Memacu Momentum Gerakan Mahasiswa
MUQADDIMAH
Mu’tamar dan Keikhlasan Aktivis Gerakan
Mu’tamar tahunan yang diadakan saban tahun ini menjadi
Di dalam penilaian saya selama penyertaan di dalam mu’tamar di peringkat cawangan anak negeri, kampus mahupun pusat, mu’tamar yang kita anjurkan dari tahun ke tahun sudah menjadi tidak lebih daripada perlaksanaan adat formaliti di dalam gerakan. Seolah-olah tiada bezanya mu’tamar kita dengan persidangan agung tahunan persatun-persatuan biasa. Pengalaman di dalam gerakan sebermula tahun 2000 memperlihatkan kepada saya betapa mu’tamar demi mu’tamar yang kita anjurkan tahun demi tahun sudah semakin lari daripada nilai dan objektif penganjurannya. Fakta ini lebih tampak di kalangan generasi muda di dalam gerakan kita yang memahami mu’tamar demi mu’tamar yang dianjurkan tidak lebih daripada sifatnya sebagai program tahunan dan sebagai
Oleh kerana penganjuran mu’tamar saban tahun sudah menjadi adat yang nilaiannya material kepada gerakan, tidak hairanlah betapa gerakan ini melahirkan begitu ramai aktivis-aktivis berjiwa material yang lantas langsung gagal menyerap jiwa spiritual perjuangan gerakan.
Apakah sebenarnya yang menyebabkan natijah ini? Lantas tidaklah ada jawapan lain melainkan kegagalan aktivis-aktivis gerakan untuk mengikhlaskan niat di dalam perjuangan gerakan ini. Kegagalan mengikhlaskan niat di dalam perjuangan gerakan ini telah menyebabkan betapa agenda-agenda perjuangan kita tidak lebih hanya sekadar adapt formaliti yang berorientasikan program semata. Bahkan ada di antara kita yang menjadikan gerakan ini sebagai batu loncatan untuk merebut keuntungan-keuntungan material diri. Tidak hairanlah sekiranya PKPIM khususnya di Taman Ilmu dan Budi ini gagal menyebar-fahamkan sinar Islam dan Iman ke seluruh ceruk bangunan yang hanya tersergam indah tetapi dihuni jiwa-jiwa rosak dan mati. Kerana jiwa-jiwa aktivisnya rupa-rupanya juga telah rosak dan bakal mati.
Tidaklah sepatutnya aktivis gerakan yang berjiwa material memakai gelar aktivis gerakan. Kerana aktivis gerakan seharusya berjiwa dai’e rabbaniy yang berpewatakan jundullah fi sabilillah memerangi kebatilan dan kesesatan di dalam kancah kehidupan umat dan meneranginya dengan kebenaran dan keadilan di atas petunjuk dan hidayah Allah swt dengan niat yang ikhlas semata-mata keranaNya.
“Abu Musa (Abdullah) bin Qais al-Asj’ary ra berkata: Rasulullah saw ditanya tentang orang yang perang kerana keberanian dan kerana kebangsaan atau kerana kedudukan, yang manakah di antara semua itu yang dapat disebut fi sabilillah? Jawab Nabi: Siapa yang berperang semata-mata untuk menegakkan kalimatullah (agama Allah), maka itulah fi sablillah.”[1]
‘Ulama’ telah menetapkan bahawa rukun pertama setiap amal ibadat adalah niat, bahkan di dalam membezakan antara ibadat dan adat, hanyalah niat[2]. Dan hanya amal perbuatan yang disertakan dengan niat yang ikhlas lillahita’ala sahaja yang diterima di sisiNya.
Marilah sama-sama kita sedar dan insafi kesalahan yang telah kita sengajakan selama ini. Kita ikhlaskan niat di dalam perjuangan gerakan ini dengan harapan dan pergantungan yang tetap kepada Allah swt supaya diterimaNya perjuangan kita sebagai amal ibadah di sisiNya. Mari kita mulakan lembaran baru perjuangan kita sebagai aktivis gerakan yang kita cintai ini dengan mengikhlaskan niat kita sebermulanya di mu’tamar ini dan seterusnya di dalam menerusi kesinambungan perjuangan gerakan ini.
“Sesungguhnya amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan. …”[3]
Percayalah, bahawa keberadaan kita hari ini di dalam perhimpunan dengan memakai gelar aktivis gerakan PKPIM sudah pasti dan pasti telah ditentukan Allah swt terlebih dahulu. Dan penyertaan kita di sini hari ini merupakan bukti jelas bahawa kita merupakan pilihan Allah swt untuk menggalas taklifan khalifah di muka bumi ini dengan ketaatan sebagai hamba kepada Penciptanya.
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…”[4]
Hadirnya kita di sini hari ini merupakan atas kesedaran dan kefahaman kita di atas taklifan khalifah di dalam ketaatan sebagai hamba untuk menerusi fana dunia sementara ini sebelum kembali kepada Allah swt di Hari Mahsyar kelak dengan membawa amal dan dosa yang diperhitungkan sepanjang menyanggupi taklifan yang tidak tertolakkan oleh kita ini. Taklifan kekhalifahan yang membawa misi perjuangan ‘amar ma’ruf nahi munkar adalah sebenarnya wajib ke atas setiap Muslim.[5]
“Sesungguhnya telah Kami tunjukkan amanah (perintah) kepada langit, bumi dan gunung-gunung, lalu mereka enggan memikulnya dan takut menerimanya, kemudian amanah itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu aniaya lagi jahil (tiada berilmu).”[6]
Justeru, di sini hari ini, hadirlah wahai jiwa-jiwa hamba, laksanakanlah kekhalifahanmu dengan keikhlasan lillahita’ala di atas manhaj gerakan PKPIM yang terpilih ini. Mudahan Allah swt mengira kita sebagai salah seorang pejuang, kekasih pencintaNya buat menghuni syurga abadi merasai nikmat agung keabadian bertemu dengan Allah swt yang diagungkan selamanya.
