Punca Kelesuan Khutbah Jumaat

Saya ingi memberi respon terhadap tulisan Saudara Syed Mikael Rizal Aidid yang kecewa dengan kelesuan khutbah Jumaat yang menjadi fenomena biasa hari ini. Saya turut berkongi kekecewaan itu atas dasar prihatin terhadap pengamalan ibadat di kalangan Ummah yang semakin hari menajdi budaya semata-mata. Tanpa meninggalkan apa-apa kesan terhadap pembangunan fizikal mahupun spiritual Ummah.

Pertamanya, sebelum membicarakan isu ini, kita harus melihat peranan sebenar khutbah Jumaat yang saban minggu kita dengar. Khutbah Jumaat merupakan rukun wajib di dalam perlaksanaan Solat Jumaat. Ia juga berperanan sebagai wadah untuk menyampaikan nasihat dan teguran semasa kepada Ummah supaya perjalanan harian Ummah sentiasa selari dengan Syariat Islam. Pengisisan khutbah Jumaat bersifat segar dan terkini untuk bertindak sebagai instrumen yang berkesan dalam membangkitkan semangat Ummah untuk berjaya di dunia dan di akhirat.

Namun, fenomena terkini yang kita lihat seperti yang diungkapkan oleh Saudara Syed Mikael sememangnya ada kebenarannya. Khutbah Jumaat yang didengar saban minggu sudah terbudaya di kalangan Ummah seolah-olah mendengar ceramah biasa mingguan. Khutbah Jumaat yang disampaikan seolah-olah mencurahkan air ke daun keladi. Tiada apa-apa kesan daripada khutbah Jumaat terhadap Ummah dalam mengejar keredhaan Allah. yang hadir ke Solat Jumaat mendengar khutbah Jumaat hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Kelesuan ini, mahu tidak mahu perlu dibebankan terhadap khatib dan pihak yang bertanggungjawab dalam mengawal urusan khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan. Khatib yang lesu dan tidak bermaya dalam menyampaikan khutbah tentu sahaja akan turut melesukan Solat Jumaat yang sepatutnya dijadikan sebagai perhimpunan mingguan Ummah untuk menyegarkan kembali semangat mereka. Khatib dengan sekadar membaca teks tanpa dapat menghayati isi daripada khtbah yang disampaikan hanya akan merosakkan fuingsi khutbah Jumaat. kerana Khatib berkhutbah bukan dari hati maka natijahnya isi khutbah tidak sampai untuk difahami dan dihayati oleh pendengar.

Perlu diingatkan bahawa Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah As-Saff ayat yang ke-3, yang membawa maksud betapa besarnya kebencian Allah terhadap mereka yang tidak melakukan apa yang mereka perkatakan.

Seharusnya, para Khatib menanam niat yang ikhlas untuk menyampaikan seruan Allah s.w.t. kepada Ummah untuk mengajak mereka menghayati ajaran Islam secara total demi kejayaan di dunia dan akhirat.

Pihak yang bertanggungjawab terhadap pengawalan khutbah jumaat juga perlu sedar akan kepentingan khutbah Jumaah bertindak sebagai instrumen yang berupaya membangkitkan semangat Ummah dalam menegjar kejayaan dunia dan akhirat. Isu yang disampaikan di dalam khutbah Jumaat perlulah bersifat segar dan terkini dalam usaha menarik minat para pendengar. Khutbah Jumaat perlu diberikan kebebasan dalam memilih isu setempat yang bersesuaian dengan suasana semasa. Suapya khutbah Jumaat dapat bertindak sebagai salah satu cara untuk menyampaikan nasihat dan teguran dalam rangka pemikiran yang global namun disesuaikan dengan keadaan setempat.

Penyampaian khutbah Jumaat yang bersifat kuno dan tidak kena kepada isu setempat hanya akan menjauhkan minat Ummah kepada masjid sebagai institusi Agama dan seterusnya mewujudkan jurang antara Ummah dan Agama.

Marilah kita sama-sama merobah apa yang perlu diubah sekarang demi menjadikan Islam sebagai cara hidup kita secara total. Ummah perlu disedarkan akan kepentingan untuk memahami dan menghayati Islam dari kaca mata yang betul. Semua ini bermula dengan proses penerimaan informasi melalui pendengaran terhadap khutbah Jumaat yang benar-benar merangsang kejayaan Ummah dan Agama. Semoga dengan itu, kejayaan dunia dan akhirat yang sering kita doakan, dikabulkan Allah s.w.t.. Khutbah Jumaat Merangsang Kejayaan Ummah.
Post a Comment