Pemilihan MPP 2008/2009 dijangka lebih menarik

Ruangan Pendidikan Berita Harian


PILIHAN raya kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini dijangka lebih menarik kerana tsunami politik dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu mungkin turut memberi kesan kepada proses pemilihan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu.

Setiausaha Agong Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Khairul Anwar Shazali, berkata biarpun kehangatan bahang pilihan raya kampus belum terasa, ia tidak boleh dijadikan ukuran dalam menilai senario pemilihan ahli MPP bakal berlangsung.

“Trendnya dijangka hampir sama dengan pilihan raya umum. Setiap tahun juga kedengaran pelbagai rungutan dan masalah dan ini adalah satu senario biasa.

“Kita tidak boleh mengetepikan fakta bahawa terdapat kolerasi antara perkembangan politik semasa negara dengan perkembangan politik kampus.

“Justeru, isu dimomokkan dalam pilihan raya umum akan turut dimainkan di peringkat pilihan raya kampus. Secara positif, ini baik untuk mahasiswa dalam mengenal erti demokrasi,” katanya kepada Berita Harian.

Perkembangan itu juga disifatkannya lebih baik berbanding hanya menyaksikan sebahagian besar calon pilihan raya kampus menang mudah tanpa bertanding.

Selain itu, Khairul Anwar berkata, calon bertanding tampil dengan kempen tidak seberapa, manakala mahasiswa pula buat endah tidak endah dan mengundi tanpa menyedari ertinya.

Tambah mengecewakan, katanya, ada sebahagian IPTA yang menyaksikan pemilihan ahli MPP terpaksa dibuat secara lantikan berikutan tiada calon bertanding.

“Harus diingat, pemimpin mahasiswa bukan hanya berperanan sebagai jawatankuasa pelaksana aktiviti universiti, tetapi turut berperanan sebagai teras agenda perubahan masyarakat dengan nilai intelektual, keseimbangan emosi dan iman,” katanya.

Mengenai ciri terbaik calon ahli MPP, Khairul Anwar berkata, PKPIM menekan empat aspek utama, iaitu spiritual iaitu pemimpin mahasiswa perlu menjadi individu yang mempunyai daya tahan rohani diri yang tinggi.

“Kedua, intelektual supaya mereka tidak menidakkan aspek ilmu dalam memimpin, sebaliknya kritis dan kreatif; idealis bukan jadi pak pacak atau lembu dicucuk hidung sebaliknya mempunyai misi dan visi jelas, impian dan cita-cita tinggi.

“Seterusnya yakin dan percaya terhadap perkara dilakukan sekali gus membentuk idealisme seseorang pemimpin mahasiswa, manakala keempat, mereka perlu bersifat inklusif bukan eksklusif dan menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Comments

WAY TO GO KHAIRUL ANWAR SHAZALI.. ok, disebabkan engkau dh pandai menulis dan berjaya masuk paper.. aku hadiahkan kotak ASTRO... k.. (eleh, jeles ler tu ngn aku, nk jgk masuk paper..huhh)