Tema Mu’tamar
Di dalam merangka ucapan dasar ini, saya tidak pernah bertujuan untuk menggariskan dasar-dasar kepemimpinan PKPIM-ABIM-UIAM sesi mendatang melalui ucapan ini melainkan hanya sebagai rujukan melalui pengiktibaran yang dicontohkan di dalamnya berdasarkan pengalaman lepas. Mudah-mudahan pengiktibaran yang saya contohkan di sini dapat dimanfaatkan di dalam menyelami ruh perjuangan gerakan ini untuk mendepani seribu macam cabaran dan dugaan yang tidak kunjung putus untuk mematangkan setiap diri aktivis gerakan ini.
Tema “Memacu Momentum Gerakan Mahasiswa” tidak hanya sekadar menghias muka utama ucapan dasar kali ini. Tidak juga sekadar buar manis sebutan bibir. Tema muktamar terpilih khusus buat sama-sama kita fikirkan demi memastikan relevansi survival gerakan kita di lapangan umat khususnya di Taman Ilmu dan Budi ini.
Di dalam memacu momentum gerakan mahasiswa di Taman Ilmu dan Budi ini, PKPIM-ABIM-UIAM tidak perlu menunggu lama lagi untuk terkehadapan menjadi peneraju. Gerakan yang kita pandu ini perlu meluaskan dimensi pemikiran dan perlaksanaan agenda perjuangan ‘amar ma’ruf nahi munkar, agar relevansi survival gerakan kita dirasai di seluruh ceruk bangunan oleh setiap pemilik jiwa rosak dan mati di Taman Ilmu dan Budi ini. Untuk menerusknan kesinambungan perjuangan demi kebenaran dan keadilan di atas jalan Islam ini memerlukan, gerakan-gerakan mahasiswa di Taman Ilmu dan Budi ini memelrukan peneraju baru yang punya dimensi pemikiran yang luas dan dan perlaksanaan rencana yang kontemporer.
Sudah cukup lama kita mengikut rentak tari gerakan-gerakan lain yang meneruskan agenda perjuangan yang menuju ke hala yang sama namun di dalam dimensi pemikiran dan perlaksanaan yang tidak pula membawa gerakan mahasiswa secara keseluruhan ke fasa yang lebih baik. Ini dek kerana ketamakan dan haloba kepentingan diri untuk terus dicop sebagai peneraju gerakan mahasiswa dengan mengenepikan terus agenda pemersatuan gerakan mahasiswa secara pintar di dalam isu-isu umat yang umum. Apa yang lebih merisaukan apabila fitnah kepada Islam datang bergolek-golek dek kerana kesempitan pemikiran dan perlaksanaan perjuangan agama ini.
Lantas, tatkala agenda pemersatuan gerakan mahasiswa yang kita tawarkan ditolak mentah-mentah, siapa lagi yang dapat kita harapkan?
“… Sesungguhnya Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum, kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. …”[7]
Demi memastikan survival gerakan mahasiswa terus relevan di lapangan kampus, maka PKPIM-ABIM-UIAM harus melangkah mengisi kekosongan ini. PKPIM-ABIM-UIAM perlu bergerak dengan langkah yang lebih yakin dan kemas untuk memastikan supaya gerakan kita ini mampu meneraju memacu momentum gerakan mahasiswa di Taman Ilmu dan Budi. Keyakinan dan kekemasan langkah yang dimaksudkan hanyasanya akan terjadi dengan melengkapi para aktivis gerakan ini dengan elemen-elemen yang akan dibicarakan di dalam ucapan ini. Dan dalam masa yang sama, menilai dan mengambil iktibar daripada isu-isu umum yang berlaku sekitar gerakan ini di Taman Ilmu dan Budi.
PEMBUDAYAAN ILMU
PKPIM telah bertahan sejak awal penubuhannya sebagai sebuah gerakan yang kaya dengan nilai keilmuan dan inilah yang membezakan kita dengan gerakan-gerakan lain. Keluarga besar gerakan kita PKPIM-ABIM-WADAH juga telah mempertahankan nilai keilmuan ini di dalam menerusi agenda perjuangan yang tak kunjung sudah. Namun, apa yang lebih penting adalah betapa Islam sendiri meletakkan ilmu di tapak yang tinggi berbeza dengan agama-agama lain.
“Katakanlah: Apakah dapat disamakan orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.”[8]
Maka dengan mengambil pencontohan ketinggian nilai ilmu di sisi Islam, maka gerakan kita berupaya untuk kekal bertahan hampir separuh abad lamanya melaksanakan tugas kekhalifahan di dalam manhaj yang tersendiri. Keupayaan gerakan kita menjunjung tinggi nilai keilmuan ini telah melengkapi usaha gerakan-gerakan lain di dalam menerusi agenda perjuangan ini.
Tidak dapat dinafikan betapa pembudayaan ilmu telah membentuk kekuatan terbesar gerakan kita sehingga menjadikan identiti gerakan kita dengan ilmu tidak dapat dipisahkan.
Bagai aur dengan tebing,
Bagai isi dengan kuku.
Pembudayaan ilmu merupakan kekuatan terbesar gerakan ini yang tidak boleh disia-siakan. Di dalam usaha untuk memacu momentum gerakan mahasiswa did alam menerusi agenda perjuangan gerakan ini, maka pasti dan pasti pembudayaan ilmu merupakan elemen yang seperlunya di hayati terlebih dahulu sebelum melangkah ke elemen lain.
Bacalah
Namun, yang demikian, senario transisi generasi di dalam gerakan ini telah memperlihatkan satu perkembangan negatif yang membarah dari sehari ke sehari. Perkembangan negatif ini cukup merosakkan kekuatan terbesar gerakan ini malah tidak mustahil bakal meruntuhkan gerakan yang kita kasihi ini.
