Selamat Hari Guru

Sambutan Hari Guru tanggal 16 Mei saban tahun sebenarnya tidak mencukupi untuk masyarakat keseluruhannya berterima kasih dan menghargai segala sumbangan jasa dan bakti yang telah para guru curahkan. Tanggal 16 Mei ini hanyalah sebagai satu simbolik pengiktirafan kepada golongan pendidik ini yang diangkat tinggi dan mulia di dalam carta sosial masyarakat.

Mungkin pada umumnya, para guru hanya dilihat sebagai golongan yang semata-mata mengajar di sekolah-sekolah. Namun pada hakikatnya peranan guru bukanlah terhad di sekolah-sekolah sahaja, malah masyarakat keseluruhannya. Profesyen perguruan menuntut setiap guru bukan sahaja untuk menjadi penyampai ilmu pengetahuan malah lebih daripada itu. Para guru adalah contoh ikutan masyarakat yang belajar bukan sekadar ilmu pengetahuan malah nilai-nilai mulia dan pengalaman sebagai bekal menjalani kehidupan.

Sumbangan para guru di dalam usaha pembinaan dan perkembangan ketamadunan Negara seperti yang tampak pada hari ini bukanlah sesuatu yang kecil. Negara kita yang suatu ketika dahulu dirobek maruah dan dipijak jatidirinya, kini sudah upaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Negara-negara dunia yang lain, malah dipandang tinggi. Para gurulah yang memainkan peranan penting sebagai penggerak utama jentera pendidikan Negara dalam membentuk masyarakat majmuk untuk menjadi masyarakat yang bersatu dan berkeupayaan untuk memimpin Negara. Negara akan terus dihormati dan disegani dengan terlahirkan masyarakat yang seimbang dan serba boleh. Ini semua bermula daripada pendidikan yang para guru gerakkan.

Para guru memang selayaknya untuk diangkat tinggi dan dimuliakan oleh masyarakat. Peranan yang dimainkan oleh para guru adalah cukup penting dalam menjamin survival ketamadunan Negara untuk terus dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Para guru bukan sahaja berperanan sebagai perantara di dalam proses penyampaian ilmu tetapi juga sebagai murobbiy yang bertindak membentuk masyarakat mengikut acuan agama melalui penerapan nilai-nilai mulia. Oleh kerana itulah keseimbangan di antara proses pendidikan formal dan informal merupakan di antara peranan penting yang perlu dimainkan oleh para guru dalam menggerakkan sistem pendidikan Negara. Ini adalah penting dalam melahirkan masyarakat yang berilmu dan bersakhsiah tinggi.

Para guru harus terus yakin dan percaya akan kemurnian tugas yang dipikul. Perjuangan memartabatkan masyarakat Negara sudah menjadi satu matlamat yang pasti dan perlu dilaksanakan. Pendidikan merupakan faktor terpenting dalam melahirkan masyarakat yang berilmu dan bersakhsiah tinggi. Mahu tidak mahu, semua pihak perlu mengakui bahawa para gurulah yang menjadi sandaran harapan untuk memikul tanggungjawab pendidikan ini. Masa depan kegemilangan Negara sebenarnya terletak di tangan para guru.

Selaras dengan tema Hari Guru tahun ini “Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan”, para guru perlu untuk terus memajukan kualiti diri agar sentiasa selari dengan kehendak semasa. Ini penting untuk memastikan mesej pendidikan yang disampaikan dapat diterima oleh masyarakat. Dengan kualiti sebegitu, para guru akan terus maju dalam memperjuangkan cita-cita besar untuk melahirkan masyarakat yang terbaik dan seterusnya mencipta kegemilangan Negara.

Oleh itu, masyarakat perlu sedar, sejarah Negara kita pada hari ini adalah hasil daripada jasa para guru yang lepas. Dan pastinya sejarah Negara kita di masa hadapan adalah terletak di tangan para guru di hari ini. Selamat Hari Guru buat semua golongan pendidik seluruh Negara. Teruskan perjuangan pendidikan ini dengan penuh keikhlasan dan iltizam tinggi demi masyarakat yang lebih gemilang.

Comments