Kembara Bintulu 2006


Pengembaraan ke Bintulu ini bukanlah sesuatu yang luarbiasa bagi penulis. tiada apa-apa yang hebat atau luarbiasa mengembara dengan duduk menunggu di bangku penumpang di dalam bas selama 10 jam. Cuma yang menyeronokkan adalah apabila dapat mengembara bersama-sama dengan rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Di dalam Kembara Bintulu 2006 bermula 26-29 Mei ini, Pengakap merupakan kunci utama.
Pengembaraan ini merupakan pra-syarat untuk lulus Lencana Pengembaraan seperti yang termaktub di dalam skim latihan Pengakap Kelana. Bagi penulis, ini merupakan lencana ke-2 selepas lulus Lencana Hal Ehwal Kenegaraan. jadi selepas lulus Lencana Pengembaraan ini, hanya tinggal 2 lagi lencana yang perlu diperolehi untuk melayaakkan diri untuk mendapatkan Rambu Merah.
Kali terakhir penulis ke Bintulu barangkalai pada tahun 1998. Penulis masih ingat ketika itu Lapangan Terbang Bintulu masih lagi di tengah-tengah bandar. Sekarang, Lapangan Terbang Bintulu sudahpun dipindahkan di pinggiran bandar, kira-kira 20 minit daripada bandar.
Agak sukar untuk penulis gambarkan pembangunan bandar Bintulu ini kerana penulis bukanlah orang tempatan. maka berkadaranlah jika penulis sebutkan bandar Bintulu ini tidaklah setanding Kuching, Miri mahupun Sibu namun tidaklah setahap dengan Limbang, Samarahan ataupun Kapit. Namun yang pasti bangsa Cina tetap senang dijumpai.
Sepanjang keberadaan penulis dan rakan-rakan di Bintulu, kami menginap di rumah makcik penulis yang dekat dengan Tanjung Kidurong. Mujur adik penulis sedang membuat latihan praktikalnya di situ. Jadi penulis tidaklah kekok berdepan dengan keluarga makcik penulis.
Penulis sempat melawat ke pantai Tanjung Kidurong menikmati keindahan alam suria benam. Cukup menenangkan jiwa apabila lari jauh daripada realiti semasa dan berada di dalam nikmat keindahan dunia yang Tuhan ciptakan. Di dalam kesibukan gerak kerja persatuan di Kuching, kembara ke Bintulu ini juga ubat jiwa untuk menenangkan fikiran buat sehari dua. Sekembalinya penulis nanti, sudah ada kerja yang menunggu. Jadi biarlah kembara ini menjadi tempat penulis ubati segala keresahan dan kedukaan. Agar gerak kerja persatuan tidak terganggu dengan kepentingan peribadi. Penulis patuh pada prinsip kepetingan jemaah adalah lebih utama daripada diri penulis sendiri.
Seorang guru penulis pernah berkata bahawa kita akan lebih mengenali rakan kita apabila kita sepengembaraan dengannya. Kembara ini telah banyak memperlihatkan kepada penulis diri sebenar rakan-rakan penulis. Biarlah sifat mereka menjadi tanda tanya buat pembaca. Penulis hanya mengharapkan setiap daripada kita sentiasa bermuhasabah akan peribadi diri kita di dalam hubungan kita dengan Tuhan dan hubungan kita sesama manusia. Masih banyak lagi yang kita tidak tahu yang perlu kita kenali dan betulkan. Masih banyak juga yang kita tahu tetapi tidak kita perbetulkan. Lagi banyak yang kita tahu tetapi kita tidak mahu perbetulkan.
Tidak ada seorang pun yang berhak ke atas diri kita melainkan diri kita sendiri. seumpama itulah, maka kita juga perlu buktikan kitalah yang berhak menguasai diri kita. Bukan ibu bapa kita, bukan rakan-rakan kita, bukan guru-guru kita, bukan sesiapa. Hanya diri kita. Jangan sampai dipergunakan...
Penulis juga berkesempatan untuk solat di Masjid As-Syakirin, Masjid Jame' Bintulu dan di Masjid Darul Hidayah di samping melawat laji penapisan minyak Bintulu, pantai Tanjung Batu, Kelab Kidurong dan di sekitar bandar Bintulu. Kesimpulan yang penulis dapati? Orang Islam masih di tampuk lama...
Dengan izin Tuhan, kami selamat kembali ke Kuching sekitar pukul 9 malam selepas bertolak daripada Bintulu kira-kira pukul 8 pagi. Berakhirlah Kembara Bintulu 2006. hanya satu pesan penulis buat rakan-rakan sepengembaraan, sama-samalah kita bermuhasabah. Betulkan diri untuk jadi lebih baik daripada hari ini dan semalam. Semoga Tuhan terima kembara kita ini sebagai salah satu amal ibadat yang ikhlas kerena-Nya.
Samada sudah atau belum penulis tenangkan jiwa? hanya Tuhan yang tahu. Biar disimpan pun, jemaah tetap dan pasti penulis utamakan dahulu...

Comments