SURAH AL-HASYR (59): 18 - 24

 18. Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
19. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. mereka Itulah orang-orang yang fasik.
20. Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni jannah; penghuni-penghuni jannah Itulah orang-orang yang beruntung.
21. Kalau sekiranya kami turunkan Al-Quran Ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. dan perumpamaan-perumpamaan itu kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.
22. Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dia-lah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
23. Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, raja, yang Maha suci, yang Maha Sejahtera, yang Mengaruniakan Keamanan, yang Maha Memelihara, yang Maha Perkasa, yang Maha Kuasa, yang memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
24. Dialah Allah yang Menciptakan, yang Mengadakan, yang membentuk Rupa, yang mempunyai asmaaul Husna. bertasbih kepadanya apa yang di langit dan bumi. dan dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.



TAFSIRAN AYAT 18 – 20
Taqwa adalah satu keadaan di dalam hati yang tidak tergambarkan oleh kata-kata. Merasa betapa segala tutur kata, tingkah laku dan lintasan hati kita dinilai oleh Allah. Ia menjadikan kita sedar dan waspada. Ini kerana merasai kehadiran Allah menjadikan kita segan dan takut untuk berada di dalam situasi yang tidak disuki oleh Allah.

Kerana itu, maka berfikirlah kita akan segala amal baik dan buruk kita untuk dinilaikan samada bersedia atau tidak untuk menerima apa yang sudah tersediakan sesuai dengan amal kita di akhirat kelak. Berfikir akan segala apa yang menanti kita tatkala berdepan Allah kelak. Bersediakah kita sekiranya kita mati hari ini dan maka bertemulah kita engan akhirat kecil di alam kubur yang menanti sebagai salah sebuah taman-taman syurga ataupun salah sebuah lubang-lubang neraka. Akhirat besar kelak tatkala berhimpun manusia di padang mahsyar diuji satu persatu akan amalnya. Bersediakah kita?

Allah melalui qalam-Nya memberi desakan demi desakan kepada golongan mukminin ini untuk menimbulkan perasaan-perasaan yang kamu rasai ketika ini. Iaitu menyedari dan menginsafi segala amal baik dan buruk sebelum ini dengan mempersoalkan diri sendiri, sudah bersediakah aku mendepani segala natijah di akhirat sekiranya aku mati pada saat ini?

Maka Allah tambahkan desakan kepada golongan mukminin ini untuk bertaqwa kepada-Nya supaya dapat kita sedar dan insaf tatkala nyawa masih di kandung badan.

Allah tambahkan lagi dengan amaran supaya janganlah golongan mukminin ini menjadi golongan yang melupakan-Nya. Kerana tatkala lupanya kita kepada Allah maka Allah jadikan kita lupakan pula kepada diri kita sendiri. Golongan yang melupakan Allah adalah ibarat golongan yang sedang melalui jalan kehidupan namun tanpa sebarang hubungan yang menjamin satu matlamat yang yang perlu dicapainya. Tanpa hubungan dengan Allah ini, maka sesatlah kita di dalam kehidupan ini dan nescaya sesat jualah kita di dalam pencarian diri kerana Allah lupakan kita pula terhadap diri kita sendiri. Rugilah kita kerana melupakan Allah dan nescaya lupa diri kerana tidak punya matlamat yang dikejar. Sekadar merayau-rayau di dunia sementara menunggu nyawa dicabut sebelum dilemparkan ke dalam neraka yang tersedia buat kita sebagai golongan fasiq.

Kerana itulah maka Allah menyeru golongan mukminin untuk mengikut jalan yang diikuti oleh penghuni-penghuni syurga. Ini melalui perbandingan yang Allah buat di antara penghuni syurga dan penghuni neraka kerana terdapat perbezaan yang besar di antara keduanya. Kesudahan penghuni neraka diketahui umum maka, Allah sebutkan kesudahan buat penghuni syurga sebagai orang-orang yang beruntung.

TAFSIRAN AYAT 21
Al-Quran yang mengandungi qalam Allah sarat dengan mesej daripada Pencipta Agung merupakan bebanan yang tak terhingga hebatnya sehingga tidak sanggup gunung ganang menahannya sehinga pecah berderai tatkalan Al-Quran diturunkan ke atasnya. Seperti yang digambarkan di dalam Surah At-Thur: 1 – 8. Saidina Umar sehingga tersandar ke dinding dan menderita kesakitan menyebabkannya terlantar sakit selama sebulan.
Pada detik-detik sesuatu, hati manusia akan menggeletar tatkala dibacakan kepadanya qalam Allah ini. Inilah yang menimpa Saidina Umar apabila hatinya sudah sedar dan insaf, maka hatinya menggeletar ketaktan akan ancaman Allah dan jua boleh jadi nyaman tak terhingga mendengar pujukan-pujukan Allah dengan balasan kebaikan.
Detik-detik inilah yang ingin kita capai untuk menikmati kebahagiaan dan keselamatan kehidupana di dunia ini kerana yakin akan keberadaan akhirat di dunia selepas kematian. Detik-detik ini hanya akan dicapai dengan dimulai dengan ketaqwaan. Hanya hati yang sedar dan insaf yang dapat menyelami apa yang disampaikan di dalam Al-Quran.
Perumpamaan-perumpamaan seperti kisah gunung ini merupakan perumpamaan yang Allah ceriterakan sebagai satu pengiktibaran buat kita berfikir. Berfikirkah kita?

TAFSIRAN AYAT 22 – 24
Surah ini ditamatkan dengan penyebutan nama-nama Allah yang mengkisahkan sifat-sifat-Nya yang paling indah. Ini sebagai satu peringatan untuk mengingati Allah Pemilik Sekalian Alam Buana. Hanya dengan mengingati Allah maka hati kita dilatih menjadi sedar dan insaf. Dengan penyebutan nama-nama Allah di bibir kita akan menjadikan kita ingat akan Allah dan seterunya Allah akan ingatkan kita supaya tidak lupa diri ketika di dunia ini.
Nama-nama allah yang indah di akhir ini mewakili sifat-sifat-Nya yang menjadikan-Nya Tuhan yang selayaknya disembah. Kerana Dia Pencipta, kita ini hamba-Nya.


*dibentangkan oleh Khairul Anwar Bin Shazali pada 15 April 2008 di dalam Usrah Pimpinan PKPIM. Tafsiran di atas berpandu kepada Kitab Tafsir Fi Zilal al-Quran karangan as-Syahid Syed Qutb.

Comments