Bidasan Sulastree Ariffin terhadap artikel "Kelompok Mak Nyah Minta Pengiktirafan Masyarakat"

Mak nyah bukan penyakit mental -Surat Pembaca, Berita Harian 3/1/06

MAK nyah adalah sekumpulan komuniti minoriti yang dianggarkan berjumlah lebih 20,000 di negara kita. Sekian lama kami diberi bermacam label, panggilan dan tanggapan negatif yang langsung tidak membantu kami menjalani kehidupan seharian dengan tenang dan produktif seperti orang lain.

Saya terkilan dan sedih dengan tulisan ‘Khairul Anwar Shazali’ dari Petra Jaya, Kuching pada 22 Disember lalu. Pemahaman beliau mengenai mak nyah amat cetek dan berdasarkan andaian dan penilaian beliau yang tidak rasional dan berbentuk prejudis.

Komuniti minoriti mak nyah wujud sekian lama walaupun tiada pengiktirafan secara rasmi daripada kerajaan mahupun masyarakat. Kegusaran ‘Khairul’ terhadap perkembangan komuniti mak nyah serta isu terkini menunjukkan betapa sempit dan kejahilan beliau mengenai apa itu mak nyah atau ‘transeksual’.

Kewujudan mak nyah tiada kaitan langsung dengan lebihan hormon perempuan yang ada pada diri mereka kerana setiap orang yang dilahirkan tidak kira lelaki atau perempuan secara semula jadi mempunyai kedua-dua hormon serta jumlahnya yang berbeza. Apa yang diterangkan oleh pakar perubatan adalah seperti berikut:


Ketika dalam kandungan, jantina otak seseorang bayi itu pada keseluruhannya adalah otak seorang perempuan.


Selepas 20 minggu perkembangan bayi lelaki, testes mula mengeluarkan rembesan hormon lelaki pada otak seseorang bayi itu dan pada masa itulah ia memiliki otak seorang lelaki.


Bagi mak nyah, besar kemungkinan otak mereka tidak sensitif dengan rembesan hormon lelaki itu dan ini menyebabkan ada kalanya rembesan hormon lelaki pada otak seseorang bayi lelaki tidak berlaku seperti lazimnya dan ini mengakibatkan seseorang bayi lelaki berkembang dan berasakan dia seorang perempuan.

Ia bercanggah dengan pendapat yang mengatakan mak nyah satu penyakit mental yang menambahkan lagi stigma sosial yang masih lagi menebal terhadap komuniti minoriti mak nyah di kalangan masyarakat kita.

Adakah ini nilai kemanusiaan yang beliau cuba terapkan? Masalah mental yang mak nyah alami adalah disebabkan oleh orang seperti ‘Khairul’ yang prejudis mudah membuat hukuman serta cadangan yang tidak masuk akal.

Mak nyah juga bukan masalah agama, yang menjadi masalah agama adalah apabila seseorang mak nyah itu asyik marah dan menyalahkan takdir kerana Tuhan tidak berlaku adil kepada mereka kerana menjadikan mereka mak nyah.

Saya juga menyangkal pendapat beliau yang menyatakan bahawa mak nyah adalah satu gaya hidup yang tiada kena mengena langsung dengan kewujudan mak nyah. Apakah benar ini bentuk gaya hidup mak nyah dipilih sendiri yang pada hakikatnya penuh dengan kesengsaraan, tekanan, stigma, cercaan, disisih keluarga dan masyarakat dan terdedah pada keganasan?

Mak nyah bukanlah isu pakaian, gaya hidup, tukar jantina dan sebagainya. Mak nyah adalah orang yang berperasaan dan pemikirannya tidak sama dengan fizikal dan jantina yang mereka ada. Mak nyah adalah satu kelahiran dan kewujudan bukannya sesuatu aksi atau kelakuan yang boleh ditiru, dibentuk, dipengaruhi dan diadakan.

Adakah wajar kewujudan mak nyah menjadi satu kesalahan dan dilabel sebagai satu penyakit mental sedangkan pada hakikatnya mak nyah sendiri reda dan sedar diri mereka yang lain daripada orang lain.

SULASTREE ARIFFIN,
Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Comments