Kesal Kenyataan Berbaur Sentimen dan Prejudis


Penulis rasa terpanggil untuk menilai kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di dalam ucapan penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat minggu lepas.

Beliau memaklumkan kepada sidang Dewan Rakyat tentang kemungkinan seorang hakim syarie wanita akan dilantik tahun ini, sekaligus memecah dominasi lelaki di dalam jawatan itu. Malah Kabinet sudah pun bersetuju dan sedang di dalam proses penilaian terakhir.

Menurut beliau, sudah sampai masanya jawatan tersebut diisi oleh wanita untuk mewujudkan keadilan di dalam kes-kes berkaitan masalah rumah tangga kerana, hakim syarie wanita lebih memahami isu-isu kekeluargaan dan akan bertindak adil dalam mengendalikan kes-kes penceraian. (Utusan Malaysia, 31/3/06)

Penulis kesal dengan kenyataan beliau yang berbaur prejudis terhadap lelaki dengan membangkitkan sentimen gender.

Kenyataan beliau seperti yang tersiar di akhbar tersebut, seolah-olah menggambarkan keputusan-keputusan mahkamah oleh hakim syarie lelaki di dalam kes-kes berkaitan masalah rumah tangga sebelum ini adalah tidak adil, sekaligus menafikan kredibiliti hakim-hakim syarie lelaki. Kenyataan beliau juga turut menggambarkan hakim syarie lelaki tidak arif di dalam mendepani kes-kes masalah rumah tangga.

Dengan membangkitkan sentimen gender, beliau menunjukkan bahawa wanita adalah lebih layak dan arif daripada lelaki di dalm soal-soal penghakiman kes-kes masalah rumah tangga.

Selain itu, penulis juga kesal dengan sikap Datuk Seri Shahrizat Jalil di dalam membuat kenyataan tersebut. Ini kerana, sebagai menteri beliau dilihat sebagai satu contoh dan sebarang kenyataannya dianggap sebagai satu dalil yang bertunjangkan keilmuan. Kenyataan beliau ini dilihat hanya akan membangkitkan lagi persaingan tidak sihat di antara gender dengan bersikap prejudis di antara satu sama lain.

Penulis beranggapan, tidak menjadi kesalahan untuk beliau memaklumkan kepada sidang Dewan Rakyat berhubung perkara tersebut. Namun, makluman beliau perlulah dibuat secara baik tanpa mengapi-apikan sentimen dan prejudis terhadap gender yang berlainan. Ini penting untuk membolehkan rakyat memahami maksud makluman beliau dengan jelas dan tepat.

Di dalam membicarakan isu perlantikan wanita sebagai hakim syarie, penulis merasakan adalah amat perlu untuk perkara ini turut dibincangkan bersama dengan ahli agama selain daripada membincangkannya dengan ahli perundangan. Kerana isu ini bukan hanya berkaitan dengan soal undang-undang negara tetapi juga bersangkutan dengan fatwa agama. Agar apa-apa pun keputusannya adalah berdasarkan semangat musyawarah dengan bersandarkan kepada nas-nas agama dan disokong oleh undang-undang negara. Ini penting untuk memudahkan sebarang keputusan dapat diterima pakai tanpa ragu oleh semua pihak.

Penulis di dalam peulisan ini tidak berniat untuk merendahkan peranan wanita di dalam pembangunan negara menurut konteks hari ini. Kerana wanita hari ini telah berjaya membuktikan kebolehan mereka di dalam memacu kejayaan negara di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sebaris dengan lelaki.

Penulis cuma mengharapkan supaya persaingan di antara lelaki dan wanita di dalam membangunkan negara berlangsung di dalam suasana sihat dan tidak lupa kepada tanggungjawab asal yang pertama-tamanya telah diamanahkan oleh Tuhan kepada setiap diri kita sebagai manusia. Lelaki dan wanita telah pun secara fitrahnya diamanahkan dengan tanggungjawab ini yang perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum mengejar hal-hal lain.

Comments