24 Julai: Hilangnya Mutiara Dakwah Nusantara
Tanggal 24 Julai telah memahat sejarah kehilangan mutiara dakwah nusantara. Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih masyhur dengan gelar Buya HAMKA meninggalkan dunia fana ini untuk mengejar impiannya di akhirat yang kekal dan nyata. Sekalipun lahirnya di Desa Minang, Indonesia namun dirinya telah menjadi ikon yang disegani dan disayangi oleh seluruh nusantara. Beliau adalah tokoh yang jarang-jarang kita jumpai, malah tiada pengganti.
Pemula hidup Buya HAMKA tidak langsung mencerminkan bahawa beliau akan jadinya seorang tokoh dakwah yang sohor namanya. Sekalipun merupakan anak kepada Shaikh Karim Amrullah yang merupakan tokoh gerakan Islam daripada kaum muda, Buya HAMKA tidak langsung menunjukkan ciri-ciri seperti ayahnya kecuali yang tampak daripada beliau akan kepintaran akalnya.
Namun, titik perubahan kehidupan Buya HAMKA bermula tatkala beliau makan hati akan teguran pedas ayahnya yang tidak lagi menaruh harapan pada beliau sehingga sanggup mengeluarkan kata bahawa beliau adalah anak yang tak berguna. Namun, inilah yang dikatakan perancangan Allah. Atas kerana itu, Buya HAMKA membawa diri lari daripada rumah, lari daripada desanya dan lari daripada tanah airnya. Merantau ke bumi suci Mekah dengan hanya diketahui oleh bapa saudaranya yang membiayainya.
Di bumi Mekah, Buya HAMKA memanfaatkan kepintaran akalnya dengan sebaiknya. Beliau tidak segan bertandang daripada tinag ke tiang mengikuti pengajian tidak formal, menuntut di bawah tunjuk ajar Shaikh-Shaikh yang ada di Masjid al-Haram. Sambil pula berkerja di kedai buku, sambil menyapu, buku-buku yang ada tidak dilepaskan dari dikhatamkan. sesungguhnya, perjalanan seorang permata-mutiara dakwah sudah bermula. Di sinilah, beliau dididik oleh Allah untuk menuruti sunnah-Nya yang sudah pasti dan tentu.
Buya HAMKA kembali ke Indonesia dengan dada yang dipenuhi ilmu. Malah, yang menjadikan beliau unik daripada mana-mana pelajar Indonesia yang mengaji di Mekah, diri Buya HAMKA rupa-rupanya sudah dari dahulupun sememangnya mempunyai kehalusan hati-jiwa nurani. Maka itu, ilmu yang dituntunta disulamkan pula dengan kehalusan pekertinya dan jiwanya sehinggakan menawan hati setiap mad'u yang didekatinya.
Buya HAMKA terus menerus mejadikan dirinya seorang pendakwah yang sohor dan amat berbeza dengan mana-mana pendakwah yang pernah lahir di bumi nusantara ini. Buya HAMKA hadir dengan gelar pendakwah-sasterawan. Beliau tidak lekang daripada mesin taipnya mengetip-ngetip satu demi satu huruf, meluahkan segala yng dirasainya dengan bekal ilmu yang saban masa ditambahi dengan minatnya yang mendalam kepada buku untuk dibaca.
Buya HAMKA, sekalipun telah melaui onak duri di dalam berdakwah. Naik gunung turun gunung. Masuk hutan, keluar hutan. Masuk penjara, keluar penjara. Tapi Buya HAMKA terus gagah menegakkan yang ma'ruf dan keadilan dan gagah jua menetang yang zalim dan kebatilan.
Benarlah pepatah Inggeris yang menyatakan; "When the going gets tough, the tough gets going". Melalui segenap mehnah dan tribulasi yang melanda, Buya HAMKA kekal di barisan hadapan dakwah. Dengan ilmu meluas, hikmah melangit, tidak hairan maka Buya HAMKA terus sahaja disegani dan disayangi oleh segenap manusia tidak kira kawan mahupun musuhnya.
Buya HAMKA... al-Faatihah.
Comments