Manakan tidak, tatkala generasi-generasi aktivis lalu telah meninggalkan kita dengan sebuah gerakan yang sohor dengan nilai keilmuan, generasi aktivis hari ini telah menghakis nilai ini daripada gerakan. Buktinya sudah nyata di depan mata. Apa lagi yang dapat disangkal oleh nafsu lidah kita yang hanya pandai bicara ucapan alasan sampah tak sudah. Lihat sahaja bagaimana mutu perbahasan mu’tamar di peringkat cawangan dan pusat, lihat sahaja mutu soalan, pendapat dan hujah olahan di dalam majlis-majlis ilmu yang disertai, lihat sahaja rak-rak buku aktivis-aktivis kita yang samada penuh dengan komik atau sarang labah-labah.
Disebabkan asas kepada pemerkasaan nilai keilmuan yang kita abaikan maka natijahnya seperti yang kita lihat hari ini.
“Bacalah (ya Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan.”[9]
Inilah asas utama ke arah pemerkasaan nilai keilmuan di dalam diri setiap aktivis untuk membina kembali gerakan ini sebagai sebuah gerakan yang kaya dengan nilai keilmuan. Membaca merupakan tangga pertama menuju kepada pembudayaan ilmu di dalam gerakan. Sekiranya tangga yang pertama ini kita langkahi untuk terus ke tangga kedua, maka tidak hairanlah kenapa aktivis-aktivis kita hari ini hanya mampu mengeluarkan ucapan-ucapan sampah yang tidak bernilai. Tanpa memijak dahulu tangga pertama ini, maka lahirlah pembudayaan ilmu tanpa ruh. Jadilah mereka ini ibarat tin-tin kosong yang membuat bising apabila berlaga tetapi sebenarnya isinya kosong semata.
Bacalah, wahai aktivis-aktivis gerakan,
Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan,
Bacalah dan Tuhanmu amat pemurah,
Tuhanmu lah yang mengajarkan,
Ilmu pengetahuan,
Dengan ilmuNya yang tak terbanding dengan luas tujuh lautan,
Tak sebanding ilmu titisan laut dari jarum yang dicelup,
Bacalah, nescaya kau akan berjaya,
Di sisi Tuhan, kau dikira.
Kecemerlangan Akademik
Melalui bacaan semasa, fakta bahawa ramai di kalangan aktivis-aktivis gerakan ini di Taman Ilmu dan Budi mengalami keciciran akadmik tidak dapat ditolak ke tepi. Masalah keciciran akademik yang semakin meruncing di dalam gerakan perlu diambil pusing secara serius di dalam usaha untuk mengenal pasti punca dan mencari penyelesaian baginya.
Sebagai aktivis sebuah gerakan yang meletakkan nilai ilmu di tapak yang tinggi, adalah tidak cocok untuk melihat aktivis-aktivisnya mengalami keciciran akademik. Tatkala kita sohor dengan ketinggian nilai ilmu, tetapi cacat pula dengan keputusan akademik yang setakat cukup makan. Akademik tidak dapat dipisahkan dengan pembudayaan ilmu tatkala kecemerlangan akademik merupakan salah satu kayu ukur paling berkesan yang digunakan untuk menilai sejauh mana gerakan ini telah benar-benar meletakkan ilmu di tempat yang tinggi melalui pembudayaan ilmu.
Usaha serius perlu dilaksanakan segera oleh gerakan ini di peringkat pusat mahupun cawangan khususnya di kampus-kampus untuk mendepani masalah ini secara syura dan ‘amal jamai’e. Kerana natijah daripada masalah ini sekiranya dibiarkan berleluasa tidak kurang beratnya dengan masalah keciciran aktivis. Tambahan pula apabila masalah ini menjadi aral yang melintang di dalam melaksanakan agenda perjuangan yang sudah pun direncanakan. Apa yang lebih merunsingkan apabila masalah keciciran akademik ini menjadi fitnah kepada gerakan dan seterusnya memberikan imej negatif yang sudah tentu akan berparut. Walhasil,
Apa yang dikejar tak dapat,
Apa yang dikendong berciciran.
PENDIDIKAN DAN LATIHAN PEMBANGUNAN
Adalah merupakan keutamaan yang tertinggi untuk memastikan pendidikan dan latihan pembangunan di dalam gerakan sentiasa berjalan. Kerana pendidikan merupakan tulang belakang kepada survival gerakan di dalam mendepani mehnah dan tribulasi di dalam arena tempur perjuangan ‘amar ma’ruf nahi munkar yang kita pandu.
Proses pendidikan dan latihan pembangunan ini tidak boleh terputus atau terhenti meskipun kerana sesuatu darurat atau apalagi kerana sesuatu program.[10] Aktivis gerakan samada kita ini pemimpin mahupun pengikut mestilah mengikuti pendidikan dan latihan pembangunan gerakan biar betapa sibuk atau di dalam apa jua keadaan sekalipun.[11]
Justeru itu, tanpa punya pendidikan, gerakan ini tidak akan berupaya meneruskan kesinambungan misi kerasulan Muhammad Rasulullah saw. Mahu tidak mahu, para aktivis gerakan ini perlu dilengkapi dengan benteng pertahanan dan alatan menyerang di dalam perjuangan panjang ‘amar ma’ruf nahi munkar di Taman Ilmu dan Budi ini khususnya. Tak lain dan tak bukan, pendidikan dan latihan pembangunan merupakan solusi kepada menyediakan kelengkapan ini di dalam usaha ferakan ini untuk memacu sebagai peneraju momentum gerakan mahasiswa.
