Kelab Intelektual Muda Menentang Usaha Perlekeh dan Menghina Islam

Kelab Intelektual Muda memandang serius terhadap perkembangan semasa kes Azlina Jailani @ Lina Joy yang mengaku murtad. Pihak Azlina Jailani @ Lina Joy gagal di dalam tuntutan untuk membenarkannya keluar daripada Islam serta tuntutan hak supaya tidak disebutkan agama di dalam kad pengenalannya di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Kini pihaknya merayu di peringkat Mahkamah Persekutuan. Keputusan Mahkamah Persektuan berhubung kes ini yang bakal dikeluarkan dalam tempoh sebulan sahaja lagi adalah amat penting. Memandangkan keputusan tersebut dikeluarkan oleh mahkamah tertinggi Negara, maka ia akan menjadi penanda aras kepada penghakiman mahkamah-mahkamah di hari muka apabila berdepan dengan kes-kes seumpama ini. Malah, keputusan tersebut bakal mencorak masa depan dan hala tuju Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di sebalik kehangatan kes ini yang menarik minat banyak pihak di dalam Malaysia, ia turut menjadi perhatian pihak-pihak antarabangsa samada mewakili Negara seperti Amerika Syarikat mahupun badan-badan bukan kerajaan. Negara-negara antarabangsa dan badan bukan kerajaan nasional dan antarabangsa dijemput untuk mengahantar peguam pemerhati di dalam perbicaraan kes ini. Dan buat pertama kalinya, pihak mahkamah membenarkan peguam pemerhati untuk turut sama berhujah semasa perbicaraan sedang dijalankan.

Di sebalik perbicaraan kes ini di mahkamah, ia telah memperlihatkan usaha-usaha agresif yang bersifat ofensif terhadap Islam di Malaysia. Usaha ini digiatkan oleh pihak-pihak tertentu yang ingin menafsirkan hak kebebasan untuk beragama seperti yang terkandung di dalam Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan berorientasikan Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malah pihak-pihak ini turut berkempen serata Negara atas dasar hak asasi manusia untuk menyebarkan salah faham terhadap Islam dengan menggunakan isu kesamarataan gender, dialog perbandingan agama dan malah menyentuh aspek akidah melalui gerakan-gerakan umum seperti “roadshow”, penyebaran risalah-risalah di dalam bahasa selain Bahasa Melayu dan banyak lagi.

Di samping itu, usaha-usaha pihak tertentu ini juga turut meliputi gerakan agresif untuk menyamatarafkan status Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti agama-agama lain di Malaysia dengan cara memberi penafsiran Islam melalui pandangan mereka.

Tanpa disedari oleh majoriti rakyat Malaysia, agenda pihak-pihak tertentu ini juga sebenarnya disertai oleh beberapa badan bukan kerajaan yang menggunakan nama Islam untuk menyebarkan fahaman sesat Islam Liberal. Mereka ini tidak lebih umpama duri dalam daging buat Islam.

Sudah terang lagi bersuluh, Artikel 4 (4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 menunjukkan bahawa bagi maksud Akta ini, perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Maka ia menunjukkan bukan semua perkara yang terdapat di dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu diterimapakai di dalam konteks perlaksanaan hak asasi manusia di Malaysia. Ini kerana, kita berpandangan bahawa beberapa perkara di dalam perisytiharan tersebut terpesong daripada hukum syara’ Islam sebagai agama bagi persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan melalui Artikel 3 (1) mengiktiraf Islam sebagai agama bagi persekutuan. Maka status Islam tidak sama seperti agama-agama lain di Malaysia. Usaha-usaha kotor pihak-pihak tertentu ini tidak lebih hanya untuk merosakkan keharmonian hidup rakyat berbilang agama di Malaysia. Malah tindakan mereka mencabar Islam dan umat keseluruhannya!

Badan-badan bukan kerajaan yang menggunakan nama Islam tetapi berpakat dan berkerjasama dengan pihak-pihak tertentu ini merupakan pengkhianat kepada Islam. Mereka sanggup menjual kedaulatan agama sendiri sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan untuk menyokong dan mendukung Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekalipun bertentangan dengan Islam.

Maka dengan ini, Kelab Intelektual Muda menyatakan pendirian menentang sebarang usaha untuk mencabar dan menghina status Islam di Malaysia. Sehubungan dengan itu, Kelab Intelektual Muda turut bersama menyokong dan mendukung aspirasi penubuhan Peguam Pembela Islam (PPI) dan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) untuk mempertahankan Islam daripada diperlekeh dan ditafsirkan sesuka hati oleh pihak-pihak tertentu yang berniat jahat terhadap Islam.

Kelab Intelektual Muda merayu kepada pihak-pihak berwajib untuk memastikan agar isu-isu perundangan yang boleh menggugat status Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak berulang lagi dengan memperkuatkan definisi kebebasan beragama di dalam Artikel 11 (1) dan bidang kuasa Mahkamah Syariah di dalam Artikel 121 (1A), Perlembagaan Persekutuan. Ini penting untuk memastikan pihak-pihak tertentu tidak memanipulasi kekaburan artikel-artikel tersebut untuk menjatuhkan Islam. Pihak-pihak berwajib juga perlu untuk memasukkan perkara berkaitan kesalahan murtad di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di setiap negeri.

Kelab Intelektual Muda menyeru rakyat untuk peka dengan perkembangan Negara semasa dan turut bersama-sama di dalam usaha untuk mempertahankan Islam di Malaysia ini. Setiap lapisan rakyat harus bersatu untuk menentang usaha-usaha yang bertujuan untuk mencemar keharmonian hidup di Malaysia dengan cara menyertai dan mewujudkan gerakan usaha penerangan serta kempen kesedaran tentang isu ini di kawasan masing-masing di samping menyampaikan keindahan sebenar ajaran Islam. Sebarang maklumat sahih boleh diperolehi melalui laman sawang http://myislamnetwork.net

Setiap daripada kita mempunyai kewajiban untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan isu ini. Kes Azlina Jailani @ Lina Joy ini perlu diambil sebagai iktibar dan pengajaran terhadap sikap lalai dan ketakpedulian kita di Malaysia.. Kes ini turut menggambarkan fenomena sebenar yang melanda umat Islam di Malaysia.. Oleh itu, sedarlah kita daripada tidur yang panjang demi agama yang kita cintai ini.

Comments