KERAJAAN DIMINTA TIMBANG KEMBALI PERSETUJUAN LANJUT USIA PERSARAAN

Ruangan Surat, Malaysiakini

Ruangan Surat, Berita Harian

Ruangan Forum, Utusan Malaysia

Saya terkejut dengan persetujuan kerajaan untuk meningkatkan had umur persaraan daripada 56 tahun ke 60 tahun. Ia merupakan salah satu daripada lima tuntutan CEUPACS yang dipersetujui oleh kerajaan di dalam pertemuan CEUPACS dengan Perdana Menteri. Ini amat menyedihkan dek kerana tekanan dan ancaman CEUPCAS untuk memboikot Hari Pekerja pada I Mei akan datang, kerajaan telah begitu senang tunduk. Saya tidak menolak kebaikan yang terhasil daripada empat tuntutan lain yang dipersetujui tentang isu kadar pencen, pemansuhan PTK, pemberian semula elaun kritikal dan elaun perumahan. Namun, tuntutan peningkatan had umur persaraan ini mempunyai dampak besar terhadap generasi muda hari ini.

Saya risau terhadap kesan daripada cadangan tersebut kepada peningkatan kadar pengangguran di Malaysia khususnya di kalangan generasi muda. Tambahan pula dengan peningkatan 0.1% kadar pengangguran yang menjadikannya 3.4% pada suku kedua tahun 2007 daripada 3.3% pada tahun 2006 (Jabatan Perangkaan Malaysia). Ini bermakna lebih 369,000 orang menganggur di Malaysia dan 47% daripada penganggur ini merupakan yang mencari kerja buat pertama kali. Mereka terdiri daripada pemegang sijil SPM, STPM, pelajar matrikulasi, pemegang diploma dan graduan (BERNAMA). Jelas bahawa hampir separuh daripada mereka adalah terdiri daripada generasi muda.

Sekalipun, terdapat jangkaan bahawa kadar pengangguran akan turun dengan perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-9 dan Misi Nasional, yang akan memberi lebih peluang pekerjaan. Masih tiada jaminan bahawa generasi muda akan diberi tempat atau mendapat tempat yang sesuai. Lebih-lebih lagi daripada jumlah 47% yang baru pertama kali mencari kerja, 53% daripada mereka cuma mempunyai sijil SPM sahaja (BERNAMA).

Justeru, cadangan tersebut sekiranya diterima, akan menjejaskan peluang generasi muda untuk diserapkan sebagai kakitangan awam. Ini disebabkan lambakan kakitangan lama di dalam perkhidamatan awam sehingga menutup peluang pekerjaan untuk generasi muda. Tampak bahawa modal insan di kalangan generasi muda akan dipersiakan kerana tidak diserap di dalam perkhidmatan awam di usia muda untuk dilatih dan dipersediakan sebaiknya. Ini juga dikhuatiri akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap perkhidmatan awam. Apabila persaraan beramai-ramai kakitangan awam yang berumur 60 tahun meninggalkan legasi yang tidak terlatih dan dipersediakan sebaiknya di kalangan kakitangan muda.

Tambahan lagi apabila tuntutan peningkatan had umur persaraan ini dilaksanakan secara pukul rata, tidak mustahil bagi kakitangan awam yang tidak berkualiti turut terlibat sama. Ini tentunya tidak akan membantu produktiviti dan efektiviti Negara, malahan membantutkan.

Terdapat juga kakitangan awam yang rasa terpaksa untuk melanjutkan had umur persaraan mereka. Dengan persetujuan ke atas tuntutan peningkatan had umur persaraan ini akan melemahkan motivasi mereka untuk terus menyumbang. Anggapan bahawa produktiviti dan efektiviti negara akan meningkat mungkin sebenarnya satu ilusi kerana pihak CEUPACS tidak mengambil kita cadangan dan pandangan menyeluruh daripada kakitangan awam seluruh negara.

Saya secara dasarnya berkongsi semangat dengan pihak CUEPACS di dalam cadangannya untuk memastikan kakitangan awam yang berpengalaman terus dapat dimanfaatkan demi peningkatan pruduktiviti dan efektiviti Negara. Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan, supaya cadangan pihak CUEPACS hanya dilaksanakan untuk kakitangan awam yang benar-benar berminat dan berkelayakan sahaja. Oleh itu, cadangan tersebut tidak dipaksakan ke atas kakitangan awam lain yang mahu bersara di umur 56 tahun.

Saya juga mencadangkan kakitangan awam yang berminat untuk meanjutkan usia persaraankepada 60 tahun boleh diserapkan ke dalam Skim Lanjutan Persaraan. Sebelum itu, mereka perlu melepasi satu tahap kualiti yang ditetapkan. Sekiranya mereka berjaya melepasi tahap kualiti yang ditetapkan, barulah mereka dibeanrkan untuk melanjutkan umur persaraan mereka di bawah skim ini. Dengan itu, hanya kakitangan awam yang benar-benar layak di atas kapasiti kualiti sahaja akan dibenarkan meneruskan khidmat mereka sehingga ke umur 60 tahun. Dengan itu, pengalaman dan kepakaran kakitangan awam yang diserap masuk di bawah skim ini boleh menyumbang kepada produktiviti dan efektiviti perkhidmatan awam di Malaysia di samping membantu untuk melatih dan menyediakan kakitangan awam muda.

Justeru itu, saya amat berharap kerajaan dapat menimbang kembali persetujuan terhadap tuntutan peningkatan had umur persaraan kakitangan awam. Satu kajian khusus dan terperinci perlu dibuat dengan mengambil kira cadangan dan pendapat kakitangan awam secara menyeluruh. Saya juga menggesa kerajaan untuk mengambil kira risiko yang bakal generasi muda hadapi sekiranya tuntutan ini dilaksanakan. Jangan sampai dek kerana nyamuk seekor, habis sekelambu dibakar.

Comments