Format Pendidikan
Di dalam membicarakan soal pendidikan di dalam gerakan ini, saya berani mengatakan bahawa gerakan ini masih tidak punya satu format pendidikan untuk diaplikasikan samada di peringkat pusat mahupun cawangan. Namun, saya percaya di bawah tampuk kepemimpinan pusat yang baru, usaha sedang giat dijalankan untuk mewujudkan format pendidikan yang tetap. Namun, saya timbulkan persoalan untuk sama-sama kita fikirkan, berapa lamakah format tersebut akan diaplikasikan di dalam gerakan ini? Setahun, dua tahun atau mungkin sahaja format ini akan berubah lagi tatkala naik sahaja kepemimpinan yang baru di mu’tamar pusat akan datang. Pasti dan pasti cawangan-cawangan gerakan ini di seluruh Negara juga akan turut terkena tempiasnya. Nah, inilah sebenarnya masalah yang sedang kita hadapi di dalam isu pendidikan di dalam gerakan.
Tanpa sebuah format pendidikan yang tetap, seolah-olah kita mendidik para aktivis kita tanpa punya objektif dan halatuju. Kerana itulah kita lihat hari ini betapa majoriti para aktivis gerakan ini khususnya di Taman Ilmu dan Budi cukup tidak berdisiplin di dalam soal kepemimpinan, kepengikutan dan perencanaan gerakan. Malah majoriti aktivis gerakan ini lahir sebagai seorang yang individualis materialis. Lihat sahaja betapa majoriti para aktvis gerakan ini degil dan menolak untuk mengikuti siri kuliah pengajian ilmu yang dinajurkan seperti Liqa’ Tafaqquh Fi Deen, Tazkiyyataun Nafs, Qiyamullail dan lain-lain. Ini semua kerana, para aktivis kita gagal untuk mengahayati pendidikan yang diterapkan di dalam gerakan disebabkan keliru dengan didikan yang melompat-lompat atau terputus-putus.
Kita lihat sahaja percontohan yang ditunjukkan oleh Kementerian Pelajaran di dalam hal format pendidikan di
Sebenarnya kita tidak menghadapi masalah berhubung dengan pengisian pendidikan di dalam gerakan ini. Keluarga besar gerakan ini menghimpunkan ratusan ‘ulama’, ahli akademik, cendikiawan dan pemikir. Dan mereka ini telah menggagaskan seribu macam pengisisan untuk diterapkan di dalam pendidikan gerakan. Cuma persoalannya, bagaimana kita menguruskan pengisian-pengisisan pendidikan tersebut untuk diajarkankan kepada para aktivis melalui format pendidikan yang tetap.
Latihan Pembangunan
Dengan adanya sebuah format pendidikan yang tetap, hanyasanya itulah para aktivis dapat dilatih dan dibangunkan secara berperingkat untuk dilahirkan menurut acuan gerakan ini. Latihan pembangunan para aktivis gerakan ini tidak boleh diketepikan tatkala mendepani
Keberadaan seseorang di dalam gerakan ini tanpa dilatih dan dibangunkan untuk menjadi aktivis serba boleh merupakan satu kesia-siaan. Adalah lebih baik bagi mereka untuk keluar daripada gerakan ini disebabkan kedegilan dan penolakan untuk mengikuti siri latihan seperti Tamrin Jundiy, Tamrin Nuqaba’, Tamrin Qiady, Tamrin Marahel dan lain-lain yang dianjurkan oleh gerakan. Gerakan ini memerlukan aktivis-aktivis untuk menerusi agenda perjuangan dan bukannya mereka yang hanya datang sekadar melukut di tepi gantang.
Adalah merupakan satu kewajiban harakiy untuk setiap daripada kita yang bergelar aktivis gerakan ini untuk mengikuti siri latihan gerakan untuk menjadikan kita sebagai seorang aktivis serba boleh menurut acuan gerakan ini.
Siri latihan pembangunan para aktivis gerakan juga tidak boleh tersekat-sekat kerana ia perlu dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan aktivis-aktivis gerakan ini dapat dimanfaatkan demi kemaslahatan gerakan di
Keseimbangan Pendidikan
Untuk memudahkan pemahaman kita, saya kategorikan pendidikan sebagai usaha untuk melengkapi para aktivis kita dengan jiwa spiritual yang tinggi manakala latihan pembangunan sebagai usaha untuk melengkapi para aktivis kita dengan kemahiran material serba boleh.
Kelengakapan aktivis dengan jiwa spiritual yang tinggi merupakan sesuatu yang perlu untuk membangunkan rohani para aktivis gerakan dengan pemahaman fitrah diri insan menuruti panduan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Ini adalah sebagai benteng pertahanan unggul seorang aktivis di dalam mendepani seribu macam cabaran dan dugaan di dalam perjuangan da’wah ‘amar ma’ruf nahi munkar. Antara contoh yang paling baik adalah bagaimana para aktivis gerakan ini dibangunkan dengan pemahaman konsep hamba di dalam hubungannya dengan Allah swt.
Di dalam melengkapi para aktivis gerakan dengan kemahiran material serba boleh pula adalah tidak kurang pentingnya di mana para aktivis disediakan dengan pelbagai kemahiran sebagai alat untuk merealisasikan perintah dan suruhan Allah swt kepada setiap hambaNya untuk mentadbir urus muka bumiNya ini menurut garis panduan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Dan di sinilah aplikasi kepada pemahaman konsep khalifah di dalam hubungannya dengan setiap ciptaan Allah swt yang berada di sekelilingnya.
Permasalahan yang sering timbul adalah apabila kita memisahkan kedua-duanya di dalam gerak kerja gerakan. Maka terjadilah pertembungan yang tidak kita inginkan di antara aktivis aliran “tarbiyyah” dengan aktivis aliran “politik”. Pertembungan yang tidak menguntungkan ini telah banyak kali merencatkan agenda perjuangan gerakan dan tidak kurang juga menjadi penyebab keciciran aktivis-aktivis gerakan.
Di dalam kita melengkapi diri kita dengan jiwa spiritual yang tidak dinafikan amat penting, lebih-lebih lagi bagi kita yang bergelar aktivis gerakan, kita tidak boleh di dalam masa yang sama mengenepikan kepentingan kemahiran material yang menjadi alat untuk merealisasikan dan menyerlahkan tindakan daripada ketinggian jiwa spiritual. Dan begitu juga sebaliknya.
