Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006


Lawatan penulis bersama seorang sahabat ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 1 April lepas merubah sedikit persepsi penulis terhadap budaya membaca di kalangan masyarakat Malaysia. Rupanya masih punya harapan untuk kita meningkat budaya mebaca masyarakat negara ini. Kalau 10 tahun dahulu, secara puratanya seorang rakyat Malaysia hanya mebaca setengah muka surat setahun, tidak mustahil sekiranya survey dijalankan tahun ini, seorang rakyat Malaysia berupaya membaca setengah buku setahun.

Setibanya di stesen LRT Star, PWTC, penulis dikejutkan dengan gerombolan manusia yang sedang berhimpun seolah-olah satu piket di stesen tersebut. Mereka beratur untuk membeli tiket di kaunter. Penulis bingung meikirkan daripada mana mereka ini datang? Adakah Konsert atau Karnival Jom Heboh sedang diadakan berhampiran?

Semasa berjalan menuju ke PWTC pun, orang ramai kelihatan di tepi-tepi jalan. Berbondong-bondong masuk dan keluar daripada PWTC. Daripada anak-anak kecil sehinggalah orang-orang tua bertongkat tidak ketinggalan.

Ketika masuk ke dalam PWTC itu pun, sudah ramai yang berbaris di dalam aneka barisan menuju ke satu hujung. Rupanya terpaksa berjambat melintas sungai untuk ke dewan utama pesta. Penulis dan sahabat penulis hanya dapat melangkah setengah-setengah sepanjang merentas sungai itu sehinggalah tiba ke dewan pesta. Laluan jambatan terpaksa di kawal tarfiknya untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Penulis sedikit kecewa kerana keadan ini. Kerana, di dalam berhimpit-himpitan di dalam lautan manusia ini, penulis berfikir bagaimana mahu menghayati buku-buku yang dipamerkan? Manusia ada di segenap ceruk dewan. Ada yang berlari-lari, ada yang membatu diri dan ada juga yang bergomol-gomolan sepasangan. Yang berlari itu pastinya anak-anak, yang bergomol-gomolan itu pasangan Melayu yang tidak tahu adat budaya agama. Penulis cuma mahu jadi orang yang membatu. Menatap buku dari satu ke satu.
Namun, setelah sebuah buku penulis capai, kecewa itu hilang terus di telan keseronokan. Penulis seolah-olah lupa dengan hingar-bingar dan himpit-sesak manusia di dalam dewan itu. Sahabat penulis pun sudah membawa diri mencari hidayah Tuhan daripada buku-buku di situ. Penulis pun tenggelam di dalam rasa ini.

Daripada pukul dua sehingga menghampiri 6 petang rasanya seperti setengah jam. Penulis dan sahabat penulis harus keluar kerana azan Asar belum lagi disahut. Tarikan pesta ini, bukan hanya pada buku-bukunya tetapi juga diserikan dengan pertandingan-pertandingan bercerita, melukis, kuiz dan yang paling menarik pertandingan menyanyi. Memang Malaysia sekarang sedang meng’artis’kan rakyatnya. Hatta di dalam pesta buku sekalipun, kaderisasi atis-artis Malaysia dapat dijalankan dengan giat.

Penulis pulang daripada lawatan hari itu dengan 4 buah buku walaupun sedang melalui hari-hari sukar mahasiswa di hujung semester iaitu masalah kewangan. Mujur ada sahabat penulis yang meminjam beberapa keping not merah supaya tidak kempunan. Pengantar Tauhid oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dokumentari Era Reformasi Trio Sakti dan Lawan Tetap Lawan serta hadiah daripada sahabat penulis, Di Dalam Lembah Kehidupan oleh Prof. Dr. HAMKA. Penulis benar-benar percata bahawa buku-buku yang dibeli merupakan pelaburan jangka masa panjang.

Penulis paling gembira di dalam lawatan itu apabila berjaya menemui sebuah lagi karya Prof. Dr. HAMKA. Novel-novelnya sebelum ini memang amat digemari penulis khususnya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck selain daripada karya-karya agung Ulama’ Nusantara ini yang amat penulis kagumi.

Lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur itu adalah yang pertama buat penulis. Buku-bukunya cukup mengghairahkan, malah mata pun rambang memilih. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran beberapa karya-karya agung daripada tokoh-tokoh besar contohnya Fiqh al-Da’wah oleh Mustapha Masyhur yang dibukukan di dalam 2 jilid tebal, Fast Forward oleh Matthias Chiang dan banyak lagi.

Cuma penulis masih berpegang dengan kenyataan bahawa Institusi Terjemahan Bahasa Negara (ITBN) memang lembab. Kerana masih banyak lagi karya-karya agung tokoh-tokoh besar dunia yang tidak diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia. Rata-ratanya masih di dalam bahasa asal ataupun di dalam Bahasa Indonesia. Kita jangan hanya sibuk berbicara tantang mendaulatkan Bahasa Malaysia tanpa sebarang usaha serius untuk mendaulatkannya. Melainkan memang sengaja ditimbulkan isu ini hanya sekadar untuk mengaburkan isu kenaikan harga minyak.

Namun, aksi dan fesyen anak-anak remaja Melayu pun turut menghairahkan mata. Bagi penulis, kehadiran mereka hanya tidak lain daripada kegemaran untuk berada di dalam khalayak ramai dan bukannya kerana pesta buku sedang berjalan. Mereka berlegar-legar di sekitar dewan hanya untuk berhimpt-himpit jauh sekali mendekati gerai-gerai buku yang ada. Tambahan lagi pasangan-pasangan Melayu yang tidak segan silu bergomol-gomolan dengan tangan lelaki yang merayap dari atas sehingga ke bawah. Itu pun masih boleh lagi tersenyum apabila dijeling.

Daripada rambut yang diwarnakan sehinggalak kuku jari kiki yang dihitamkan mendatangkan persoalan yang besar, apakah nasib Melayu di masa depan?

Apa-apa pun, pokok penulisan ini adalah untuk mengabadikan lawatan pertama penulis ke pesta seumpama ini. Mudahan dipanjangkan umur dimurahkan rezeki untuk penulis dianugerahkan Tuhan desempatan untuk melibatkan diri di dalam industri keilmuan ini.

Comments