Kesal Kenyataan Salah oleh Panel Jemputan di Radio IKIM.fm

Khamis, 26 Mei yang lalu, saya terkesima sebentar semasa saya sedang mendengar perbincangan di dalam slot Dunia Ekonomi di siaran Radio IKIM.fm. oleh DJ bertugas pada waktu itu bersama dengan panel jemputan, En. Shahreza. En. Shahreza yang saya kira sebagai salah seorang profesional di dalam bidang ekonomi sedang mengulas tentang filem terbaru di pawagam “Kingdom of Heaven” di hujung perbincangan tersebut. Filem yang mengisahkan tentang Perang Salib di antara tentera Kristian yang dikenali sebagai “Crusaders” menentang tentera Islam di bawah pimpinan Salehuddin Al-Ayyubi. Di dalam ulasan beliau, saya terkejut apabila beliau menyatakan bahawa melalui filem tersebut, masyarakat dunia dapat sedar bahawa “tidak semua yang Barat bawa adalah baik dan tidak semua yang Islam bawa adalah jahat”. Perkara ini boleh dirujuk dengan pihak pentadbiran Radio IKIM.fm yang kemungkinan besar ada menyimpan rakaman perbincangan tersebut.

Kenyataan pertama beliau tentang tidak semua yang Barat bawa adalah baik, dapat saya fahami dengan terang. Tetapi apabila beliau menyatakan bahawa tidak semua yang Islam bawa adalah jahat, seolah-olah menggambarkan bahawa terdapat ajaran “jahat” di dalam Islam. Saya terkejut, bagaimanakah seorang professional Islam boleh mengeluarkan kenyataan sebegini yang boleh merosakkan pemahaman golongan Muslim yang mendengar perbincangan tersebut tentang Islam itu sendiri. Dan dalam masa yang sama boleh menyebabkan wujudnya pendangan negatif dan salah faham terhadap Islam oleh golongan bukan Islam.

Sebagai seorang Muslim, saya yakin dan percaya bahawa Islam sama sekali tidak pernah dan tidak akan membawa ajaran yang bersangkut-paut dengan kejahatan. Islam sebagai agama wahyu yang suci dan syumul, membawa ajaran yang menganjurkan kebaikan dan kesejahteraan.

Saya merasakan kenyataan yang dikeluarkan oleh En. Shahreza mungkin kerana antara dua sebab. Pertamanya, mungkin kerana tersasul semasa sedang ghairah bercakap sehingga tidak sedar akan maksud dan kesan daripada kenyataan beliau. Atau keduanya, mungkin kerana tidak mempunyai pemahaman sebenar tentang Islam.

Oleh kerana itulah, atas rasa tanggungjawab maka saya merasakan adalah perlu untuk perkara ini dikemukakan di dada akhbar. Saya menuntut pihak pentadbiran Radio IKIM.fm. memberikan penjelasan berhubung dengan perkara ini. Dan dalam masa yang sama, saya menuntut En. Shahreza untuk menarik balik kenyataan beliau yang saya kira sebagai bercanggah dengan ajaran Islam dan memperbetulkan kenyataannya di dalam bahasa yang boleh difahami. Supaya golongan Muslim tidak berada di dalam situasi tertanya-tanya dan ragu-ragu dengan Islam itu sendiri dan memberikan pemahaman yang betul untuk mengelakkan salah faham tentang ajaran Islam kepada golongan bukan Islam.

Saya berharap di masa yang mendatang, semua pihak perlulah berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan. Lebih-lebih lagi apabila berbicara tentang Islam. Semua pihak harus mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk mempertahan dan memperjuangkan maruah dan jatidiri Islam sebagai agama yang suci. Golongan Muslim khususnya di kalangan profesional harus mempunyai pemahaman yang sebenar tentang Islam dan selari dengan ajaran Islam. Agar pembawaan gaya hidup kita sebagai penganut Islam dapat menggambarkan kesucian Islam itu sendiri. Supaya Islam dapat difahami secara telus dan menyeluruh bukan sahaja di kalangan golongan Muslim bahkan oleh golongan bukan Muslim.

Comments