Biar Kalah, Asal Bermaruah!

Hari demi hari yang dilalui menjelang 16 September menjadi semakin kecoh. Kecoh untuk "merampas" pemerintahan negara di bawah tangan yang berusia separuh abad. Turut kecoh untuk mengekang kesan pasca PRU 12 yang meninggalkan kesan yang bukan kecil buat pemerintah negara hari ini. Namun, kemenangan PR di Permatang Pauh tempoh hari, menampakkan kemaraan yang menjadi semakin sukar untuk dibendung. Bukan kerana kekuatan koalisi parti-parti di dalam PR. Tetapi kerana kegagalan parti tunggak koalisi BN untuk memahami petanda jelas yang ditunjukkan rakyat.

Namun, di dalam mengahrungi kekecohan yang berlaku; muhabalah, liwat, sumpah, minyak dan lain-lain, saya tergerak hati untuk memberikan pandangan saya tentang isu 16 September yang dikatakan sebagai hari Malaysia akan bertukar tangan. DSAI menjanjikan bahawa 16 September akan menyaksikan kemerdekaan Malaysia dalam erti kata sebenar. Dikatakan bahawa sudah lebih 30 orang ahli Parlimen akan melompat parti daripada koalisi parti pemerintah sekarang kepada koalisi parti di dalam PR. Dengan itu akan menyaksikan sejarah tercipata setelah separuh abad koalisi BN memerintah negara, akhirnya jatuh juga ke tangan PR.

Saya kira perkembangan seperti n baik buat kematangan negara kita. Amerika Syarikat telah menyaksikan pertukaran parti pemerintah beberapa puluh kali di antara Demokrat adn Republikan. Mereka kekal berkuasa sebagai kuasa unipolar dunia tanpa tandingan. Demokrasi subur dan negara meraka tetap berkembang baik. Walaupun banyak juga caca merbanya yang saya kira baik dibincangka di masa lain.

Mungkin inilah peluangnya untuk Malaysia menjadi lebih matang dan sebagai baja untuk menyuburka demokrasi di Malaysia. Tanpa menidakkan sifat-sifat lokaliti yang perlu dihormati. Perubahan adalah perlu daripada semasa ke semasa. Tanpa perubahan, negara tidak kenal akan keluasan dunia yang sedang didiami hari ini.

Namun, tidak juga saya pertikaikan akan kesan sampingan yang menajdi risiko yang perlu didepani dengan berani dan dan tabah. Setiap tindakan ada risikonya. Yang menjadi persoalan, sedia atau tidak kita untuk menerima risikonya yang mungkin tidak kecil.

Bagaimana pula penghijrahan ahli-ahli parlimen BN ke PR? Saya tertanya-tanya. Adakah mereka benar-benar ikhlas berhijirah ke PR demi rakyat dan negara? atau kerana ingin menjaga periuk nasi meraka atau lebih buruk, mencari gading yang lebih mahal, tanduk yang murah dibuang sahaja. Wujudkan pembelian ahli parlimen BN oleh PR? Kalau benar PR membeli ahli parlimen BN semata-mata untuk merebut pemerintahan negara, saya kira maka tiadalah bezanya walau sedkit pun sekiranya PR jadi memerintah negara dengan pembelian ahli parlimen BN itu. Di dalam hal ini, saya sokong pandangan DAP yang tidak mahu menerima ahli-ahli parlimen BN yang berhijrah ke PR selepas disogok dengan wang. Kerana mereka itu tidak lah ikhlas dan tidak lah pula mereka itu berjuanag kerana rakyat dan negara melainkan demi diri mereka sendiri.

Malah saya kira, amat tidak bermaruah, ahli-ahli parlimen yang sanggup menjual diri, parti dan idealisme perjuangan mereka selepas disogok dengan wang ringit dan kekayaan harta dunia. Begitulah juga halnya dengan penyogok yang membeli mereka ini. Tidaklah pula saya akan memandang tinggi akan mereka melainkan saya ludahi kerana kerendahan budi dan keelkan ilmu yang menjadikan mereka trut jatuh maruahnya ke tahap yang begitu rendah. Bagi saya, tidaklah matlamat itu menghalalkan cara.

Saya amat memandang tinggi kepada ahli-ahli parlimen yang bermaruah. Tidak lut dek harta kekayaan dunia. Mereka berjuang di atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap idealisme parti yang mereka junjung. Yang benar mereka benarnka dan yang salah mereka salahkan. Berpolitik dengan kepekertian budi dan ketinggian akal, mereka menjadi ahli-ahli parlimen yang mulia.

Biarlah bermaruah sekalipun kita kalah. Jangan pula menjadi pelacur politik yang tidak bermaruah. Biar kita tidak memerintah negara, asalkan perjuangan kita tidak dicemari dengan kebobrokan moral politikus duniawi.

Comments