Kembara Jalan Kaki

Rehlah yang dirancang oleh Hisyamuddin dan kawan-kawannya akhirnya menjadi juga. Walaupun sebelum itu dikecewakan kerana beberapa salah faham berhubung dengan penganjuran program itu. Mujur, sikap yang diambil oleh generasi muda pewaris PERKEPIS adalah untuk tidak berputus asa.

Terus-terang, saya sendiri sememangnya agak "over excited" untuk turut sama berjalan kaki, mengembara daripada Sukma Ria ke Pantai Pasir Panjang. Saya mengagak jaraknya adalah lebih kurang 15 kilometer. Sudah lama saya tidak mencebur diri di dalam kembara seumpama ini. Kali terakhir saya mengembara sebegini adalah ketika saya di tingkatan lima dahulu.

Saya kira persediaan fizikal yang saya mulakan lebih kurang sebulan lepas amat membantu. Tentunya saya tidak mahu mengalami kekejangan otot di hadapan adik-adik peserta program yang jauh lebih muda. Tambahan lagi apabila yang menyertai kembara ini bukan sahaja terdiri daripada ahli-ahli muda PERKEPIS malah remaja-remaja yang tidak mempunyai latarbelakang persatuan yang kami ajak bersama. Jumlah kami yang mengikut kembara ini adalah 34 orang.

Pesanan daripada Auntie Am sehari sebelum kembara ini terngiang-ngiang di telinga saya. Aspek keselamatan amt perlu dititik beratkan. Lebih-lebih lagi kembara ini adalah aktiviti informal dan tidak dimaklumkan pun kepada polis. Apalagi, di dalam kembara kali ini, saya adalah yang paling tua. Tentunya perlu mengambil amanah dan tanggungjawab akan keselamatan setiap seorang daripada para peserta kembara ini. Suara saya tidak putus-putus menyuruh para peserta untuk masuk ke kanan jalan supaya tidak terdedah dengan bahaya lalu lintas jalanraya yang agak sibuk hari itu. Saya juga agak khuatir untuk meneruskan aktiviti mandi manda di laut sesampainya kami ke pantai, tetapi akhirnya saya juga yang menjadi paling "gila" apabila bertemu dengan pantai. Sudah saya ingatkan berkali-kali kepada adik-adik peserta untuk mematuhi arahan saya sepanjang kembara ini. Ini sebagai salah satu cara untuk saya mengawal keadaan. Mujur dengan sikap autoritarian yang saya tunjukkan, adik-adik akur.

Kepenatan juga mengambara jalan kaki sejauh ini. Namun, saya kira tidak dapat mengatasi gembira hati saya melihat gelagat adik-adik peserta yang bermacam ragam. Dengan sikap saya yang sememangnya agak nakal, saya mengambil kesempatan untuk merapatkan jurang sosial yang timbul disebabkan perbezaan usia saya dengan mereka. Saya agak kekok, apabila merasakan seolah-olah sedang diperhati dan dinilai oleh adik-adik PERKEPIS yang sememangnya dilatih untuk berlagak dan menjadi matang sebelum usia. Bagi saya, pedulikan mereka. Asalakan saya tidak melanggar syariat. Mudahan-mudahan mereka juga faham apa yang saya lakukan.

YDP PERKEPIS, Syeed Abdul Hamid tidak putus-putus menelefon saya bertanyakan perkembangan terkini kembara. Agak merimaskan saya untuk menjawab panggilan yang berkali-kali itu, tetapi ia menunjukkan keprihatinannya dengan kembara dan para peserta. Sayangnya, ramai di kalangan senior PERKEPIS tidak dapat bersama di dalam kembara. Kesibukan di pejabat dan kuliah menghalangi mereka untuk turut bersama dengan kami. Saya terfikir, adakah sudah sampai masa saya serahkan keterlibatan aktiviti-aktiviti seumpama ini kepada junior PERKEPIS untuk meneruskan usaha-usaha kaderisasi dan pengukuhan ukhuwwah dengan kelopok sasar yang tahun demi tahun semakin muda?

Sesampainya kami di pantai, saya agak marah dengan sikap seorang pemimpin muda Akademi Bestari Muda yang sudah pun terjun ke laut. Saya berada di belakang sekali semasa kembara untuk memastikan tidak ada peserta yang ketinggalan. Pemimpin muda yang kebetulan di hadapan sekali telah sampai terlebih dahulu dan terjun ke laut. Saya memang marah kerana aksi yang melanggar arahan saya. Saya cuma khuatir akan keselamatan setiap daripada peserta. Aksi-aksi begitu tidak seharusnya wujud lebih-lebih lagi dia adalah pemimpin muda ABM yang sudah menerima didikan dan bimbingan awal daripada PERKEPIS jika hendak dibandingkan dengan para peserta yang lain yang tidak langsung kenal apa itu ABM atau PERKEPIS. Saya memarahinya di dalam nada bergurau. Saya khuatir untuk menunjukkan kemarahan sebenar kerana ia hanya akan memalukan dia dan saya dan tentunya terpalit kepada ABM dan PERKEPIS. Harapnya dia faham dan sedar.

Kami mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk sampai ke destinasi. Kebetulan kami samapi, azan Zuhur berkumandang. Zuhur itu, surau Kpg. Pasir Panjang tiba-tiba penuh dengan jemaah. Begitu juga 'Asar.

Sebelum kami beramai-ramai terjun ke laut, saya sempat memberikan sedikit pengisian yang menyentuh aspek hati, akal dan keperluan untuk berkumpulan. Nasi goreng yang Hisyamuddin sediakan memang agak sedap. Saya tidak pasti adakah kerana saya begitu lapar atau ia memang sedap. Bolasepak pantai, bola jaring air, zuss tang, cap kalicap dan bermacam lagi permainan yang kami mainkan.

Sebelum tamat, sekali lagi para peserta diingatkan untuk muhasabah kembali kembara yang telah dilalui. Jangan biarkan kembara yang dilalui hanya meninggalkan kepenatan dan gurau senda sahaja. Manfaatkan sepenuhnya segala apa yang didapati daripada kembara ini. Pengisian, latihan fizikal, ukhuwwah dan kasih sayang dan yang paling penting adakah kita bertemu dengan redha Allah di dalam kembara kali ini?

Comments