Apa Perlunya Mahasiswa Berpolitik?
Penulis bersyukur cadangan untuk pindaan AUKU sedang dijalankan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Selepas beberapa cadangan daripada "orang-orang besar" sendiri yang risau akan kelesuan belia di hari muka, barulah cadangan pindaan ini dipertimbangkan. Penulis kekal dengan pendirian, AUKU wajar diteruskan namun perlu dipinda untuk memberi ruang kepada mahasiswa menyediakan tapak sebelum bergelumang di lapangan rakyat.
Namun, apa yang menjadi tanda tanya buat penulis adalah kelompok mahasiswa yang yang sudah diberikan betis, nakkan peha. Cadangan pindaan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan pun sudah merupakan berita baik buat mahasiswa, kenapa perlu untuk meminta AUKU terus sahaja dimansuhkan?
Di dalam hal ini, penulis harus berbeza pendapat dengan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang lantas sahaja mencadangkan agar AUKU dimansuhkan. Penulis faham sekiranya cadangan tersebut datangnya daripada Prof. yang menilainya dari aspek perlembagaan Malaysia. Namun, sekiranya cadangan ini datang daripada kelompok mahasiswa, penulis kung percaya cadangan mereka itu didasari oleh semangan perlembagaan Malaysia melainkan hanya menurutkan hati muda dan nostalgia semata-mata.
Di dalam hal ini penulis bangkitkan beberapa persoalan untuk kita nilai sekiranya AUKU dimansuhkan;
1. Boleh atau tidak mahasiswa menjamin diri mereka akan betul-betul bermanfaat kepada masyarakat sekiranya AUKU dimansuhkan? sedangkan tidak nampak pun mahasiswa-mahasiswa yang tampil sebagai pendekar di dalam isu-isu kemasyarakatan selama ini melainkan mereka hanya bertindak pendekar di dalam isu yang melibatkan diri mereka sahaja. Mahasiswa sekarang adalah individualistik. Sekalipun jika isu palestin, isu murtad dikemukakan, adakah mahasiswa berniat ikhlas di dalam memperjuangkannya ataupun sekadar memainkan sentimen untuk meraih sokongan dan populariti. Kerana itu tampak mahasiswa sekarang tidak komited di dalam satu-satu isu, kerana mereka bersifat "program oriented". tidak hanis satu isu, isu lain pula yang dikejar. Sudah dapat gading bertuah, isu lama tak diguna lagi.
2. Boleh atau tidak mahasiswa menjamin diri mereka akan betul-betul komited dan konsisten di dalam perjuangan? Sedangkan mahasiswa hanya kelihatan gah ketika di Universiti tetapi bila kembali ke kampung halaman jadi sampah sarap tak pandai memeanfaatkan diri dengan masyarakat sekeliling.
3. Boleh atau tidak mahasiswa menjamin mereka tidak bersifat partisan? Kenapa perlu untuk mahasiswa terlibat di dalam politik kepartian? Penulis sendiri tidak nampak laigi mana-mana parti politik di MAlaysia ini yang benar-benar ikhlas di dalam soal perjuangan negara. Setiap tindakan pasti mereka pertimbangkan konsekuensi politik mereka. Pada penulis, tidak mengapa untuk mahasiswa berpolitik, kerana setiap dari tindakan kehidupan kita pasti tidak lari dari definisi politik, namun, penulis tidak setuju jika mahasiswa terlibat di dalam politik kepartian.
Banyak lagi persoalan-persoalan yang boleh dikemukakan, inshaAllah lain kali. Pokok pangkalnya biarlah dahulu AUKU di pinda, kita lihat hasilnya. Sekiranya dimansuhkan pun, di dalam suasana mengejut, bukan semua mahasiswa yang mendapat manfaat darinya melainkan kelompok kecil sahaja.
Comments