Perhalusi Cadangan Graduan Menganggur Jadi Guru

Cadangan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafiee Salleh supaya graduan menganggur diserap menjadi tenaga pengajar bagi subjek-subjek yang kekurangan guru di sekolah-sekolah perlulah diperhalusi. Walaupun pada hakikatnya cadangan tersebut boleh mengurangkan jumlah pengangguran di kalangan siswazah dan mengisi kekosongan tenaga pengajar di sekolah, tetapi ia boleh memberikan impak yang negatif kepada sistem pendidikan negara.

Bidang pendidikan bukanlah bidang yang boleh dipandang remeh, kerana pendidikan memainkan peranan penting di dalam pembentukan masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila kita berbicara tentang pendidikan di peringkat sekolah menengah. Kerana di peringkat umur inilah para pelajar mula mempelajari ilmu kehidupan dalam membangunkan diri untuk menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik teapai turut cemerlang dari segi sakhsiah. Guru-guru bukan sahaja diharapkan untuk mengajar para pelajar tentang ilmu akademik, tetapi turut diharapkan untuk mengajar ilmu kehidupan. Kerana itulah para guru tidak hanya dilihat sebagai seorang guru, tetapi sebagai ibu dan bapa kedua bagi para pelajar.

Profesyen perguruan bukanlah profesyen murahan yang boleh dipermainkan, kerana para guru adalah golongan yang sepatutnya mendapat tempat yang tinggi di kalangan masyarakat. Adalah tidak tepat untuk kita membiarkan jawatan sebagai guru diisi oleh orang-orang yang tidak selayaknya. Tidak bermaksud bahawa graduan menganggur tidak layak menjadi guru. Kerana mereka sebenarnya telah membuktikan bahawa mereka berupaya menggenggam segulung ijazah. Cuma, tidak semua orang berminat untuk menjadi guru. Dan bukan semua yang menjadi guru berminat untuk mendidik para pelajar dengan ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk manjadi seorang insan yang cemerlang akademik dan sakhsiahnya. Ada di kalangan guru yang hanya berminat untuk mengajar semata-mata kerana duit atau mungkin hanya kerana profesyen guru sahaja yang tinggal untuknya. Kita khuatir sekiranya graduan menganggur yang diserapkan untuk menjadi tenaga pengajar, awal-awal lagi telah menanam “mindset” di dalam minda mereka bahawa mereka menjadi guru kerana tidak ada pekerjaan lain lagi.

Sekiranya graduan-graduan menganggur diberikan lesen bebas untuk diserapkan menjadi guru-guru, tindakan ini seolah-olah kita sedang menggadaikan nasib para pelajar. Malah, harapan dan impian Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang mahukan sistem pendidikan di negara diubah dan diserapkan lebih nilai holistik untuk menghasilkan insan yang serba boleh mungkin akan tergadai. Sesungguhnya harapan murni Menteri Pelajaran sebenarnya mewakili harapan majoriti para guru di Malaysia yang mahukan para pelajarnya menjadi insan yang berguna untuk Agama dan Negara. Para pelajar adalah benih-benih yang baru mula tumbuh. Mereka perlulah dididik dan dibimbing dengan didikan yang yang betul dengan ikhlas. Supaya mereka akan berupaya memperkasa diri menjadi insan-insan yang membentuk sebuah masyarakat madani.

Oleh yang demikian, graduan-graduan yang hendak diserapkan sebagai tenaga pengajar di sekolah-sekolah perlulah ditapis dan dipilih dengan teliti. Supaya hanya golongan yang benar-benar layak sahaja diberikan tanggungjawab sebagai guru. Untuk mengisi kekosongan guru, mereka bukan sahaja perlu untuk menjalani Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, malah mereka perlu membuktikan bahawa mereka benar-benar bersemangat untuk mendidik dan membimbing para pelajar. Graduan-graduan menganggur yang diserapkan menjadi tenaga pengajar di sekolah-sekolah perlulah di kalangan mereka yang benar-benar berminat untuk menyumbang bakti di dalam bidang perguruan. Ini adalah untuk menjamin kemurnian sistem pendidikan negara di samping berupaya untuk merealisasikan objektif pendidikan yang mahu menghasilkan pelajar yang serba boleh, bukan sahaja cemerlang di dalam ilmu akademik, malah cemerlang dari segi sakhsiah.

Graduan-graduan menganggur memang perlu diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan kebolehan diri. Tetapi, sikap meraka yang hanya menantikan bantuan daripada kerajaan perlulah ditegur. Mereka seolah-olah tidak berupaya untuk berdikari untuk menentukan hala tuju kehidupan sendiri. Para graduan perlu sedar, status mereka di mata masyarakat adalah tinggi. Golongan lepasan ijazah diumpakan sebagai perwira masyarakat yang boleh menyumbang jasa dan bakti. Maka, para graduan perlulah membuktikan bahawa mereka sebenarnya adalah perwira.

Comments

Anonymous said…
http://formulabuatduit-faizul.blogspot.com

dptkan laporan dan teknik menjana income dari internet secara PERCUMA! di sini..cpt rebut ilmu ini kerana sgt berguna dan ianya PERCUMA!

http://formulaluarbiasa.com/recommends/joe154