PKPIM SOKONG BAHASA MELAYU UNTUK SAINS DAN MATEMATIK

Malaysiakini

Bantahan yang dibuat oleh bekas Menteri Pelajaran negara, Tun Abdul Rahman Ya'kub terhadap pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris harus diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong penuh saranan Tun Abdul Rahman Ya'kub agar pengajaran Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa Melayu, sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.

PKPIM semenjak daripada awal pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah menyuarakan bantahan terhadap pendekatan tersebut dan sehingga kini PKPIM tetap tegas dengan pendirian bahawa pengajaran Sains dan Matematik harus dikembalikan kepada Bahasa Melayu.

PKPIM bersetuju dengan kenyataan Tun Abdul Rahman Ya'kub bahawa dasar pengajaran dalam Bahasa Melayu yang telah dimulakan semenjak tahun 1970 telah berjaya melahirkan banyak pakar dalam bidang Sains dan Matematik. Malah, tidak ada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan sesetengah pihak bahawa kononnya pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu akan menyebabkan para pelajar di negara ini sukar untuk bersaing ke peringkat tertinggi.

Justeru, PKPIM sekali lagi mengulang desakan agar pengajaran Sains dan Matematik dikembalikan semula kepada Bahasa Melayu. PKPIM yakin dan percaya bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu akan lebih membantu para pelajar di negara ini untuk menguasai kedua-dua matapelajaran itu dengan lebih baik. Dalam masa yang sama, PKPIM juga tidak menolak kepentingan mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, penguasaan bahasa asing tersebut haruslah dibuat dengan memperkasakan kaedah pembelajaran bahasa itu sendiri, dan bukannya dengan mengorbankan subjek Sains dan Matematik sehingga ditukar bahasa pengantarnya.

Dalam hal ini, PKPIM menyeru agar pihak yang berkaitan meletakkan kepentingan umat dan masyarakat di negara ini melebihi kepentingan peribadi dan keuntungan politik. Pandangan dan saranan daripada pakar-pakar yang benar-benar bertauliah dan layak untuk membicarakan tentang soal pendidikan, bahasa dan budaya harus diterimapakai dalam menentukan dasar-dasar pendidikan yang penting di negara ini.



KHAIRUL ANWAR BIN SHAZALI
Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Post a Comment