Masyarakat 48 Tahun Merdeka


Sikap dingin masyarakat Malaysia dalam memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan bukanlah isu kecil. Memang wajar, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir meluahkan rasa kecewanya terhadap sikap masyarakat sebegini. Sikap naïf ini boleh dijadikan petunjuk sejauh mana pencapaian dalam usaha penerapan semangat nasionalisme di kalangan masyarakat. Jelas sekali bahawa jatidiri masyarakat Malaysia masih lagi rapuh walaupun hampir setengah abad mengecapi kemerdekaan. Nampaknya hanya tanah Malaysia yang merdeka, tetapi bukan jiwa anak-anaknya.

Deras laju pembangunan fizikal Malaysia sememangnya antara yang dikagumi di kalangan negara membangun. Malaysia mampu menonjol dalam saingan mengejar arus tamadun kemodenan dunia semasa. Namun begitu, jelas sekali pembangunan spiritual di kalangan masyarakat tidak bergerak selaju itu. Malah tertainggal jauh ke belakang. Kita sibuk mengejar dan bersaing untuk menunjukkan kehebatan tamadun kemodenan kita, tetapi telah mengesampingkan pembangunan tamadun kemanusiaan yang sebenarnya jauh lebih penting dalm mengisi sejarah 48 tahun kemerdekaan negara.

Namun begitu, adalah satu perkara yang amat pelik. Kesuraman sambutan bulan kemerdekaan tidak tertonjol di malam ambang sambutan kemerdekaan. Tempat-tempat sambutan seperti Putrajaya, Dataran Merdeka dan Bukit Bintang dibanjiri oleh ratusan ribu masyarakat khususnya di kalangan generasi muda. Jumlah yang hadir ke upacara “countdown” Hari Kemerdekaan adalah melebihi jumlah bendera-bendera yang dikibarkan sepanjang sambutan bulan kemerdekaan.

Sebabnya mungkin kerana tarikan hiburan yang disajikan sempena sambutan Malam Kemerdekaan. Konsert, pertunjukan bunga api dan lain-lain lagi. Muda mudi bersenorokan sehingga lewat malam, malah ada bercengkerama sehingga ke pagi. Dengan jumlah yang begitu besar, mana mungkin sistem pengawalan dan pencegahan maksiat dapat dilaksanakan secara total. Budaya hedonisme barat yang sudah mengakar di dalam masyarakat nampak lebih tertonjol di malam ambang kemerdekaan jika hendak dibandingkan dengan semangat nasionalisme dan budaya timur masyarakat kita. Inikah yang kita raikan sempena 48 tahun ulangtahun kemerdekaan negara?

Mahu tidak mahu, kerajaan perlu mengakui bahawa sistem pendidikan negara perlu dikaji semula dengan kadar segera. Arah tuju sistem pendidikan negara pada hari ini sudah jauh tersasar daripada haluan sebenar dalam melahirkan masyarakat yang seimbang daripada segi fizikal dan spiritualnya. Produk-produk sistem pendidikan negara pada hari ini hanya mampu melahirkan robot-robot yang bergerak atas arahan semasa. Tanpa mempunyai arah dan hala tuju sendiri. Kerana minda yang sudah diatur untuk melihat negara sebagai kilang tempat berkhidmat dan bukannya sebagai tanah tumpah darah yang perlu dipertahankan. Tidak hairanlah sekiranya ulangtahun Hari Kemerdekaan negara dipandang sepi seolah-olah tidak membawa apa-apa erti. Malah dijadikan sebagai perhimpunan tahunan untuk bergumpul dan bersukaria tanpa batasan agama dan budaya. Kerana jiwa yang sudah tercemar dengan pengaruh asing kerana tidak diisi dengan semangat jiwa merdeka.

Malah, fenomena ini diburukkan lagi dengan kemasukan budaya asing yang tidak tertapis menyebabkan masyarakat Malaysia yang sudah sedia rapuh jatidirinya, dihakis pula tradisi budaya timurnya. Lihat sahaja bagaimana pengaruh program realiti TV menular di dalam syarikat-syarikat televisyen Malaysia. Mereka berlumba-lumba menyajikan program-program seumpamanya dengan mencelup budaya asing dan dipamer buat ikutan masyarakat. Mereka lebih mengutamakan program-program yang bersifat komersil tinggi semata-mata untuk mengaut keuntungan daripada memikirkan impaknya terhadap kondisi sosial masyarakat.

Sehubungan dengan itu, selari dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-48 tahun ini iaitu “Pendidikan Teras Pembangunan Insan”, semua pihak terutamanya di peringkat pemerintah atasan harus sedar dan insaf akan kepentingan untuk kita selarikan pembinaan tamadun kemodenan dan tamadun kemanusiaan demi melahirkan masyarakat yang seimbang fizikal dan spiritualnya. Pendidikan merupakan penyelesaian utama kepada permasalahan yang timbul pada hari ini. Pendidikan formal perlu dihubungjalinkan dengan pendidikan informal yang melibatkan sekitaran sosial termasuklah kegiatan keluarga, masyarakat, media massa, dan lain-lain lagi. Kegiatan kokurikulum sahaja di institusi pendidikan tidak mencukupi. Ia perlu dilengkapkan dengan suasana pendidikan yang bermotivasi. Sistem pendidikan kebangsaan perlu dinilai semula dengan mengambil kira pendangan semua pihak di setiap peringkat khususnya daripada golongan ulama. Pendidikan kebangsaan harus lebih bersifat “mengisi” daripada sekadar “menghias”.

Akhirnya, masyarakat Malaysia seharusnya memiliki jiwa besar. Negara yang kita diami hari ini bukanlah milik orang asing. Ianya adalah amanah dan tanggungjawab kita. Inilah Malaysia sebagai darah daging kita. Di sini kita lahir, dan di sini jugalah kita menghembuskan nafas kita yang terakhir dengan meninggalkan jasa dan bakti dalam mendaulatkan agama dan membangun peradaban negara. Bukan sekadar tanah kita sahaja yang merdeka, tetapi jiwa-jiwa kita masyarakat Malasyia juga harus merdeka daripada pengaruh asing yang membinasakan. Selamat Hari Merdeka yang ke-48. Semoga Allah kurniakan kesejahteraan dan kemakmuran berpanjangan.

Comments