Usrah Umum 3 Jun 2008

3 Jun yang lalu, saya berkesempatan untuk menghadiri Usrah Umum PERKEPIS yang sememangnya diadakan setiap minggu pada hari Selasa. Kebiasaannya majlis akan bermula dengan solat Isya' berjemaah yang kemudiannya akan terus disusuli dengan bacaan wirid al-Ma'thurat secara beramai-ramai. Cuma pada malam itu, saya agak lewat kerana harus ke Bako terlebih dahulu untuk mengambil adik-adik mentee saya untuk dibawa bersama di dalam majlis tersebut.

Ketibaan saya di sekretariat PERKEPIS tempat berlangsungnya majlis tersebut di sambut dengan lantang suara Hisyamuddin yang sedang membentangkan tafsir ayat al-Quran pilihan pada malam itu. Saya agak kaget apabila ketibaan saya dan rombongan daripada Bako diamati dengan cukup telus oleh ahli-ahli majlis. Adik-adik mentee yang saya bawa dari Bako pun turut segan dan agak kekok apabila diperhatikan sedemikian rupa. Bagi adik-adik mentee saya, ini merupakan pengalaman pertama mereka menyertai majlis-majlis seumpama ini.

Sengaja saya tinggalkan adik-adik mentee untuk duduk di penjuru yang berlainan dengan saya. Saya harus mendapatkan adik-adik bekas pelajar SMSK terlebuh dahulu kerana rasa bersalah tidak menepati janji saya untuk mengambil mereka di rumah untuk ke majlis tersebut malam itu. Perancangan terpaksa saya ubah saat akhir disebabkan mesyurat BPP petang itu tamat lewat. Maka saya mohon Muntaqim untuk mengambil mereka dan saya perlu bergegas ke Bako untuk mengambil adik-adik mentee saya. Setlah bersalaman dengan ketiga-tiga bekas pelajar SMSK itu barulah saya duduk dekat dengan adik-adik mentee saya.

Selain daripada pembentangan daripada Hisyamuddin pada malam itu, Ruzanna juga rupa-rupanya telah diberikan tanggungjawab untuk membentangkan satu tajuk daripada buku Fiqh Da'wah karangan Pak Mat Natsir. Saya berasa amat berbahagia apabila mendengar pembentangan oleh Hisyamuddin dan Ruzanna. Mereka berdua juga merupakan ahli usrah PERKEPIS cawangan semenanjung yang berpengakalan di Masjid as-Syakirin, KLCC. Tambahan pula majlis pada malam itu dipengerusikan oleh Azrul yang merupakan Naqib Usrah PERKEPIS cawangan semenanjung. Tahniah buat mereka.

Seperti kebiasaan di dalam PERKEPIS, dengan kehadiran Muntaqim dan Hasfa di dlaam majlis malam itu, peluang tidak dilepaskan untuk mendengar buah fikiran mereka Hasfa terlebih dahulu sudah banyak memperdengarkan buah fikirannya untuk membimbing majlis pada malam itu untuk mendapatkan kefahaman daripada aspek agama. Muntaqim pula dijemput untuk membicarakan realiti semasa umat Islam di Sarawak hari ini.

Saya kira, menghadirkan diri ke usrah umum PERKEPIS tidak pernah mengecewakan. Bukan sangat disebabkan pengisiannya yang hebat-hebat atau pembentangnya yang lantang-lantang atau makanan yang disediakan sedap-sedap, tetapi suasana ukhuwwah Islami yang saya dambakan saya dapati di situ. Saya katakan di dalam usrah tempoh hari, menghadirkan diri ke usrah PERKEPIS adalah merupakan di antara kebahagiaan kehidupan yang saya kecapi. Hatta jauh mana pun bumi yang dijelajahi, hatta tinggi mana pun ilmu yang didaki, hatta besar mana pun jawatan yang diamanahi, tetap kekal dan pasti kembalinya saya ke bumi kelahiran ini bersama-sama sahabat-sahabat PERKEPIS adalah satu pengalaman yang tidak pernah membosankan, yang tidak pernah mengecewakan, yang tidak pernah mensia-siakan.

Comments