Kemenangan Yang Memalukan. . .

Siapa kata Barisan Nasional kalah di dalam Pilihanraya Umum ke-12 kali ini? BN mengekalkan tradisi kemenangan mereka di dalam PRU sekali lagi pada kali ini setelah menang di dalam 11 pilihanraya yang lepas. BN berjaya membentuk kerajaan Malaysia seperti diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia di awal pagi 9 Mac 2008.

Namun, kemenangan BN kali ini adalah kemenangan yang paling memalukan buat mereka sepanjang sejarah penglibatan di dalam PRU sejak kemerdekaan Malaysia. BN gagal merampas Kelantan, malah kalah teruk dengan hanya berupaya memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri sahaja. Tidak seperti yang diwar-warkan oleh Dato’ Sri Annuar Musa di dalam sidang media beberapa hari selepas pembubaran kabinet Malaysia, BN dan UMNO Kelantan khususnya ibarat meludah ke langit yang akhirnya jatuh ke muka sendiri. Dato’ Awang Adek yang sudahpun disebut oleh media arus perdana sebagai bakal Menteri Besar Kelantan yang baru sebelum ini, kalah di kerusi Parlimen dan DUN. Begitu juga nasib yang menimpa Dato’ Sri Annuar Musa. PAS bukan sahaja mengekalkan penguasaan Kelantan malah memperkukuhkan lagi cengkaman mereka di bawah teraju kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diangkat sekali lagi sebagai Menteri Besar Kelantan untuk penggal ke-empat berturut-turut.

Apa yang paling memalukan kepada kemenangan BN di dalam PRU kali ini, apabila BN terlepas empat buah negeri lagi ke tangan koalisi longgar Barisan Alternatif yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP. Penguasaan BN di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor musnah apabila PAS berupaya menawan Kedah, PAS-PKR-DAP merampas Perak, DAP johan di Pulau Pinang dan PAS-PKR-DAP menundukkan Selangor dengan memenangi majoriti kerusi DUN di negeri-negeri tersebut. Kemenangan Barisan Alternatif di negeri-negeri tersebut telah mengakibatkan Dato’ Seri Mahzir Khalid, Dato’ Sri Tajol Rosli, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, dan Dato’ Sri Mohd. Khir Toyo dimantankan sebagai Menteri Besar negeri-negeri tersebut. Ust. Azizan akan meneraju Kedah, Lim Guan Eng pula di Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ibrahim hampir pasti meneraju Selangor dan Perak hingga ke saat ini masih lagi kabur walaupun terdapat ura-ura bahawa Ir. Mohd. Nizar (PAS) bakal meneraju Perak walaupun DAP merupakan parti terbanyak memenangi kerusi DUN Perak.

Malah, Barisan Alternatif telah berjaya memenangi kesemua kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kecuali Setiawangsa.

Tambah mencalit arang kepada kemenangan BN kali ini adalah apabila Menteri-Menteri Kanan dan 10 Timbalan Menteri Kabinet sebelum ini, kalah di kawasan Parlimen masing-masing. Di antaranya ialah, Datuk Seri S Samy Vellu, Datuk Seri Aziz Shamsuddin, Datuk Seri Shahrizat Jalil, Datuk Seri Zainuddin Maidin, Dato’ M. Kayveas, Dato' Fu Ah Kiaw dan lain-lain. Kekalahan mereka pula adalah di tangan calon-calon Barisan Alternatif yangmuda dan masih mentah di dalam sepak terajang politik tanpa ada apa-apa gelar di hadapan nama mereka.

Melengkapkan kemenangan BN yang memalukan di dalam PRU kali ini adalah apabila BN hilang majoriti 2/3 kerusi Parlimen. Kejayaan BN membentuk kerajaan Malaysia pun adalah di atas majoriti mudah tidak seperti sebelum-sebelum ini. Barisan Alternatif menguasai 83 kerusi Parlimen sekaligus bakal membawa cabaran yang tak pernah tersangakakan kepada BN di dalam sidang Parlimen kelak. Dengan kekuatan majoriti mudah, BN sukar menunjuk taring dan menampakkan belang di Parlimen kerana tidak upaya untuk membuat mahupun meminda Perlembagaan Persekutuan sewenang-wenang seperti sebelum ini. Kemenangan BN untuk masih mengekalkan majoriti di Parlimen adalah amat bergantung kepada kemenangan calon-calon mereka di kerusi Parlimen di Sarawak, Sabah dan Johor. Bayangkanlah bagaimana BN mendepani cabaran BA di Parlimen kelak sekiranya masalah ponteng di kalangan pemegang kerusi Parlimen daripada BN berterusan.

Kememangan BN kali ini akan melangkah era kemenangan yang lain daripada yang lain pasca PRU. Setiap langkah dan keputusan BN selepas ini pastinya tidak mudah seperti selalu. Sehingga ke saat ini BN sebenarnya sedang melalui tempoh masa pasca PRU yang begitu mendebarkan. Mata-mata tertumpu kepada percaturan politik Malaysia di tangan BN di dalam penentuan kabinet Malaysia, krisis dalaman UMNO dan keretakan koalisi BN. Bagaimana Dato’ Sri Abdullah Badawi mengambil tanggungjawab menyelesaikan kesemua ini?

Malaysia kini, belum lagi memasuki era baru di dalam politik tanah air. Kerana BN masih lagi kekal sebagai kerajaan pemerintah. Malaysia sebenarnya sedang di hadapan pintu politik era baru. Tempoh masa lima tahun penggal pasca PRU ke-12 ini merupakan era transisi ke arah poltik Malaysia era baru.

Tahniah Barisan Nasional! Di atas kemenangan yang memalukan...

Comments