Bidasan Mahasiswa Ridzuan terhadap artikel "Mak Nyah Bukan Penyakit Mental oleh Sulastree Ariffin"

Mak nyah tak wajar ikut naluri -Surat Pembaca, Berita Harian 5/1/06


SAYA terpanggil untuk menyatakan pandangan ini selepas membaca surat yang ditulis Sulastree Ariffin mengenai mak nyah yang disiarkan 3 Januari lalu. Saya amat sedih apabila beliau menyatakan masalah mak nyah ini tiada kaitan agama.

Alangkah cetek pemikiran beliau apabila menyatakan masalah itu hanya akan berlaku apabila mereka mempertikaikan kejadian Tuhan. Tidakkah mereka sedar lelaki yang menyerupai perempuan adalah satu daripada dosa besar. Tidakkah mereka ini belajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam Tingkatan Lima yang menjelaskan mengenai dosa besar yang sepatutnya dihindari.

Saya amat terkilan dengan apa yang ditulis itu dan saya percaya Sulastree juga beragama Islam. Saya percaya golongan ini cuba menghalalkan apa yang diharamkan.

Mereka sepatutnya sedar masih ada ruang untuk mereka berubah dan bukannya terus mengikut naluri perasaan yang hadir daripada nafsu yang wujud dalam diri mereka. Mereka seharusnya sedar bahawa diri mereka diciptakan Tuhan untuk menjadi seorang lelaki dan bukannya seorang perempuan.

Mungkin saya terlalu mentah untuk mengulas lanjut, tetapi saya amat sedih apabila ada golongan yang cetek pemikiran agama cuba menghalalkan apa yang diharamkan Tuhan.

Kesedaran saya peroleh selepas melihat gaya hidup golongan yang menentang norma kehidupan yang menjadi seakan-akan barah dalam kehidupan masa kini.

Mereka cuba mempengaruhi golongan lain untuk menjadi seperti mereka dan ini bukanlah tuduhan tapi berlaku di depan mata saya sendiri. Mereka cuba menerapkan cara hidup mereka ini kepada golongan yang masih boleh disedarkan.

Nasihat saya kepada golongan ialah kembalilah kepada tuntutan semula jadi yang diciptakan Tuhan. Bersyukur dan janganlah mempertikaikan kebenaran ciptaan-Nya.

MAHASISWA RIDZUAN,

Subang Jaya, Selangor.
2 comments