Tutup Aurat Pelajar Islam Perempuan Perlu Diwajibkan

Penulis secara spontan tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Noh Omar, Timbalan Menteri Pelajaran yang menyatakan bahawa pihak sekolah tidak boleh memaksa mana-mana pelajar perempuan untuk memakai tudung kerana ia bukan merupakan pakaian atau uniform yang wajib (Utusan Malaysia 23/3/06). Biarpun kemudiannya beliau menyatakan bahawa kerajaan tidak bermaksud untuk tidak menyokong pelajar perempuan beragama Islam yang memakai tudung di sekolah. Namun, pada hemat penulis, kenyataan awalnya tetaop tidak dapat diterima pakai di dalam kita membicarakan isu ini daripada aspek pendidikan.
Pendidikan merupakan aspek terpenting di dalam kehidupan insan. Ia akan membentuk personaliti baik daripada segi fizikal mahupun mental. Oleh kerana itu, pendidikan perlu seimbang di antara memenuhi keperluan material dan keperluan spiritual. Konsep pendidikan inlah yang diterangkan oleh Prof. Dr. HAMKA (HAMKA, Tasawuf Moden). Malah, Ibnu Khaldun di dalam membicarakan konsep pendidikan juga tidak menafikan peri pentingnya ilmu formal tetapi perlulah diselarikan dengan ilmu agama (Prof. Dr. Gamal Nasseir, Konsep Pendidikan Di Dalam Islam). Ini adalah bertujuan untuk menghasilkan personaliti unggul yang baik akademik mahupun sakhsiahnya.
Malah penulis juga berpendapat bahawa pendidikan ini bukan hanya proses pemindahan ilmu malah lebih daripada itu. Pendidikan juga merupakan proses penyesuaian diri insan dengan ilmu yang dipelajari untuk dihadam dan direalisasikan di dalam kehidupan.
Malah di dalam Islam sendiri, seorang anak yang sudah berumur 7 tahun, disuruh untuk dipukul sekiranya tidak menunaikan solat (Hadith- kurang ingat sumbernya).
Maka pengajaran yang boleh kita fahami dan ambil iktibar, pendidikan (dalam aspek anak-anak) ini bukan hanya suatu proses penyampaian ilmu tetapi turut menekankan pendisiplinan anak-anak itu untuk mematuhi ilmu yang disampaikan. Kita tidak boleh bersifat lepas tangan, hanya dengan menyampaikan bahwa pakai tudung itu wajib di dalam Islam tetapi kemudiannya menyerahkan kepada anak-anak samada untuk patuh atau tidak. Ini cukup bercanggah dengan konsep pendidikan Islam yang sebenar.
Pada penulis, tindakan sekolah untuk mewajibkan pelajar-pelajar Islam perempuan untuk memakai tudung merupakan satu bentuk pendidikan yang tepat. Dengan mengambil kira bahawa pendidikan itu memerlukan kepada paksaan dan pada masa yang sama bersifat pengisian.
Anak-anak jika kita biarkan tanpa bimbingan, maka mereka akan kehilangan hala di menerusi kehidupan ini. Bimbingan perlu di dalam apa cara sekalipun demi kebaikan mereka. Maka tidak kira samada secara pengisian, nasihat, paksaan atau teguran, objektifnya adalah untuk mendidik anak-anak untuk cemerlang akademik dan sakhsiahnya.
Jika pemakaian tudung untuk menutup aurat pelajar Islam perempuan tidak diwajibkan, boleh juga penulis simpulkan bahawa tidak wajib untuk pelajar-pelajar membuat latihan kerja rumah yang disuruh oleh cikgu. Inilah yang sebetulnya jika kita ambil konsep pendidikan tanpa paksaan.
Kita bukan mewajibkan semua pelajar perempuan untuk memakain tudung. Kita hanya mewajibkan pelajar Islam perempuan untuk pakai tudung. Kenapa? kerana ini pendidikan agama. Pendidikan agama yang membentuk sakhsiah agama insan itu. Jika kita abaikan, maka penulis tidak dapat membayangkan masa hadapan untuk pelajar Islam di negara ini.

Comments