Masjid SHAS: Demo Anti Israel-IFC 18/8/06

Sejurus selepas mengucap salam sebelah kiri Solat Jumaat semalam di Masjid SHAS, penulis dan rata-rata ahli jemaah solat yang lain dikejutkan dengan laungan takbir bergema daripada luar masjid. Tahulah penulis bahawa Demonstrasi Mahasiswa Anti Israel-IFC sudah bermula di luar sana. Penulis telah dimaklumkan awal melalui SMS daripada seorang sahabat tentang penganjuran demonstrasi tersebut oleh WUFI-UIAM dan disertai bersama oleh PMI-UM dan PMI-UKM.
Penulis memuji tindakan berani pihak penganjur walaupun agak lambat namun masih lagi terkehadapan daripada mana-mana persatuan mahasiswa yang lain seumpama PKPIM dan KARISMA mahupun HALUAN. Penganjuran tersebut pada penulis kemungkinan besar tidak disedari apatah lagi diluluskan oleh pihak pentadbiran universiti. Namun, berpegang kepada kata-kata yang memberikan lampu hijau kepada mahasiswa UIAM oleh Presiden UIAM, Tan Sri Sanusi Junid 2 minggu sudah, penulis kira kelulusan daripada pihak pentadbiran universiti yang penuh dengan prosedur birokrasi sudah tidak relevan lagi.
Namun, penulis perlu menegur penganjuran tersebut yang penulis sifatkan agak tidak molek kerana suara pekikan dan laungan takbir, slogan dam bermacam lagi tidak dapat dinafikan mengganggu kosentrasi ahli jemaah di dalam masjid yang masih menunaikan ibadah-ibadah sunat. Mungkin agak baik kiranya, penganjuran tersebut dilewatkan sedikit ataupun "hailer" yang digunakan tidak perlu dihalakan ke dalam masjid secara berterusan.
Langkah berani dan proaktif yang dimainkan oleh pihak WUFI-UIAM amat penulis hargai di dalam suasana kampus yang amat perlukan pimpinan dan pembimbing mahasiswa di dalam menerusi perjuangan ummah secara bersama. Juga di dalam suasana persatuan-persatuan pelajar lain yang tampaknya tidak punya kekuatan dan mungkin punya hala tuju atau pendekatan yang berbeza di dalam perjuangan ummah ini, WUFI-UIAM amat diperlukan untuk memainkan peranan secara lebih radikal dan berani seumapam ini.
Pesanan penulis juga buat ahli-ahli persatuan pelajar lain, adalah tidak berasas untuk mengelak daripada menyertai usaha perjuangn ummah seperti demonstrasi semalam hanya semata-mata kerana penganjurnya adalah bukan daripada persatuan kita. Kita harus bersyukur kerana masih lagi punya sahabat-sahabat daripada persatuan pelajar lain yang telah memulakan usaha seperti ini. Dan penulis kira, tanggungjawab untuk kita menyertai usaha ini adalah sama beratnya dengan tanggungjawab untuk kita juga turut sama menganjurakan pendekatan lain di dalam perjuangan ummah ini. Lebih-lebih lagi bagi persatuan-persatuan pelajar yang ibarat hidup segan mati tak mahu kerana terlalu asyik di dalam perjuangan kononnya nasionalisme bangsa akhirnya terperap di dalam kelompok eksklusif. Mereka hanya tahu berdampingan dan memenuhi kehendak pihak yang "establish" tetapi gagal memahami kehendak dan tuntutan sahabat-sahabat mahasiswa lain.
Penulis juga ucapkan tahniah buat Sdr. Meor (Presiden IRKHSS-UIAM), Sdr. Ubaidillah (Presiden Ma'ruf Club-UIAM), Sdr. Nazree (Presiden PMI-UM), Sdr. Hafiz Badruzzaman (Naib Presiden LAWSOC-UIAM) dan nama-nama lain yang penulis tidak kenali untuk dicatat di dalam penulisan, di atas ucapan dan semangat yang ditunjukkan di dalam penganjuran demonstrasi semalam. Penulis percaya nama-nama ini perlu dipahat di dalam dada mahasiswa sebagai pemimpin berkaliber yang sudah tampak pada zahirnya namun perlu dihalusi pada dalamannya yang penulis harapkan adalah ikhlas kerana Allah semata-semata.
Di dalam kesempatan ini, penulis menyelar pelajar-pelajar yang hanya tahu mengeji dan merendah-rendahkan usaha perjuangan daripada kelompok persatuan pelajar lain. Kerana mereka sendiri tidak pernah membuktikan kepada umum malah mungkin pada diri sendiri bahawa mereka ini mampu berbuat lebih baik atau paling kurang pun setahap dengan apa yang telah dilakuakan di dalam penganjuran demonstrasi semalam. Lebih baik golongan seperti ini mencari medan yang sesuai buat mereka di arena lain, kerana mereka ini hanya akan merosakkan perjuangan dan melambatkan kemenangan.
Akhir sekali, penulis ingatkan sekali lagi. Di dalam perjuangan ini, ketakutan kepada makhluk merupakan benteng pertama yang perlu kita robohkan untuk memastikan kita dapat pergi berjuang di dalam fasa seterusnya. Sekiranya ketakutan masih lagi wujud seumpama takut kepada kesan-kesan politik, ekonomi mahupun sosial terhadap persatuan kita atau pun takut dikenakan tindakan oleh pihak pentadbiran atau takut kepada apa sahaja, maka selama-lamanya kita akan kekal berada di tampuk lama di belekang benteng ketakutan kita. Sedangkan hanya Allah sahajalah yang seharusnya kita takuti.
Teruskan perjuangan. Penulis juga berdoa agar diberikan kekuatan untuk berjuang di barisan hadapan. Amin.

Comments