Jika Mahu Orang Menghormati Maka Bersikaplah Dihormati

Saya tahu bahawa orang Islam kalau tidak semua pun sebahagiannya berasa tercabar dengan penganjuran forum kontroversi oleh Majlis Peguam pada Sabtu lepas (9 Ogos). Lebih 500 orang Islam berkumpul menunjuk perasaan di hadapan tempat penganjuran forum tersebut. Kelibat tokoh-tokoh politik dan NGO juga turut kelihatan. Saya tidak bercadang untuk memberi komentar terhadap boleh atau tidak boleh Majlis Peguam menganjurkan forum tersebut. Namun saya terpanggil untuk mentakan pandangan saya terhadap sikap yang ditunjukkan oleh sesetengah demonstran Sabtu lalu.

Saya tidak berkesempatan untuk turut serta di dalam demonstrasi Sabtu lepas. Namun, tidak juga saya lupa untuk menghantar pemerhati-pemerhati untuk menilai suasana hari tersebut. Menariknya, demonstrasi hari itu seolah-olah menyatukan Muslim daripada kepelbagaian fahaman politik yang dianuti ats dasar Islam.

Namun, saya kira perkataan-perkataan seperti "Babi", "Pergi balik China", "Cina jahanam" dan pelbagai lagi adalah amat biadab dan tidak langsung mencerminkan keIslaman para demonstran yang mengungkapkan perkataan-perkataan tersebut. Hatta sampai ada yang menceroboh forum yang sedang berlangsung dengan biadab dengan tengkingan dan kata kesat walaupun kita tahu niatnya adalah ntuk menghentikan forum tersebut.

Saya kira bukan begini sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang Muslim apatah lagi mengaku sebagai pejuang Islam. Apakah tidak ada cara atau perkataan yang lebih berhemah dan matang di dalam usaha untuk kita menyampaikan seruan Islam kepada para pendengar, pelihat dan pemikir yang ada di luar daripada lingkungan Islam?

Kenapa perlu kita jahanamkan bangsa Cina? Kenapa perlu kita ugut untuk hantar balik ke China? Kenapa perlu kita gelarkan sebagai Babi? Kenapa tidak gunakan advokasi hikmah? Kenapa tidak gunakan gelar-gelar yang lebih baik? Kenapa tidak kita alu-alukan mereka untuk mengenali Islam?

Saya memahami bahawa demonstrasi atau lebih tepat sebenarnya tunjuk perasaan orang Islam yang berkumpul tempoh hari adalah untuk menghentikan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan hubungan kaum dan agama di Malaysia. Dan dalam masa yang sama tidak mahu sebarang tindakan yang mengenepikan sensitiviti orang Islam di Malaysia.

Tetapi adakah itu lesen untuk kita orang Islam pula bertindak mencaci maki serta mengugut orang kaum dan agama lain sebegitu rupa? Bukankah mereka juga sudah pun diterima sebagai warganegara Malaysia? dan tidak pula semua di kalngan mereka yang hadir ke forum tersebut atas dasar mahu mencabar kedaulatan Islam dan bangsa Melayu. Kebiadaban sesetengah orang Islam semasa tunjuk perasaan itu sebenarnya mencacatkan lagi Islam di pandangan mata orang kaum dan agama lain. Sebenarnya, segelintir individu-individu tersebut lah penyebab kepada kerosakan hubungan kaum dan agama di Malaysia.

Saya kira jika Majlis Peguam dapat menukar tajuk forum tersebut untuk disesuaikan dengan isu pokok yang ingin dibicarakan di dalam forum tersebut adalah lebih baik. Kita tidak boleh mengenepikan fakta bhawa sememangnya terdapat pertindanan yang ketara di antara bidangkuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Comments

Anonymous said…
Salam.. Ya la bg krol... Saya sebagai seorang muslim yang besederhana amatla kesal mengapa kita perlu membetulkan sesuatu dengan cara yang salah. Sama la kita yang jadi bersalah. Seperti kita berbuat jahat kepada musuh kita, jadilah kita sebagai seorang musuh juga. Bukan kah Islam itu indah..