Penubuhan ICM wajar ditolak

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (ICM) wajar ditolak. Saya merasakan bahawa cadangan tersebut tidak hanya boleh ditangguh malah perlu untuk ditolak terus oleh pihak kerajaan. Dalam hal ini, cadangan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang supaya penubuhan ICM ini ditolak adalah selari dengan kehendak majoriti Muslim di Malaysia. Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mat Zin sendiri dengan kerasnya menolak cadangan tersebut dalam reaksi awalnya berkenaan hal ini. Timbalan Perdana Meneteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga memberikan pandangan yang menggambarkan suara hati Muslim di Malaysia yang menyatakan bahawa cadangan ini tidak mengambil berat sensitiviti agama Islam di Malaysia.

Cadangan penubuhan ICM sebenarnya telah menimbulkan pelbagai keraguan dan kekhuatiran tentang tugas-tugas dan bidangkuasa suruhanjaya itu nanti sekiranya diluluskan. Fobia ini tampak jelas berlaku di kalangan Muslim yang bimbang sekiranya status Islam sebagai agama rasmi tercabar. Kebimbangan di kalangan Muslim di Malaysia ini dapat dilihat dengan penarikan diri dan pemboikotan “Persidangan Ke Arah Mewujudkan ICM” tempoh hari oleh badan-badan atau persatuan-persatuan Islam yang besar di Malaysia seperti IKIM, ABIM, JUST, PUK dan lain-lainnya. Pihak penganjur tidak boleh menafikan bahawa mereka sebenarnya tidak didokong oleh badan-badan Islam yang mewakili suara majoriti Muslim di Malaysia. Keterlibatan Sisters In Islam dan Forum Iqra’ tidak dapat dijadikan bukti bahawa perjuangan mereka disokong oleh majoriti Muslim kerana perjuangan Sisters In Islam mempunyai konfliknya tersendiri dengan Muslim di Malaysia dan di kalangan badan-badan dan jabatan-jabatan Islam kerajaan.

Setakat ini, selain daripada kenyataan-kenyataan ringkas di akhbar, objektif penubuhan ICM masih lagi kabur. Tambahan lagi dengan pembiayaan oleh Yayasan Konrad Adenauer yang namanya tidak dikenali di kalangan rakyat Malaysia, menampakkan bahawa penubuhan ICM ini seolah-olah mempunyai agenda-agenda tersembunyi yang boleh mengancam kedudukan Islam di Malaysia. Penglibatan peguam yang mewakili kes murtad Aishah Bukhari dan beberapa individu lain turut membuktikan bahawa suruhanjaya yang dicadangkan ini seperti ingin membela dan mengiktiraf golongan Muslim yang murtad di Malaysia. Ini akan lebih memburukkan keadaan dan akan meningkatkan lagi kes-kes murtad dari Islam di Malaysia.

Penubuhan ICM dilihat tidak lebih hanya untuk mencampuri urusan agama dengan memberikan pandangan dan nasihat kepada kerajaan berhubung dengan sesuatu perkara atau konflik yang timbul di antara dan dalam agama. Saya tidak melihat relevannya penubuhan ICM ini di dalam suasana seperti di Malaysia. Setakat ini, kita tidak dengar pun timbulnya konflik antara agama yang mengancam keselamatan awam. Suasana kepelbagaian agama di Malaysia telah berlangsung sejak hampir 5 dekad, tetapi tidak langsung timbul konflik antara agama melainkan daripada peristiwa pada tahun 1969 yang sebenarnya berpunca daripada ketegangan antara kaum. Jadi, tidak ada perlunya kita untuk mempunyai sebuah suruhanjaya untuk menaungi agama-agama di Malaysia dengan memberikan nasihat-nasihat tentang apa yang patut dan tidak patut sesebuah agama itu buat. Kerana setiap agama di Malaysia ini sudah mepunyai sistem dan cara hidup tersendiri dan boleh mengatur kehidupan penganutnya mengikut ajaran dan fahaman agama masing-masing. Contohnya Islam, kita sudah ada Majlis Fatwa Kebangsaan yang akan memutuskan hukum-hukum fiqh mengikut peredaran semasa. Selain itu, kita juga telah mempunyai satu sistem “check and balance” dengan kepelbagaian institusi dan badan Islam bukan kerajaan yang akan sentiasa menasihat dan memantau perkembangan dan pembangunan Islam di Malaysia.

