya persatuan belia dalam memilih individu-individu untuk memimpin persatuan. Kenapa perlu memilih pemimpin yang hanya boleh memberikan 50 % atau 30 % komitmen sedangkan ada lagi pemimpin yang boleh memberikan 100 % komitmen kepada persatuan. Pastinya, selain daripada individu-individu yang memegang jawatan di dalam kabinet kerajaan, masih ada lagi pemimpin-pemimpin muda yang layak dan berkebolehan serta dapat memberikan komitmen 100 % untuk memegang tampuk kepimpinan persatuan.

Soal kedua yang ingin diketengahkan ialah soal kebebasan untuk menentukan hala tuju pemikiran dan perjuangan persatuan belia. Apabila individu-individu yang memegang jawatan di dalam kabinet kerajaan turut memegang kerusi pimpinan persatuan belia, ia seolah-olah telah membina sebuah “penjara maya” untuk memenjarakan idealisme ahli-ahli persatuan. Ahli-ahli persatuan belia ini seolah-olah hanya sebagai pak turut dalam menerima dan mentafsirkan polisi-polisi atau tindakan-tindakan kerajaan dari semasa ke semasa. Ini kerana turut terdapat pemimpin kerajaan di dalam kepimpinan persatuan. Ini tidaklah bermaksud untuk mengatakan bahawa persatuan-persatuan belia perlu merdeka untuk menentang keputusan kerajaan. Tetapi, perlulah difikirkan bersama, sekiranya suasana “penjara maya” ini diteruskan, belia-belia di Malaysia akan selama-lamanya menjadi pak turut yang tidak mempunyai daya pemikiran yang kritis dan kreatif.

Kerana itulah, maka pimpinan persatuan belia perlulah dibebaskan dariapada pengaruh atau telunjuk jari kerajaan, bukan untuk menentang tetapi untuk bertindak sebagai pemerhati dan pentafsir yang baik dalam meneliti polisi pentadbiran kerajaan. Ini juga akan menyumbang kepada sistem cek dan seimbang kerajaan dalam mentadbir Negeri atau Negara. Sudah tentu apa-apa yang difikirkan baik akan perlu disokong dan diperjuangkan dan apa-apa sahaja yang dilihat sebagai tidak baik akan ditegur dan juga diperjuangkan.

Isu ini perlu diberi perhatian yang serius kerana generasi belia yang hanya pandai menurut tidak akan mampu untuk mentadbir Negara suatu hari kelak. Kerana mereka ini tidak dilatih untuk berfikir sendiri. Natijahnya, akan terhasillah generasi belia yang berfikiran sempit dan berpandangan terhad. Jadi untuk menjamin generasi belia yang berupaya untuk menggegar dunia, mereka perlu untuk dilatih berdikari dan merdeka dalam beridealisme.

Soal ketiga yang ingin dibicarakan di sini ialah berkenaan tentang had umur dan tempoh masa dalam kepimpinan persatuan belia. Hari ini kita lihat, rata-rata persatuan belia dipimpin oleh generasi belia yang akan meningkat ke generasi dewasa. Memang perlu untuk generasi di peringkat ini dimanfaatkan pengalamannya untuk memimpin persatuan. Tetapi, tidak selamanya.

Suasana tidak sihat di kalangan persatuan belia hari ini ialah ada di antara pemimpin-pemimpin yang persatuan belia yang sudar berumur 40 tahun ke atas dan ada juga di kalangan mereka ini yang sudah menduduki tampuk kepimpinan persatuan belia sejak berkurun lamanya. Ahli-ahli termasuk pimpinan persatuan akan meningkat usianya dari tahun ke tahun. Maka pemikiran juga akan turut matang dan tua. Sudah tentu pemikiran yang tua dan matang tidak lagi sesuai dengan pemikiran muda generasi alaf baru. Pendekatan generasi lama sudah pasti berbeza dengan generasi baru.

Kerana itulah proses pemudaan perlulah sentiasa berjalan di dalam sesebuah persatuan khususnya persatuan belia. Bukan hanya untuk menyediakan pemimpin-pemimpin muda untuk memegang tampuk kepimpinan persatuan, tetapi juga untuk menjamin pendekatan yang digunakan kepada generasi baru mendatang akan jadi lebih sesuai. Idea-idea juga akan lebih segar selaras dengan arus pemikiran dunia. Hasilnya, persatuan akan bersifat fleksibel dalam mendepani generasi-generasi belia mendatang.

Persatuan-persatuan belia merupakan wadah yang amat penting untuk melatih dan mengasah daya kepimpinan para belia di Malaysia di samping mendedahkan mereka dengan pengalaman berpersatuan yang tentunya akan banyak membantu mereka dalam meneruskan kesinambungan tamadun Negara. Sudah pasti isu-isu yang diketengahkan di atas perlu untuk diambil kira oleh semua pihak yang terlibat dalam menjamin kegemilangan Negara pada masa akan datang. Generasi yang lebih awal perlulah memikirkan dan mengutamakan masa depan Agama dan Negara serta menolak ke tepi kepentingan peribadi untuk melihat kesinambungan tamadun yang kita bina terus berdiri utuh di persada antarabangsa. Generasi muda belia perlu diberikan ruang dan peluang untuk membangun dan menyediakan diri untuk menerima beban tanggungjawab Agama dan Negara.

Comments