Di Persimpangan [1]

Entah apa sahajalah yang dibebelkan orang tua itu. Sudah lebih 10 minit dia di pentas ucapan, melolong dan berteriak. Ada kala ucapannya timbul dengan nada sindiran diikuti tawa sidang dewan yang nampak terpukau dengan persembahan orang tua itu.

Seharusnya sudah lama orang tua itu menamatkan ucapannya. Kerana peserta yang tampil membahaskan kertas kerja yang disampaikan oleh panelis jemputan hanya diberikan masa 7 minit sahaja. Pengerusi sidang tampak kalah dengan bicara orang tua itu yang sudah menawan hati semua orang di dewan ini kecuali aku.

“Kita hari ini sudah ditipu. Ditipu oleh orang kita sendiri. Musuh kita bukan orang yang matanya sepet lagi-lagi mereka yang hanya nampak putih gigi dan matanya. Musuh kita adalah orang kita yang sedang bersemayam di singgahsana negara melupakan bangsa sendiri yang memangkah mereka”

Dewan riuh lagi dengan tepukan gemuruh. Aku sudah bosan dengan fakta-fakta yang berbaur emosi seperti itu. Nampaknya konges ini tidak berhala, natijahnya akan seperti konges yang sudah-sudah.

Sebelum ini, keputusan kerajaan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai medium pengantar pengajaran subjek Sains dan Matematik di peringkat sekolah menengah juga dijadikan isu untuk menghentam balik kerajaan. Sebuah persatuan pelajar yang sudah 3 tahun berturut menganjurkan konvensyen atas isu ini juga gagal menghasilkan apa-apa impak kepada keputusan kerajaan. Hitam kata kerajaan hitam jugalah jadinya.

Lebih memalukan, konvensyen anjuran bersama dengan sebuah institusi yang diiktiraf oleh badan perundangan negara sehingga mempunyai Akta sendiri bukan sahaja gagal memperjuangkan isu ini malah langsung tidak mendapat secebis perhatian pun daripada media. Apatah lagi daripada pemimpin negara.

Aku malu. Malu...

Bukan malu kerana kegagalan. Tetapi malu dengan suasana bangsa yang porak peranda di kala bangsa lain bergenggam tangan bersatu hati. Hari ini bangsaku sendiri saling tidak percaya sesama sendiri.

“Saya bukannya nak cakap apa, tapi kalau kita masih lagi memangkah mereka ini sebagai pemimpin kita, sekalipun mereka bangsa kita, kita ini masih tak ke mana. Tuan-Tuan fikirlah sendiri...”

Masih juga orang tua itu berucap. Sudah masuk 20 minit dia di pentas. Dewan pun sudah mula menunjukkan kegelisahan. Ucapan yang pada awalnya untuk membahaskan isu pendidikan bangsa akhirnya seperti sebuah ceramah meraih undi. Apa cerita?

“Bang, saya ke tandas dulu. Tak tahanlah...” aku bergegas keluar meninggalkan Bang Rahman teman setugas sebagai pencatit kongres hari ini. Sebenarnya bukan ke tandas pun, sekadar mengambil angin luar yang rasanya lebih segar daripada angin emosi yang sedang meruap panas di dalam dewan.

“Maaf Tuan Haji, mohon dipendekkan bicara. Sidang kita kesuntukan masa. Ramai lagi yang menunggu giliran untuk berbahas serupa Tuan Haji”, sempat telingaku menangkap teguran Pengerusi Sidang kepada orang tua itu.

Akhirnya bersuara juga Dr. Syeed Azran. Sedikit kelegaan timbul mendengar suara Pengerusi sidang. Aku terus meluru keluar mencari ketenangan hati yang bergelora.

Comments