SISTEM SEKOLAH VERNAKULAR WAJAR DITAMATKAN

Utusan Malaysia 3 Disember 2008

HarakahDaily.net

Cadangan Datuk Mukhriz Mahathir supaya sistem sekolah vernakular ditamatkan merupakan cadangan yang amat baik. Malah, bukan pertama kali cadangan seumpama itu dikemukakan. Penyata Razak 1956 secara jelas mencadangkan supaya ditubuhkan satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada pelajar daripada semua kaum.

Dengan menutup sekolah pelbagai aliran, ini akan memberi ruang kepada sekolah kebangsaan yang sedia ada untuk membawa aspirasi cadangan ini. Pelajar daripada semua kaum akan belajar di bawah sistem satu sekolah. Ini bukan sahaja akan membolehkan mereka melalui sukatan pelajaran yang sama, malah turut memberikan pendedahan awal untuk mereka hidup di dalam persekitaran kepelbagaian kaum.

Pendedahan awal untuk mereka hidup di dalam persekitaran kepelbagaian kaum adalah amat penting. Ini akan membolehkan mereka mengadaptasi segala permasalahan yang timbul sesama mereka dan seterusnya mencapai persefahaman daripadanya di peringkat seawal sekolah rendah. Ini akan menjadi satu batu asas yang amat kukuh buat para pelajar yang melalui sistem satu sekolah untuk mencorak kehidupan bermasyarakat di masa hadapan dengan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia.

Namun saya berpandangan, untuk mengukuhkan lagi cadangan Datuk Mukhriz Mahathir, adalah amat besar keperluan untuk Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama di dalam sistem ini. Ini termasuklah dengan menamatkan program PPSMI yang ternyata akan merosakkan usaha murni untuk membina kesatuan di kalangan para pelajar di dalam sistem satu sekolah. Ini kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang dapat dimanfaatkan sebagai bahasa perpaduan dan kesatuan di antara kaum.

Tanpa menidakkan cadangan mewajibkan bahasa lain di dalam sistem satu sekolah untuk diajarkan kepada para pelajar berasaskan kaum mereka. Iaitu Bahasa Mandarin untuk kaum Cina dan Bahasa Tamil untuk kaum India.

Sistem sekolah vernakular sememangnya merupakan antara faktor penting yang menyumbang kepada polarisasi kaum yang semakin tampak jelas di Malaysia pada hari ini. Seharusnya para pemimpin yang mewakili kaum-kaum masing-masing harus berasa gusar dengan perkembangan yang cukup mencemaskan ini. Tidak terhad kepada pimpinan di lapangan politik, pimpinan di lapangan ekonomi dan sosial juga harus maju ke hadapan memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah ini.

Pandangan Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arsyad bahawa perlu ada keazaman politik untuk merealisasikan objektif daripada cadangan Datuk Mukhriz Mahathir harus diberi pertimbangan mendalam oleh para pimpinan yang mewakili kaum masing-masing. Sekiranya benar kita semua serius untuk menangani masalah polarisasi kaum hari ini, para pimpinan kaum perlu secara tulus dan telus untuk mencapai persefahaman di dalam hal ini.

Sekiranya para pimpinan kaum masing-masing asyik berkeras menuding jari tanpa bersedia duduk semeja secara serius untuk mencapai persefahaman, maka Malaysia sebenarnya sedang menuju fasa akhir kewujudan sesebuah negara selari dengan teori Ibnu Khaldun di dalam Kitab Mukaddimah karangannya.

Saya optimis, sekiranya Malaysia masih punya pimpinan yang jujur dan berjiwa besar, masalah polarisasi kaum hari ini akan dapat diselesaikan dalam kadar yang segera. Seperti mana batu asas perpaduan kaum yang dibina oleh pimpinan kita di awal penubuhan Malaysia, kesediaan pimpinan hari ini untuk mengabaikan kepentingan yang bersifat rigid dan individualistik akan berhasil membina batu pengukuh perpaduan di Malaysia.

Demi mencapai manfaat yang lebih besar dan berpanjangan di Malaysia, polarisasi kaum harus segera dihapuskan. Langkah awalnya adalah dengan bersetuju secara bersama untuk menamatkan sistem sekolah vernaklar ke arah sistem satu sekolah buat semua kaum di Malaysia.

Comments

Anonymous said…
Karut, kalau Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak meminggirkan bahasa Melayu. Di mana bahasa Melayu pada kala pelajar diajar dalam bahasa Inggeris. Tolak bahasa Melayu bererti tolak bangsa berjiwa besar bahkan kita sedang menempah bangsa berjiwa sakit.
Anonymous said…
Seminar ASASI + Pusat Dialog Peradaban

Tema: Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Intelektual dalam Konteks Tamadun Alaf Baru
Pembentang: Prof Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar, Dr. Shaharir Mohamad Zain, Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir, Dato’ Dr. Hasan Ahmad, dll
Tarikh: 19 Disember 2008 (Jumaat)
Tempat: Bilek Wawasan, Rumah Tetamu, UM
Penyertaan: Hanya 35 hadhirin (menerusi tiket ASASI), MASUK PERCUMA (Sila mendaftar di sini: http://www.kesturi.net/archives/501)
Anonymous said…
Matlamat pelajaran dan pendidikan ialah untuk membolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan fungsi ianya dicipta oleh Tuhan.Dan tidaklah manusia itu dicipta oleh Tuhan melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya . Sekiranya sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu tidak menghasilkan manusia yang pandai mengabdi dan memperhambakan dirinya pada Allah dan sebaliknya pula hanya bertujuan untuk membina hidup di dunia, mengumpul kekayaan dan harta, ingin dipuji dan dimuliakan oleh manusia, maka ini telah tersimpang jauh dari tujuan manusia itu diciptakan. Kalau kita tidak menepati tujuan kita diciptakan oleh Tuhan, maka sudah barang tentu Nerakalah tempat kembali yang selayaknya, wanauzubillah.