Yang diperlukan oleh kita sekarang ialah dialog antara agama di Malaysia dengan kebebasan setiap agama untuk memperlihatkan apa yang diajar dan diamalkan di dalam agama masing-masing. Bukannya dengan mewujudkan sebuah suruhanjaya yang akan menentukan perbincangan dan meletakkan syarat-syarat untuk dipatuhi oleh agama-agama di Malaysia. Selari dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dipentingkan ialah persefahaman di antara penganut-penganut agama di Malaysia. Dialog antara agama adalah salah-satu cara untuk memahami apa yang terdapat di dalam agama lain. Ini merupakan satu usaha pendidikan kepada rakyat dalam menghadapi suasana kepelbagaian agama di Malaysia dengan harmoni tanpa timbulnya kekacauan.

Saya juga ingin melahirkan kekecewaan dengan salah satu isu yang diperbincangkan di dalam “Persidangan Ke Arah Mewujudkan ICM” yang turut memasukkan perkara untuk melupuskan Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, berhubung dengan larangan untuk membawa agama atau fahaman lain kepada penganut agama Islam. Seharusnya ahli-ahli persidangan sudah faham akan kepentingan dan keutamaan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Setelah hampir 5 dekad kemerdekaan Negara berbekalkan kontrak sosial untuk menjamin kesejateraan hidup rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia, namun masih wujud golongan yang ingin mengancamnya. Semua pihak harus jelas, Islam adalah agama rasmi Malaysia selaras dengan Islam sebagai agama yang paling lama bertapak dan memberi kesan terhadap ketamadunan di Malaysia. Saya turut ingin melahirkan kebimbangan, sekiranya diluluskan penubuhan ICM ini, maka tidak mustahil mereka akan turut mencadang dan mendesak atas nama mereka sebagai sebuah suruhanjaya untuk dimansuhkan Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berhubung dengan perkara Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Saya secara peribadi melihat usaha penubuhan ICM ini seolah-olah ada kaitan dengan usaha gerakan Islam Liberal yang semakin berkembang sekarang ini. Malah, dengan pembiyaan oleh sebuah badan yang namanya cukup asing di kalangan rakyat di Malaysia, makin menampakkan bahawa ada usaha-usaha dari luar untuk mengancam dan seterusnya meletakkan Islam sebagai agama bawahan.

Majlis Peguam yang terlibat dalam cadangan penubuhan ICM ini seharusnya lebih peka dan sensitif dengan isu-isu yang bakal timbul berkaitan dengan keharmonian antara agama di Malaysia. Mereka seharusnya lebih tahu tentang status Islam sebagai agama rasmi di Malaysia di samping mengetahui apa yang patut dan tidak patut dilakukan di dalam Islam.
Pihak kerajaan digesa untuk meneliti dan mengakaji isu penubuhan ICM ini secara terperinci dengan melibatkan badan-badan Islam bukan kerajaan dan institusi-insitusi atau jabatan-jabatan Islam yang sedia ada. Jangan kerana demokrasi yang kita junjung, agama yang kita genggam tergadai begitu sahaja.

Saya menyeru supaya semua rakyat Malaysia khususnya Muslim untuk turut sama menolak penubuhan ICM ini. Kita tidak perlukan sebuah suruhanjaya untuk menaungi kita dan mengarah kita tantang apa yang perlu dan tidak perlu kita buat. Islam itu sendiri adalah syumul dan mulia, tidak ada yang lebih tinggi dan mulia selain daripada Islam, maka usaha-usaha manusia untuk menjadikan Islam selari dengan kehendak dan nafsu tuntutan manusia seharusnya ditentang. Kemuliaan Islam harus kita pertahankan demi masa depan Islam yang telah Allah s.w.t. janjikan.

Comments