Dari UIA ke UiTM Shah Alam...

Selasa (7/3/06) minggu lepas, penulis bersama rombongan pemimpin mahasiswa UIA yang memenuhi 3 buah bas ke UiTM Shah Alam untuk menghadiri satu majlis Taklimat Isu-Isu Semasa. Majlis diadakan di Dewan Serbaguna, UiTM Shah Alam mempertemukan Dato' Mustapha Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi yang baru dengan pemimpin-pemimpin mahasiswa daripada IPTA sekitar Lembah Klang.
Pada awalnya, penulis menyangkakan majlis tersebut akan menjadi wadah perbincangan dua hala mengenai isu-isu semasa di sekitar kehidupan mahasiswa. Namun sangkaan tinggal sangkaan, ketika projektor dinyalakan, barulah penulis sedar bahawa majlis petang itu adalah khusus untuk menerangkan tentang isu kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Pembentangan Dato' Mustapha Mohamed menerangkan rasional kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen petang itu amat meyakinkan. Dengan gayanya yang lurus dan bersahaja petang itu menambahkan keyakinan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak adalah rasional. Mungkin juga kerana latar belakang Dato' Mustapha Mohamed di dalam ekonomi negara yang memberikan kelebihna kepadanya di dalam membentangkan isu tersebut. Penulis juga turut terpukau dengan penerangan serba lengkap yang dipenuhi dengan data dan statistik. Namun penulis sedar, kebenaran hanya akan didapati melalui penilaian melalui pemantauan di dalam jangka masa yang sedikit panjang berhubung sesuatu isu. Jadi, penulis tidak bermaksud untuk menerangkan pendirian penulis berhubung isu kenaikan harga minyak terlebihj dahulu di dalam penulisan ini.
Cuma yang menariknya petang itu, selain daripada pembentangan Dato' Mustapha Mohamed yang penulis gambarkan sebagai berjaya memberikan persepsi awal yang positif di kalangan mahasiswa, turut menyerlahkan sikap pemimpin-pemimpin mahasiswa yang hipokrit dan bobrok semata dan tidak kurang juga mereka yang harus penulis puji dan sanjung tinggi. Sesi soal jawab selepas pembentangan Dato' Mustapha Mohamed tidak memberikan sedikit put ruang masa terbazir. Sesi itu dikuasai oleh 3 kampus utama iaitu, UIAM, UPSI dan UiTM Shah Alam sendiri.
Penulis menyelar sikap pemimpin-pemimpin mahasiswa yang menjadikan sesi petang itu sebagai satu wadah untuk membangkitkan semangat kepartian yang terang-terang ditunjukkan di dalam samada soalan mahupun pandangan yang dikemukakan. Penulis merasakan, sesi petang itu yang agak singkat tidak wajar sama sekali untuk dibangkitkan isu-isu remeh seperti kain rentang pembangkang, sikap pembangkang dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Namun penulis juga turut berasa malu dan marah dengan sikap salah seorang pemimpin mahasiswa yang bersoal jawab dengan Dato' Mustapha secara tidak beradab. Yang nampak padanya hanya emosi tidak terkawal dan ghairah menunjukkan belang tidak kena pada tempat.
Tanpa sebarang niat untuk bersikap berat sebelah, penulis harus kalungkan pujian kepada sahabat penulis sekampus dan segerakan yang penulis rasakan cukup berani tampil di khalayak dengan keyakinan tinggi tanpa gusar. Beliau yang juga merupakan sahabat seusrah penulis, di samping mengemukakan pendapat dan soalan berhubung isu kenaikan harga minyak turut berjaya melarikan sedikit pemikiran hala objektif majlis pada petang itu apabila mengemukakan soalan berhubung pendirian semasa pihak kementerian tentang isu pindaan AUKU. Di mana, di akhir majlis, Dato' Mustapha Mohamed secara jujurnya meminta untuk diberikan masa lagi untuk meneliti isu tersebut dengan mengambil kira tempoh masa beliau baru sahaja dilantik ke jawatan tersebut.
Namun begitu, penulis di dalam penulisan ini turut menegur sedikit cadangan sahabat penulis tersebut, di dalam mendepani kesan-kesan kenaikan harga minyak dengan menambahkan peruntukan pinjaman PTPTN mahasiswa atau mengurangkan cukai pinjaman PTPTN mahasiswa. Penulis merasakan cadangan tersebut kurang wajar. Ini kerana, seluruh lapisan masyarakat merasai kesankesan kenaikan harga minyak ini. Maka adalah tidak adil untuk mahasiswa berusaha mendapatkan kelebihan di dalam mendepani kesan-kesan kenaikan harga minyak untuk diri sendiri sahaja. Jika mahukan kelebihan, maka setiap lapisan masyarakat harus diberikan kelebihan yang sama. Seperti jangkaan, Dato' Mustapaha Mohamed menolak bulat-bulat cadangan tersebut.
Penulis juga sedih apabila menyaksikan di antara ramai-ramai pemimpin mahasiswa yang tampil bersoal jawab, kebanyakannya hadir dengan kerendahan mutu pemikiran. Penulis ragui kepimpinan mereka yang menyempitkan pemikiran di dalam suasana lokal atau lebih teruk lagi di dalam suasana diri sendiri. Mereka ini gagal untuk berfikir sebagai pemimpin yang seharusnya melihat sesuatu isu daripada semua aspek untuk membawa kebaikan untuk anak buah pimpinannya dan bersedia sebagai pemimpin masyarakat yang harus mengutamakan kebajikan rakyat yang dipimpin. Jika hanya dapat tampil dengan hujahan susah balik kampung sebab harga tiket bas naik, penulis merasakan adalah lebih baik untuk pemimpin mahasiswa tersebut berdiam diri. Kerana ia hanya menimbulkan tawa orang lain. Lainlah sekiranya pemimpin mahasiswa tersebut memang berniat untuk ditertawakan.
Namun, tidak kurang juga pemimpin-pemimpin mahasiswa yang berjaya untuk mengutarakan hujahan-hujahan bernas yang bersifat pokok kepada isu keniakan harga minyak kali ini. Contohnya perbandingan harga minyak, harga kereta, kos pengangkutan awam dan kos tol dengan negara-negara lain. Di antara hujahan-hujahan yang menarik juga ialah, apabila pemimpin mahasiswa mengutarakan rasional kenaikan harga minyak denga menggunakan hujahan-hujahan yang bersifat "pulang paku buah keras" apabila berjaya memanipulasi data dan statistik yang dibentangkan untuk berhujah.
Apa-apapun, penulis berasa agak hampa dan gembira dalam pada masa yang sama untuk melihat di masa aras kepimpinan pemimpin-pemimpin mahasiswa masa kini. Penulis juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dato' Mustapha Mohamed kerana berjaya membina satu imej positif.

Comments