KEMBALIKAN PENDIDIKAN SAINS DAN MATEMATIK KE DALAM BAHASA MELAYU

Ruangan Forum, Utusan Malaysia

Cadangan kerajaan untuk menilai kembali pendekatan pendidikan Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris adalah amat dialu-alukan. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam di Putrajaya menunjukkan betapa pendidikan sebagai elemen asas kehidupan amat perlu dititik-beratkan. Bahasa yang digunakan sebagai medium pengantar pendidikan perlulah membantu proses transmisi ilmu yang diajar daripada guru kepada para pelajar. Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak malahan memperkuatkan cadangan yang sama pernah dikemukakan oleh beberapa perwakilan di dalam Persidangan Agung Umno yang lepas.

Penelitian keputusan para pelajar di dalam mata pelajaran Sains dan Matematik kini sememangnya salah satu kaedah relevan untuk menilai sejauh mana pendekatan tersebut berkesan. Namun, adalah perlu diingatkan bahawa penelitian yang dilakukan perlulah dilaksanakan dengan jujur dan telus. Bukan semata-mata untuk menyembunyikan kegagalan mahupun untuk menegakkan benang yang basah.

Kepentingan rakyat khususnya para pelajar yang menerima kesan langsung daripada pendekatan pendidikan ini perlulah dititik-beratkan. Para pelajar tidak seharusnya dijadikan bahan eksperimen ibarat tikus makmal. Adalah amat perlu untuk Malaysia yang sudah mencapai usia 50 tahun mempunyai identiti pendidikan tersendiri yang bersifat kebangsaan. Ini penting untuk melahirkan generasi pelapis mengikut acuan kebangsaan sebagai penyambung warisan peradaban negara.

Pencapaian pelajar di dalam mata pelajaran Sains dan Matematik sememangnya indikator terpenting untuk menentukan sejauh mana pendekatan tersebut berjaya. Namun, ia bukanlah satu-satunya indikator yang ada. Beberapa indikator lain seperti penerimaan pendekatan tersebut di kalangan pelajar luar bandar, penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru dan para pelajar dan lain-lain.

Pendidikan mata pelajaran Sains dan Matematik tidak seharusnya dijadikan sebagai mata pelajaran untuk pendidikan bahasa Inggeris. Silibus pendidikan sekolah sudah menyediakan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai wadah pendidikan bahasa Inggeris. Permasalahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar tidak seharusnya mengheret mata pelajaran Sains dan Matematik sekaligus kerana ia bukan wadah sesuai untuk memperkasakan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Malahan, ia menyukarkan para pelajar untuk memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut khususnya para pelajar luar bandar. Justeru, ini membantutkan proses transmisi pendidikan Sains dan Matematik kepada para pelajar.

Saya berpendapat, adalah elok sekiranya medium pengantar pendidikan Sains dan Matematik dikembalikan ke dalam bahasa Melayu. Ini amat membantu para pelajar untuk lebih memahami mata pelajaran Sains dan Matematik apabila medium pengantar yang digunakan adalah lebih dekat dengan pelajar khususnya pelajar luar bandar. Tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris di masa kini, usaha progresif perlu dilaksanakan di dalam memperkasakan penguasaan bahasa tersebut di kalangan pelajar. Namun, bukan dengan cara menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium pengantar pendidikan Sains dan Matematik.

2 comments