Maka sebaiknya, perlulah untuk kita memahami konsep hamba dan kekhalifahan seseorang insan di dalam aplikasi hubungan di antara hamba dengan Allah swt dan hamba dengan hamba di dalam konteks gerakan.
MANHAJ GERAKAN
Manhaj gerakan-gerakan di dalam perjuangan ini berbeza-beza mengikut faktor-faktor sosial, ekonomi, politik, geografi dan lain-lain. Oleh kerana itu kita dapati terdapat kepelbagaian manhaj di dalam gerakan-gerakan sekalipun perjuangannya mengahala ke hujung yang sama. Kepelbagaian manhaj ini tidak meletakkan yang mana satu betul dan yang mana satu salah asalkan ianya berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Manhaj yang dimaksudkan inilah yang menjadi acuan jatidiri setiap aktivis untuk memandu gerakan ini di dalam agenda perjuangan.
Penggabungan diri di dalam gerakan Islam khususnya di dalam membicarakan soal gerakan kita ini, membawa erti bahawa seseorang aktivis itu mestilah menyerah dan mengorbankan seluruh tenaga dan kemampuannya sebagai khidmat kepada gerakan, menyerahkan segala kepentingan dirinya untuk kepentingan Islam dan bukan sebaliknya.[13] Maka penggabungan kita sebagai aktivis di dalam gerakan ini menagih kita untuk bersikap setia kepada manhaj gerakan ini demi kepentingan Islam dan bukan sebaliknya.
Setiap gerakan punya manhaj yang tersendiri. Malah, mana-mana gerakan pun yang ingin mencapai apa-apa tujuan mestilah mempunyai manhaj yang jelas dan nyata. Gerakan juga mestilah mempunyai pekerja-pekerja yang bekerja mengikut garis panduan manhaj tersebut.[14]
Imam Hassan al Banna menyatakan;
“Kembalilah kepada sejarah pertubuhan-pertubuhan dan bangsa-bangsa. Anda akan dapati bahawa asas kejayaan dalam setiap kebangkitan ialah manhaj yang tertentu. Mereka bekerja di dalam batas-batas manhaj ini tanpa merasa malas, lemah, jemu dan tanpa berhenti. Ini jelas ternyata dalam langkahyang telah dilalui oleh da’wah Islam yang pertama. Allah swt telah meletakkan satu manhaj yang tertentu yang telah diamalkan oleh umat Islam yang awal. …”[15]
Justeru itu, adalah mustahil untuk gerakan ini untuk mencapai kejayaan di dalam agenda perjuangan sekiranya kita tidak punya manhaj tersendiri yang akomodatif iaitu bersesuaian dengan faktor-faktor setempat. Contoh yang paling baik ialah Manhaj Maliziy yang merupakan salah satu prinsip jatidiri keluarga besar gerakan kita ini yang diperkenalkan oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden WADAH yang juga merupakan mantan Presiden ABIM dan PKPIM. Maka oleh itu, setiap aktivis gerakan ini bertanggungjawab untuk bekerja memandu gerakan mengikut batas-batas manhaj ini.
Gerakan tanpa punya manhaj yang mencerminkan acuan jatidiri tersendiri hanya akan lahir sebagai sebuah gerakan pak turut yang sifatnya seperti lalang. Ditiup angin ke kiri, ke kiri lah ia. Di tiup angin ke kanan, ke kanan lah ia.
Gerakan ini sudah menggariskan betapa para aktivisnya perlu untuk bekerja di atas manhaj yang telah tersedia dididik di kalangan kita. Orientasi Gerakan dan Budaya 7 di dalam PKPIM bukan sekadar menghias risalah-risalah, tetapi ia merupakan manhaj yang telah digariskan untuk di hayati dan diaplikasi oleh para aktivis. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab para aktivis gerakan ini untuk bekerja di dalam batas-batas manhaj yang telah digariskan.
Kita tidak memerlukan golongan aktivis yang bekerja menuruti manhaj gerakan-gerakan lain di dalam gerakan ini. Bukan kita nafikan malah jauh sekali mempersalahkan manhaj gerakan lain, tetapi kita punya manhaj tersendiri untuk diikuti. Kenapa perlu bawa manhaj gerakan lain di dalam gerakan kita ini? Gerakan lain punya alasan tersendiri untuk mengaplikasikan manhaj yang mereka pilih, maka begitu juga kita.
Yakinlah bahawa dengan kepelbagaian manhaj di antara gerakan-gerakan ini sebenarnya yang membantu di dalam saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain di dalam perjuangan da’wah ‘amar ma’ruf nahi munkar khususnya di Taman Ilmu dan Budi ini.
TRILOGI WEHDAH GERAKAN
“Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah akan nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu telah bermusuhan, lalu dipersatukan hatimu sehingga kamu menjadi saudara dengan nikmatNya.”[16]
Kesatuan merupakan di antara kekuatan asas yang perlu dipunyai oleh sesebuah gerakan. Tanpa kekuatan asas ini, maka gerakan tidak akan berupaya untuk melaksanakan agenda gerakan yang direncanakan. Apatah lagi untuk menunaikan taklifan Allah swt ke atas setiap insan.
Hanya kesatuan dengan pemegangan teguh pada agama Allah swt yang boleh memberikan gerakan ini kekuatan untuk menyambung misi kerasulan Muhammad Rasulullah saw untuk menyinari cahaya Islam ke serata alam.
Justeru, adalah amat perlu bagi setiap diri kita sebagai aktivis gerakan ini untuk menjana kesatuan hati yang membina kesatuan fikiran yang kemudiannya menghasilkan kesatuan tindakan di dalam gerakan. Inilah dia trilogi wehdah, kekuatan asas kita yang untuk menggagaskan perencaaan yang mampu merungkai permasalahan umat dewasa ini.[17]
Kesatuan Hati
Sebelum dapat untuk kita di dalam gerakan ini membina kesatuan fikiran dan tindakan, adalah terlebih dahulu perlu untuk kita bina kesatuan hati. Apa yang dimaksudkan dengan kesatuan hati ini adalah pengikatan hati-hati para aktivis gerakan ini di dalam satu rangkaian yang jitu tak terputuskan oleh mehnah tribulasi mahupun permasalahan remeh temeh soal hati dan perasaan.
