Dahulu Nurin, Sekarang Preeshena: Selamatkah Anak Anda ?
Belum reda lagi sedih-ratap
Adik Preeshena yang berumur sembilan tahun baru sahaja dibiarkan bersendirian di rumah sejak sebulan yang lalu apabila ibu dan ayahnya keluar berkerja. Namun, tiada siapa sangka malah ibu dan ayahnya sendiri juga tidak menyangka nasib buruk yang akan menimpa anak mereka pada Khamis lepas.
Ibu dan ayah mereka yang bergantung harap dengan sistem keselamatan yang disediakan di kondominium tersebut nyata hampa dan kesal dengan peristiwa yang menimpa mereka ini. Bayaran untuk pergantungan mereka kepada sistem keselamatan yang ditawarkan di kondominium tersebut terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi malahan tidak berbaloi apa sekali pun.
Di dalam kes adik Preeshena ini, ibu dan ayahnya sudah berpesan berulang kali kepada anaknya dan malahan mengambil iktibar daripada kes adik Nurin Jazlin. Namun, peristiwa ngeri sekali lagi berulang dengan kematian adik Preeshena yang tidak kurang tragiknya jika dibandingkan dengan kes adik Nurin. Nah… apakah ibu dan ayahnya tidak memainkan peranan di dalam memastikan keselamatan anak mereka?
Sekalipun ibu dan ayahnya keluar berkerja, mereka tidak dapat disalahkan kerana sudah pun mengambil langkah yang proaktif untuk memastikan keselamatan anak mereka yang ditinggalkan di rumah secara sendirian terjamin. Malah mereka juga telah menerangkan banyak perkara yang berkaitan dengan isu keselamatan harga diri kepada anak mereka. Maka, adakah wajar ibu dan ayah adik Preeshena disalahkan? Wajarkah mereka tidak turun berkerja untuk menjamin keselamatan anak-anak meraka?
Sekalipun apabila kita berbicara daripada perspektif undang-undang, mungkin benar pihak keselamatan kondominium boleh didapati bersalah kerana kelemahan di dalam sistem keselamatan yang ditawarkan. Namun, setakat manakah kepercayaan kita terhadap sistem keselamatan yang ditawarkan oleh penjaga keselamatan di kawasan kediaman boleh menjamin keselamatan anak-anak kita? Apatah lagi untuk kawasan kediaman yang tidak menyediakan sebarang khidmat kawalan keselamatan.
Maka, meletakkan tanggungjawab keselamatn tidak dapat kita letakkan ke atas bahu penjaga keselamatan sahaja. Ini kerana, tidak semua kawasan kediaman yang dikawal oleh penjaga keselamatan. Malahan, keselamatan anak-anak kita di kawasan kediaman yang dikawal oleh penjaga keselamatan juga belum boleh dijamin.
Persoalan isu keselamatan anak-anak kita seharusnya menjadi kebimbangan yang amat kepada ibu dan ayah hari ini. Hebahan kes adik Nurin dan adik Preeshena harus membuka mata para ibu dan ayah akan persoalan jaminan keselamatan anak-anak mereka. Ia menjadi stigma kepada masyarakat keseluruhan dan natijahnya, masyarakat hilang kepercayaan terhadap sesiapa pun yang berda di sekeliling mereka hatta jiran sekalipun. Ini kerana persoalan jaminan keselamatan anak-anak mendepani jalan buntu yang tidak berkesudahan.
Sekalipun hujahan sesetengah pihak yang mengatakan semua pihak harus mengambil tanggungjawab secara bersama di dalam menjamin keselamatan anak-anak kita, ia hanya tinggal retorika semata. Ini kerana, mengambil tanggunjawab secara bersama bermaksud ia memerlukan kerjasama di antara semua pihak lebih-lebih lagi komuniti sekeliling. Kerjasama bermaksud saling percaya dan mempercayai di antara satu sama lain. Maka persoalan yang timbul, siapakah yang kita percaya untuk menjamin keselamatan anak-anak kita? Sedangkan banyak kes pecah rumah, samun, gangguan seksual, rogol dan bermacam lagi dilakukan oleh warga komuniti sekeliling yang kita sedar atau tidak sebenarnya sudah lama memerhatikan kita. Yakinkah kita kepada warga komuniti sekeliling kita?
Kebuntuan ini masih belum terubat tambahan pula dengan popularity kes-kes seumpama ini yang seakan-akan membentuk trend tersendiri yang diikti oleh kegilaan perosak sosial yang hidup di celah-celah kita. Selamatkah anak anda?
rujuk:
http://ntbn.wordpress.com/2007/11/04/lagi-mangsa-kanak-kanak-polis-apa-komen/
http://www.mmail.com.my/Current_News/mm/Weekend/Frontpage/20071105091832/Article/index_html
http://www.mmail.com.my/Current_News/mm/Monday/Hotnews/20071105104021/Article/index_html
Comments