SRC bukan Wadah Sesuai Untuk Perjuangkan Rakyat?

Majlis Perwakilan Pelajar atau SRC (Students Representive Council) seperti yang dikenali di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) bukan wadah untuk para perwakilan pelajar memperjuangkan isu-isu negara mahupun antarabangsa. Inilah intipati ucapan Rektor UIAM, Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan yang paling menarik perhatian penulis ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Rektor Bersama Pemimpin Pelajar yang diadakan pada 19 Ogos yang lepas.

Beliau menyatakan bahawa tidak pernah terkandung di dalam perlembagaan SRC bahawa bidang tugas perwakilan pelajar merangkumi isu-isu luaran kampus. Beliau menambah bahawa bidang tugas perwakilan pelajar hanyalah sekitar isu dalaman kampus. Yang hanya merangkumi hal-ehwal kebajikan pelajar dan gerak-kerja dengan pihak universiti untuk menaikkkan nama Universiti supaya dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa. Ini selari dengan misi “Tripple I CE” yang didukung Universiti iaitu Integration, Islamization, Internationalization dan Comprehensive Excellence .

Petang itu, beliau juga menerangkan tentang “Great Illusion” yang dihadapinya. “Great Illusion” katanya adalah persepsi salah masyarakat terhadap SRC yang beranggapan bahawa SRC merupakan parlimen mini dan perwakilan di dalamnya merupakan kader-kader untuk pimpinan kerajaan masa depan. Sedangkan hakikatnya tidak. Beliau menolah persepsi itu dengan menyatakn bahawa sesiap pun berkemungkinan untuk menjadi pemimpin kerajaan masa depan.

Dalam isu politik kampus pula, beliau menyatakan bahawa Universiti dan para pelajarnya perlu mengambil dasar non-partisan. Beliau mencemuh sikap perwakilan pelajar di dalam SRC sebelum ini yang banyak menyentuh isu-isu kebangsaan dan antarabangsa yang merupakan isu luaran kampus. Baginya tidakan-tindakan seumpama itu dipengaruhi oleh pihak-pihak luar yang berkepentingan dan ianya “ultra vires” di atas dasar perlembagaan SRC. Beliau gembira dengan hasil pilihanraya UIAM tahun ini yang baginya telah melahirkan perwakilan pelajar yang benar-benar tulen daripada pelajar. Beliau bersumpah dengan nama Allah bahawa corak pilihanraya tahun ini yang menjadi kontroversi hangat tidak pernah dipengaruhi atau diarahkan oleh pihak-pihak luar bahkan ia merupakan hak mutlak BOSA (Board of Student Adviser) justeru menolak pendapat bahawa tidakan BOSA itu tidak mempunyai “locus stendi”.

Ucapan beliau pada petang itu boleh penulis sifatkan sebagai dalam jangkaan dan di luar jangkaan. Dalam beberapa hal, penulis menyokong penuh pendirian beliau contohnya di dalam isu bidang tugas dalaman perwkilan pelajar, menangani “Great Illusion” dan dasar non-partisan. Dan hal tersebut merupakan di dalam jangkaan penulis. Namun yang demikian, penulis menolak bahawa perwakilan pelajar ditegah daripada memperjuangkan isuisu kebangsaan dan antarabangsa yang bersifat luaran kampus. Penulis juga terkejut dengan keberanian beliau bersumpah dengan menyebut “wallahi, watallahi, wabillahi” untuk menolak campurtangan asing di dalam pentadbiran Universiti.

Di dalam penulisan ini, penulis hanya akan membicarakan isu penglibatan pelajar dan secara khususn perwakilan pelajar di dalam isu-isu luaran kampus. Di dalam kehangatan musim peperiksaan ini, amat sukar untuk penulis meluangkan masa untuk membuat kajian secara terperinci di dalam semua isu yang dibangkitkan oleh Rektor. Cuma untuk bersikap responsive yang aktif, penulis tidak boleh menunggu lama untuk memberi komen atas isu ini.

Rektor menyatakan bahawa tindakan perwakilan pelajar di dalam SRC sebelum ini yang menyentuh isu-isu luaran kampus adalah “ultra vires”. Ini bermaksud tindakan mereka adalah melampaui daripada bidang tugas yang telah dinyatakan di dalam perlembagaan SRC.

Namun, penulis ingin membawa pembaca untuk memerhatikan Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa, “tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran”.

Kita lihat pula Artikel 4 (1)Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa, “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu”.

Jadi, persoalan yang penulis bangkitkan di sini ialah, sekiranya seseuatu bidang tugas itu tidak dinyatakan di dalam perlembagaan, adakah ia bermakna bahawa kita tidak boleh melaksanakannya?

Bagi penulis, jawapannya ialah tidak. Memandangkan bidang tugas tersebut tidak dinyatakan di dalam perlembagaan maka tidak bersalahan sekiranya ia dilaksanakan melainkan memang terdapat peruntukan di dalam perlembagaan tersebut yang melarang untuk melaksanakan bidang tugas tersebut. Mengaitkan hal ini dengan isu yang dibangkitkan oleh Rektor, maka tidak bersalahan untuk perwakilan pelajar untuk menyuarakan pendapat dan memperjuangkan isu luaran kampus kerana ia tidak dilarang di dalam perlembagaan SRC. Inilah dasar pengolahan untuk memahami sesebuah perlembagaan.

Sekiranya niat penggubal perlembagaan SRC sememangnya untuk menyekat kebebasan perwakilan pelajar di dalam SRC untuk berbicara tentang isu luaran kampus, maka ini bertentangan dengan Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada setiap warganegara untuk bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran. Dan Perlembagaan SRC seumpama itu adalah berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan dan harus terbatal setakat yang berlawanan itu atas dasar Artikel 4 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama.

Jadi, atas dasar manakah perwakilan pelajar dilarang daripada bercap tentang isu luaran kampus yang berkisar isu kebangsaan dan antarabangsa?

Penulis, merasakan bahawa pihak Universiti dengan menafsirkan perlembagaan SRC seperti yang diungkapkan oleh Rektor telah tersalah arah. Perwakilan pelajar di dalam SRC dan mana-mana pelajar berhak untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara Malaysia. Ini berbza sekiranya perwakilan pelajar di dalam SRC itu ialah pendatang asing. Dengan tersalah arah dalam menafsirkan perlembagaan SRC maka pihak Universiti tidak mempunyai “locus stendi” dan arahan yang dikeluarkan untuk melarang pelajar daripada bercakap isu luaran kampus adalah “ultra vires”.

Hujah ini hanyalah daripada pemahaman penulis sebagai pelajar undang-undang yang setahun jagung. Maka, penulis mengalu-alukan sebarang komen samada teguran mahupun sokongan terhadap hujahan penulis di dalm isu ini. Penulis tidak menolak kemungkinan sekiranya hujahan penulis adalah salah tetapi setakat ini, inilah keyakinan penulis terhadap kesucian Perlembagaan Persekutuan.

InshaAllah sekiranya masa mengizinkan, penulis akan bawakan hujahan dari sudut perkembangan sosio-politik dan pendidikan untuk menidakkan kenyataan Rektor yang hanya mahukan pelajar untuk terperap di dalam kampus tanpa menghiraukan nasib rakyat di luar. Demi rakyat, pelajar harus bangkit untuk memastikan kebenaran dan keadilan dipertahankan.
5 comments