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara…”[18]
Ingatlah, kesatuan hati kita ini hanya akan dapat dibentuk sekiranya kita menyedari betapa penciptaan kita di dunia ini dengan perbezaan-perbezaan yang pelbagai namun diikat dengan nikmat terbesar Allah swt iaitu Islam. Hanya dengan menyedari betapa berharganya nikmat Islam itu, barulah kita berupaya untuk menghargai ikatan hati-hati di kalangan kita di dalam gerakan ini dan seterusnya bersama dengan hati-hati para aktivis dari gerakan lain yang turut didasari dengan nikmat Islam.
Usrah merupakan institusi paling utama yang dapat menyatukan hati-hati para aktivis gerakan ini. Menyelusuri sejarah permulaaan perjuangan Rasulullah saw memperlihatkan kepada kita betapa institusi usrah yang dimulai secara senyap-senyap di kediaman Al Arqam Ibni Abi Al Arqam berjaya memaut dan mengikat hati-hati golongan awwalun Islam ketika itu di atas nikmat Islam.
Justeru, adalah amat penting untuk gerakan ini memperkasakan institusi usrah di dalam erti kata yang luas. Tanpa terikat dengan birokrasi mahupun formaliti yang cukup menyesakkan. Institusi usrah perlu dihidupkan dengan kasih sayang sesama saudara di dalam semangat perjuangan yang membara-bara untuk menyumbang kepada kegemilangan Islam melalui manhaj gerakan ini. Institusi usrah perlu dijadikan wadah pemerkasaan tingkat persaudaraan di dalam gerakan. Tingkat persaudaraan yang paling rendah ialah lapang dada dan yang paling tinggi ialah mengutamakan orang lain daripada diri sendiri.[19]
Hubungan hati ini tidak akan menjadi di dalam gerakan sekiranya dianggap sebagai tugas dan tanggungjawab sebelah pihak sahaja. Ia merupakan tugas dan tanggungjawab bersama yang perlu digerakkan bukan kerana terpaksa tetapi atas dasar menghargai nikmat Islam dan persaudaraan di dalamnya. Menjadi kewajiban ke atas pimpinan dan pengikut menjaga hubungan antara keduanya serta mengatasi segala halangan yang menyekat hubungan itu. Di kala pimpinan menanggung beban yang berat menyebabkan mereka agak sibuk dengan tugasnya berhubung dengan pengikut, maka menjadi kewajiban pengikut untuk berusaha di pihaknya untuk berterusan berhubung dengan pimpinan.[20]
Kesatuan Fikiran
Tatkala hati-hati para aktivis gerakan ini sudah terikat kemas di dalam rangakaian jitu tak terputuskan, maka kesatuan fikiran merupakan fasa seterusnya di dalam membina kekuatan trilogi wehdah gerakan. Kesatuan fikiran adalah penyatuan pemikiran para aktivis gerakan ini di dalam satu fikir. Keutamaan satu fikir ini adalah penting untuk menjana perencanaan yang mentap dan efektif untuk digerakkan bersama.
Fikiran pelbagai yang timbul di dalam gerakan tanpa dapat diharmonikan menandakan betapa kesatuan hati-hati para aktivis gerakan belum lagi benar terikat kemas. Kepelbagaian pemikiran di dalam gerakan hanya akan dapat diharmonikan dnegan hati-hati yang bersatu kerana Allah swt.
“… dan bermusyawarahlah dengan mereka tentang urusan itu…”[21]
Pengaharmonian kepelbagaian pemikiran yang timbul telah ditunjukkan oleh Allah swt di dalam Al Quran dan melalui percontohan Sunnah Rasulullah saw. Penghayatan semangat musyawarah yang juga menjadi acuan jatidiri gerakan ini merupakan wadah pengharmonian kepelbagaian pemikiran di dalam gerakan. Meskipun berbeza pemikiran, tetapi keputusan pemikiran yang dicapai melalui amalan musyawarah adalah wajib diterima oleh setiap aktivis gerakan ini. Justeru, itulah pemikiran yang satu-satunya diterima pakai dan digerakkan bersama tanpa memikirkan perbezaan pemikiran sebelum disyurakan.
Kesatuan Tindakan
Akhirnya, tatkala kesatuan hati dan kesatuan tindakan sudah pun terikat kukuh, kesatuan tindakan merupakan kemuncak untuk melihat betapa besarnya impak hasil daripada kekuatan trilogi wehdah gerakan ini.
Kesatuan tindakan merupakan penyatuan dan pemusatan gerak kerja gerakan untuk menuruti sesuatu perencanaan yang telah dihasilkan melalui kesatuan pemikiran di dalam suasana kesatuan hati.
Melalui kesatuan tindakan ini, maka gerakan ini mampu tanpa gusar lagi melangkah untuk meneraju momentum gerakan mahasiswa di dalam meneruskan kesinambungan perjuangan suci ini. Pemusatan tindakan di dalam sesuatu perencanaan gerakan tentu sahaja akan memastikan keberjayaan agenda perjuangan. Ini kerana kekuatan gerak kerja para aktivis gerakan dipusatkan menjadi satu tindakan yang didukungi bersama.
Walhasil daripada trilogi wehdah ini akan melahirkan komitmen para aktivis gerakan secara konsisten. Nah, maka terbitlah kekuatan tak terbayangkan oleh kita di dalam suasana gerakan kita hari ini sekiranya kegagalan menghayati trilogi wehdah ini tidak kira di kalangan pimpinan mahupun ahli terus menerus dibiarkan. Begitu juga suasana umat Islam hari ini secara keseluruhannya yang terus-terusan berperang sesama sendiri secara fizikal mahupun intelektual yang akhirnya merugikan.
