Dialog Penswastaan Mahalah bersama Ust. Hamidon: Satu Penilaian

Pertamanya, penulis ucapkan tahniah buat Saudara Radziq Jalaludin, Presiden MPP UIAM yang berjaya menganjurkan satu dialog bersama dengan Ust. Hamidon, Timbalan Rektor HEP dan Alumni UIAM malam tadi (17/8/06).
Kira-kira pukul 9.00 malam tadi, penulis terus bergegas ke Experimental Hall, UIAM untuk turut bersama masyarakat kampus untuk mendapatkan penerangan dan di dalam masa yang sama menyatakan pendirian mahasiswa berhubung dengan isu penswastaan mahalah (kolej kediaman) di hadapan Ust. Hamidon.
Suasana ketika penulis sampai tidaklah begitu meriah seperti yang diharapkan. Jadi kesimpulan daripada pandangan pertama penulis, mahasiswa UIAM mungkin tidak sedar akan kewujudan dialog tersebut yang penulis sendiri rasakan dibuat secara tergesa-gesa kalau tidakpun kurang promosinya di kalangan masyarakat kampus. Kesimpulan lain, mungkin mahasiswa UIAM sememangnya merupakan golongan yang kurang peka terhadap isu semasa hatta yang berhubung dengan kebajikan sendiri kerana kebergantungan dengan orang lain. Namun, kerusi tidak kosong sehingga penghujung dialog, kerana selepas 15 minit penulis duduk mendengar, sudah ramai pelajar yang bersesak-sesak berdiri di belakang.
Dialog pada malam tadi sememangnya dialog. Tidak pantas untuk Ust. Hamidon menjadikannya sebagai satu majlis penerangan seperti apa yang selalu pihak pentadbiran akan lakukan apabila berdepan dengan pelajar. Begitu juga pelajar yang faham akan maksud dialog, juga tidak pantas untuk berucap panjang, hanya sekadar isi-isi penting buat hujahan.
Namun penulis kesal dengan sikap segelintir pelajar UIAM yang tampil bersuara. Sikap kurang adab tampak jelas apabila mereka berhujah dan menyoal Ust. Hamidon di hadapan. Sehingga ada suatu ketika penulis merasakan adalah amat "kurang ajar" apabila Ust. Hamidon diperlakukan sedemikian. Bagi, penulis, tidak mengapa untuk pelajar menunjukkan berhujah dengan emosi asalkan berlandas kepada keilmuan. Malah penulis sendiri pada malam tadi tersepit di antara dua dilema, samada mahu bersifat pendekar yang tegas ataupun sekadar pendekar yang bersopan. Penulis kira, untuk berhujah sedemikian, adalah tidak mengapa sekiranya lawan kita adalah seperti Razali Agus (Tim. Naib Canselor UM) ataupun seperti Tim. Naib Canselor UUM yang sudah sohor nama mereka di kalangan masyarakat kampus masing-masing sebagai seorang yang memang memusuhi pelajar khususnya yang dilabel pembangkang. Namun, Ust. Hamidon adalah dari kelompok manusia yang lain. Tidak pernah sekalipun penulis mendengar pelajar menyumpah seranah Ust. Hamidon, dan tidak pernah sekalipun penulis dengan Ust. Hamidon menyumpah seranah pelajar. Maka adalah paling wajar untuk Ust. Hamidon dihormati dan dilayan selayaknya.
Malam tadi, bagi penulis Ust. Hamdion telah menyerlahkan lagi sikap rendah dirinya yang sememangnya sudah diketahui umum.
Teguran juga buat MPP UIAM, kerana mereka telah gagal sebagai penganjur untuk mengawal suasana dialog malam tadi. Sekalipun bertujuan untuk menghangatkan dialog supaya pelajar-pelajar sedar dan bangkit mempertahankan hak masing-masing, tetapi perlulah adab dijaga selari dengan ajaran Islam. Sudah namanya kita ini pelajar UIAM, jika kita sendiri tidak menunjukkan adab yang murni, siapa lagi?
Menyentuh tentang isi dialog malam tadi, banyak juga isu-isu yang terpendam terbuka juga pekungnya malam tadi. Paling menarik perhatian penulis bagaimana pihak UIAM boleh bermain dengan nyawa pelajar dengan membenarkan pelajar-pelajar baru untuk menduduki Mahalah 7 yang belum lagi mempunyai CF!!! dan banyak lagi isu sampingan berkaitan dengan pengurusan mahalah yang boleh dijadikan sebagai bukti betapa teruknya pengurusan mahalah di UIAM.
Namun pokok pangkalnya, penswastaan mahalah seolah-olah diisyaratkan oleh Ust. Hamidon sebagai akan tetap dilaksanakan sebermula 1 November tahun ini. Janji Ust. Hamidon bahaw yuran mahalah tidak akan dinaikkan, sekalipun janji tetap mengundang lebih banyak persoalan berhbung dengan isu teras penswastaan mahalah.
Pastinya, sehabisnya dialog malam tadi, penulis masih lagi tidak mendapat jawapan kenapa mahalah perlu diswastakan. Jawapan yang paling dekat oleh Ust. Hamidon pun hanya menyatakan bahawa penswastaan perlu demi untuk UIAM membuat duit sendiri bagi menampung pentadbiran universiti. Sekiranya begitu, siapa mangsa penswastaan mahalah demi untuk membuat duit ini?

Comments