Debat Datuk Seri Anwar dan Datuk Shabery Cik: "Handicapped Match"


Saya rasa beruntung kerana berkesempatan untuk menyaksikan debat yang dianjurkan oleh Agenda Daily di rangkaian TV 9 malam tadi. Debat yang mempertemukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Shabery Chik dengan tajuk “Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak”. Saya kira, debat ini melakar sejarah tersendiri buat Malaysia kerana julung-julung kalinya dianjurkan dengan mempertemukan dua pihak yang berbeza untuk memperdebatkan tajuk yang menyentuh kepentingan rakyat melalui prinsip dan fahaman yang dipercayai masing-masing.

Saya terimbau “Presidential Debate” yang disertai oleh calon-calon Presiden Amerika Syarikat yang saya tontoni apabila menyaksikan debat di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Shabery Chik. Sekalipun, bukan lah mereka berdua bertanding untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia, namun asasnya mereka berdua berdiri di hadapan tontonan ramai untuk meyakinkan bahawa pendekatan masing-masing di dalam menangani isu kenaikan harga minyak adalah lebih baik buat Malaysia dan rakyatnya.

Debat ini, saya kira cukup baik untuk diteruskan dengan mempertemukan kerajaan dan pembangkang untuk rakyat menilai yang mana satukah polisi yang lebih baik buat mereka untuk digunakan di dalam mentadbir Negara.

Saya sebenarnya agak kecewa dengan ucapan pembukaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang saya kira agak hambar. Ia bukan satu permulaan yang baik buat Datuk Seri. Sekalipun, Datuk Seri berjaya memanfaatkan masa yang diberi untuk menegaskan prinsip dan dasar beliau, tetapi ia diganggu oleh salah sebutan Datuk Seri yang tampak jelas dalam banyak perkataan.

Saya kira, ucapan permulaan Datuk Shabery Chik adalah lebih baik daripada segi sebutan namun saya kecewa dengan pendekatan yang diambil oleh beliau. Awal-awal lagi, daripada memanfaatkan masa yang ada dengan menerangkan dasar dan prinsip kerajaan dengan baik, beliau sibuk mengungkit sejarah lama Datuk Seri anwar Ibrahim. Timbul persoalan pada saya, apakah malam ini Datuk Shabey ingin berdebat tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim atau tentang pendekatan kerajaan dalam menangani kenaikan harga minyak?

Pusingan seterusnnya menyerlahkan karisma Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebenar. Saya berbisik kepada kawan sebelah saya yang bersama menonton debat tersebut, “Anwar dah naik sheikh…”. Daruk Seri tidak termakan dengan umpan Datuk Shabery yang ingin mengheret debat malam ini untuk menyerang peribadi lawan. Datuk Seri Anwar Ibrahim terus-terusan memanfaatkan masa yang ada untuk menerangkan kesalahan kerajaan di dalam menangani kenaikan harga minyak global dengan mencadangkan beberapa pendekatan yang saya kira cukup praktikal untuk kerajaan ambil perhatian untuk dipertimbangkan.

Prof. Datuk Dr. Nordin Kardi pada malam ini, nampaknya hilang air muka. Selaku Naib Canselor UUM, Prof. seolah-olah hilang kredibiliti dengan soalan-soalan yang sebegitu rupa. Malang juga, saya kira Zulkifli Sulong juga tidak berjaya memanfaatkan peluang yang ada untuk bertanyakan soalan yang lebih baik dan sepatutnya.

Secara keseluruhan, janji Datuk Seri anwar untuk menerangkan kepada penonton bagaimana beliau boleh mendapatkan RM 5 bilion untuk memastikan harga minyak sekarang turun 50 sen berjaya dilaksanakan. Dengan Rm 2 bilion yang didapatkan melalui keuntungan TNB dan baki Rm 3 bilion daripada sumber-sumber yang diterangkan oleh beliau dengan meyakinkan, saya kira esok mungkin benar minyak boleh diturunkan 50 sen jika beliau berjaya bentuk kerajaan.

Susah untuk saya memberikan komen yang adil buat Datuk Shabery Chik, kerana daripada awal lagi saya merasakan debat malam ini juga adalah ketidak adilan buat beliau. Seorang Menteri yang baru pertama kali memegang jawatan tersebut berdebat dengan mantan Timbalan Perdana Menteri, anda fikirkan sendiri.

Namun saya kagum dengan keberanian Datuk Shabery Chik untuk tampil berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau hendak dibandingkan dengan yang lain di dalam kerajaan. Kesungguhan Datuk Shabery Chik untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipuji. Beliau berani untuk berdepan dengan apa-apa kesan daripada debat malam ini.

Apa-apa pun tahniah buat kedua-dua tokoh yang berdebat. Tidak lupa juga buat Datuk Johan Jaafar, tahniah kerana ketegasan dan keadilan di dalam mempengerusikan debat.

Comments

Anonymous said…
Hidup PKR!