IMEJ DAN JARINGAN
Untuk gerakan ini muncul sebagai peneraju usaha untuk memacu momentum gerakan mahasiswa, soal imej dan jaringan tidak boleh diketepikan. Imej dan jaringan merupakan alat penting yang perlu digunakan sebaiknya oleh gerakan ini untuk mempersatukan gerak kerja bersama dengan gerakan-gerakan lain di dalam agenda perjuangan da’wah ‘amar ma’ruf nahi munkar meskipun berbeza manhaj. Kita tidak menafikan betapa gerakan-gerakan di dalam Taman Ilmu dan Budi ini saling memerlukan di anara sama lain. Cumanya, bagaimana untuk megenepikan sejenak kepentingan haloba diri setiap gerakan demi kemaslahatan umat terbanyak.
Imej yang dipaparkan oleh setiap gerakan juga cukup berbeza di antara satu sama lain bergantung kepada manhaj yang diikutnya. Para aktivis dapat dikenali tergolong di dalam gerakan tertentu dengan
Imej Eksklusif Da’wah Inklusif
Imej eksklusif ini adalah paling tepat ditunjukkan melalui akhlak kita berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw sebagai seorang aktvis gerakan, cukup berbeza daripada mana-mana orang lain. Namun, dengan punya imej eksklusif ini bukan bermaksud untuk kita mengasingkan diri daripada umat kebanyakan. Sedang Muhammad Rasulullah saw sendiri diturunkan sebagai melengakapi akhlak seluruh umat, dan tentu sahaja baginda menunjukkan imej yang cukup eksklusif berbeza dengan umat kebanyakan yang lain. Namun baginda tidak pula mengasingkan diri daripada umat kebanyakan. Malah melalui imej eksklusif itulah menjadikan baginda cukup menarik dan menawan.
Apakah yang menjadikan baginda dengan imej yang eksklusif tetapi masih lagi dapat menwan hati para mad’unya? Maka, jawapan yang saya dapati adalah kerana sifat da’wah baginda yang inklusif. Atas sifat da’wah baginda inilah maka misi kerasulan baginda tersebar menyinari serata alam. Lihat sahaja bagaimana Micheal A. Hart meletakkan baginda di posisi pertama di dalam senarai 100 tokoh yang paling berpengaruh.[23]
“Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik, dan berbantahlah (berdebatlah) dengan mereka dengan (jalan) yang terbaik…”[24]
Inilah baginda Muhammad Rasulullah saw tokoh terbaik buat ikutan seluruh umat. Aktivis gerakan ini seharusnya mengahyati betapa imej eksklusif dengan da’wah inklusif baginda telah berjaya memikat hati-hati yang rosak dan mati dengan jahiliah lalu disinari dengan cahaya Islam.
Aktivis gerakan ini tidak perlu malu di dalam memaparkan imej eksklusif gerakan ini, namun apa yang perlu difikirkan adalah bagaimana untuk kita melaksanakan agenda perjuangan da’wah dengan sifat inklusif.
Kerjasama Pintar-Untung
Apa yang dimaksudkan dengan kerjasama pintar untung adalah memanfaatkan jaringan gerakan ini dengan gerakan-gerakan lain demi kemaslahatan umat melalui kerjasama pintar yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.
Kita sudah banyak kali dikecewakan dengan jalinan kerjasama pintar di dalam isu kemaslahatan umat yang menjadi keutamaan ketika itu, tetapi berkahir dengan kerugian di pihak kita. Gerakan ini berasa tertipu dengan kebanyakan tipudaya politik yang dimainkan oleh gerakan lain demi menjaga kepentingan dan haloba ketamakan gerakan-gerakan tertentu di dalam mengejar nama sebagai gerakan mahasiswa terbaik Taman Ilmu dan Budi ini. Contoh yang ada sudah banyak buat iktibar dan pengajaran kita bersama khususnya di dalam isu pilihanraya kampus, isu pemurtadan Azlina Jailani dan lain-lain. Mereka inilah yang diistilahkan sebagai golongan ghulu’ di dalam perjuangan da’wah ‘amar ma’ruf nahi munkar. Ini disebabkan pembawaan gerakan mereka didasari dengan kepentingan kumpulan dan kadangkala menyimpan kebencian kepada gerakan lain. Kebencian ini pula dicurahkan dalam bentuk perjuangan da’wah ‘amar ma’ruf nahi munkar.[25]
Sekalipun begitu, ini tidak memutuskan semangat kita untuk menawarkan kerjasama pintar-untung ini di atas kepercayaan bahawa pemersatuan gerakan-gerakan di dalam isu kemaslahatan umat adalah lebih penting daripada ganjaran material. Malah pembinaan jaringan rangkain hubungan perlu lebih diperluaskan lagi.[26]
Namun yang demikian, gerakan ini perlu lebih bijak dan berhati-hati di dalam merangka usaha kerjasama pintar ini supaya akhirnya menghasilkan keuntungan kedua-dua belah piha dan yang paling utama adalah demi menjaga kemaslahatan umat.
Pengkalan dan Lapangan
Apa yang dikesalkan di kalangan aktivis-aktivis gerakan adalah ketidakfahaman konsep pengkalan dan lapangan di dalam gerakan. Pengkalan yang dimaksudkan di sini adalah gerak kerja pusat bagi gerakan ini. Manakala lapangan adalah wadah gerak kerja gerakan ini di dalam pelbagai bidang dan organisasi di peringkat umat.
Ketidakfahaman konsep ini telah mengakibatkan gerakan ini keciciran aktivis-aktivis yang berkerja di peringkat lapangan. Kebanyakan mereka samada akhirnya tercicir daripada gerakan ini ataupun tidak berfungsi sebagai seorang aktviis gerakan ini di lapangan yang disertai.
