Hargai Masa Yang Ada

Segala puji dan syukur bagi Allah s.w.t. yang mentadbirkan perjalanan kehidupan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas nabi junjungan mulia, Muhammad s.a.w.

“Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian”.
(al-’Asr:1-2)

Perjalanan kehidupan ini sebenarnya amat singkat. Lebih-lebih lagi di kala takdir maut yang ghaib bagi kita. Esok atau lusa, hayat kita tidak terjamin oleh sesiapa. Maka amat besarlah kerugian bagi mereka yang mengambil mudah akan perjalanan kehidupan ini sedang telah ditunjukkan bagi mereka akan jalan suci ini oleh Allah s.w.t. yang berkehendakkan.

Maka terbukti akan kecepatan masa itu berlalu apabila saban semester kita akan merenung kembali perjalanan kehidupan kita sepanjang semester tersebut di penghujungnya. Tidak di tengah mahupun di awalnya. Terasa singkat masa yang lepas itu apabila kita melalui saat-saat sukar di hadapan. Kerana itu, tidak hairan apabila kita merasa peritnya berada di dalam musim peperiksaan di penghujung semester kerana merasakan masa yang diperuntukkan selama satu semester tidak cukup untuk kita bersedia 100 % menghadapi soalan-soalan peperiksaan.

Falsafah ini jugalah yang terkandung di saat-saat sakaratul maut setiap daripada kita. Perjalanan kehidupan ini terasa amat singkat dan tidak mencukupi untuk kita menyediakan diri apabila berhadapan dengan malaikat Izrail yang menjemput untuk kita berhadapan dengan soalan-soalan kubur malaikat Mungkar dan Nangkir.

Persoalan timbul. Bagaimanakah untuk menggolongkan diri kita di dalam kelompok orang yang beruntung di dalam kehidupan? Bgaiamanakah untuk dipastikan kita kekal di landasan suci ini? Supaya kita kekal tabah dan kuat di kala mendepani saat-saat sukar di dalam kehidupan ini.

Perjalanan kehidupan ini tidak boleh dibazirkan lagi. Kesingkatan masa tanpa had ini seharusnya dijadikan sebagai petunjuk bagi mereka yang mahu untuk kita supaya bersedia pada setiap saat dan ketika. Supaya di penghujung masa kehidupan kita, saat-saat sukar menjadi senang kerana bekalan yang mencukupi untuk kita berdepan dengan 1001 macam cabaran dan dugaan yang sudah pun dijanjikan Allah s.w.t. untuk hamba-hamba-Nya.

Falsafah ini jugalah yang perlu kita adaptasikan di dalam kehidupan kita sebagai pelajar. Tiada cara lain untuk kita kekal kuat dan tabah ketika mendepani soalan-soalan peperiksaan akhir semester melainkan daripada meletakkan usaha yang bersungguh-sungguh sebermulanya semester. Tiada jalan singkat untuk kita mencapai tahap persediaan yang cukup untuk melangkah masuk dewan peperiksaan. Semuanya perlu bermula dengan sikap kita di dalam menguruskan masa sepanjang semester. Sikap berlengah dan tidak endah kepada masa di dalam menjalani kehidupan akan hanya meletakkan kita di dalam kelompok orang yang rugi amat.

Lantas, pilihan di tangan kita. Mahu berlengah atau bersedia?

Comments