Seharusnya, prinsip utama yang perlu dihayati oleh para aktivis adalah berkerja dengan gerakan ini adalah merupakan satu kewajiban seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Maka, tidak kiralah bila, di mana dan dalam apa jua keadaan sekalipun, para aktivis perlu untuk menyumbang ke arah menjayakan agenda perjuangan menurut manhaj gerakan ini.
Justeru, para aktivis gerakan ini perlu menjadikan lapangan mereka di dalam pelbagai bidang di lapangan umat sebagai salah satu cabang perlaksanaan untuk menjayakan agenda perjuangan seperti yang telah direncanakan oleh gerakan ini.
Adalah menjadi kewajiban ke atas setiap aktivis yang berkerja di dalam gerakan untuk mengetahui semua perkara yang dituntut darinya oleh jemaah dari peranan dan komitmen di dalam kedudukan yang diberikan untuknya. Tambahan lagi, para aktvis gerakan perlu mengetahui bahawa iltizam dengan peraturan dan arahan gerakan adalah satu perkara yang asasi dan mesti untuk kebaikan perjalanan kerja bagi menghasilkan tujuan.[27]
KESIMPULAN
Nah, inilah di antara elemen-elemen asasi di dalam gerakan ini yang saya kira mustahak untuk kita sama-sama fikirkan di dalam usaha memecu momentum gerakan mahasiswa. Gerakan kita tidak perlu malu apatah lagi takut untuk meneraju ushaa memacu momentum gerakan mahasiswa di Taman Ilmu dan Budi ini sekiranya dapat memfokuskan pembaik-pulihan elemen-elemen yang telah dibicarakan tadi.
“Perintahlah orang supaya berbuat baik dan laranglah ia dari berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perintah yang sungguh-sungguh.”[28]
Justeru, Imam Habib Abdullah Haddad menjelaskan betapa taklifan di dalam menerukan agenda perjuangan da’wah ini tidak boleh ditinggalkan. Ia merupakan tugas yang tidak boleh diabaikan sama sekali dan tidak ada alasan apa pun untuk meninggalkannya selama berkuasa dan berkebolehan untuk menjalankannya.[29]
Justeru, para aktvis gerakan ini perlu terkehadapan di dalam menerusi agenda perjuangan di dalam membawa syiar mulia ini di dalam melaksanakan taklifan kekhalifan kita dalam ketaatan sebagai hamba Allah swt. Tiada masa lagi bagi kita untuk mengatakan tak mahu, malas, tak layak, tak pandai dan seribu macam lagi alasan-alasan sampah. Persoalan yang perlu kita tanyakan pada diri sendiri sebagai seorang yang memakai gelar aktivis gerakan PKPIM-ABIM-UIAM dan yang lebih penting iaitu Islam adalah;
Jika bukan kita, siapa?
Jika bukan sekarang, bila?
Survival gerakan ini adalah bergantung dengan keizinan Allah swt dan di atas usaha para aktivis yang mendukungnya. Jangan tunggu jadi pemimpin di dalam gerakan ini baru mahu untuk menunjukkan komitmen dan konsisten yang tak berbelah bahagi. Kerana jika semua kita di sini menunjukkan komitmen dan konsisten tinggi yang serupa, maka apa tunggu lagi? Ayuh! Inilah masa gerakan ini untuk memacu momentum gerakan mahasiswa.
Ucapan Penulis sempena Mu’tamar Thanawi PKPIM-ABIM-UIAM ke-10
[1] H.R. Bukhori dan Muslim, Imam An-Nawawi, Riadhus Sholihin, Victorie Agencie, pp.23-24
[2] Imam An-Nawawi, Riadhus Sholihin, Victorie Agencie, p.18
[3] H.R. Bukhori dan Muslim, Imam An- Nawawi, Riadhus Sholihin, Victorie Agencie, p.18
[4] Al-Baqarah:286
[5] Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Membela Islam Tanggungjawab dan Disiplin, Karya Bestari, hal. 8
[6] Al-Ahzab:72
[7] Ar-Ra’d:11
[8] Az-Zumar:9
[9] Al-‘Alaq:1
[10] Fathi Yakan, Golongan yang Tercicir di Jalan Da’wah, Dewan Pustaka Fajar, hal. 69
[11] Fathi Yakan, Golongan yang Tercicir di Jalan Da’wah, Dewan Pustaka Fajar, hal. 68
[12] Perbincangan Pendidikan Negara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, 25 Mac 2005
[13] Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Pustaka Salam, hal. 195
[14] Mustafa Masyhur, Jalan Da’wah Antara Qiyadah dan Jundiyyah, Dewan Pustaka Fajar, hal. 9
[15] Mustafa Masyhur, Jalan Da’wah Antara Qiyadah dan Jundiyyah, Dewan Pustaka Fajar, hal. 9
[16] Ali Imran:103
[17] Syed Mikael Rizal Aidid, Usrah Iftitah Pimpinan PKPIM, 3 September 2003
[18] Al-Hujurat:10
[19] Mustafa Masyhur, Jalan Da’wah Antara Qiyadah dan Jundiyyah, Dewan Pustaka Fajar, hal. 106
[20] Mustafa Masyhur, Jalan Da’wah Atara Qiyadah dan Jundiyyah, Dewan Pustaka Fajar, hal. 108.
[21] Ali Imran:159
[22] Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Pustaka Salam, hal. 199
[23] Micheal A. Hart, 100 Most Influential People, _______, _______
[24] An-Nahl:125
[25] Dr. Asri Zainul Abidin, Membela Islam Tanggungjawab dan Disiplin, hal. 39
[26] Mustaffa Kamil Ayub, Koleksi Ucapan Dasar PKPIM, PKPIM, hal. 45
[27] Mustafa Masyhur, Jalan Da’wah Antara Qiyadah dan Jundiyyah, Dewan Pustaka Fajar, hal. 83-84
[28] Luqman:17
[29] Imam Habib Abdullah Haddad, Nasihat Agama dan Wasiat Iman, Pustaka Nasional, hal. 250-253
Comments