Selamat Tahun Baru 1430 H dan 2009 M

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru buat umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia bersempena dengan tahun baru 1430 Hijrah dan 2009 Masehi. Saban tahun keraian tahun baru yang sememangnya meriah, pastinya diiringi dengan azam tekad untuk tahun baru yang menjelang. Justeru, PKPIM mendoakan yang terbaik buat umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia untuk tahun baru ini.

PKPIM turut menyeru generasi muda belia Malaysia untuk mengambil kesempatan tahun baru ini untuk dijadikan sebagai satu titik mula untuk sesuatu yang baru dan baik. Ia kesempatan terbaik untuk setiap daripada kita untuk bermula mahupun untuk berubah.

Tambahan lagi dengan ruang yang terbuka buat generasi muda untuk menanam azam tekad untuk tahun baru ini. Generasi muda perlu memanfatkan ruang yang ada untuk menjadikan azam tekad untuk tahun baru ini sebagai satu matlamat yang harus dicapai. Azam tekad yang ditanam harus dikerjakan dan jangan hanya ditinggalkan tidak dibaja dan disiram. Azam tekad yang kita cipta hanya akan berhasil dengan usaha dan tawakkal.

Malah, inilah kesempatan terbaik buat kita untuk merobah apa yang sepatutnya dirobah di dalam diri kita. Kerana Allah s.w.t. hanya akan merobah nasib sesuatu kaum sekiranya kaum itu merobah apa yang ada pada mereka (maksud Surah al-Ra’adu: 11). Tanpa usaha kita untuk merobah kelemahan diri kita yang mengekang segala bentuk kejayaan yang seharusnya kita capai, sampai bila-bila pun kita akan terus berada di tampuk lama yang telah menjadikan kita terlalu selesa berada di bawah diinjak-injak oleh bangsa asing.

Generasi muda harus melihat tahun baru hijrah dan masehi yang hampir-hampir serentak sebagai satu peluang untuk memperbaiki dan memperkasa diri supaya lebih baik daripada keadaan diri sebelumnya. Mengambil semangat Hijrah baginda Rasulullah s.a.w. 1430 tahun hijrah yang lepas, jadikanlah tahun baru ini sebagai satu titik perubahan ke arah sesuatu yang lebih baik dengan niat yang ikhlas.

Kata-kata Saidina Ali k.w.j. juga harus dijadikan sebagai satu pedoman di dalam kehidupan.

“Rugilah orang yang hari ini sama sahaja dengan hari semalam. Celakalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam. Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam.”

Maka, ayuhlah kita golongkan diri kita di dalam golongan mereka yang beruntung. Nescaya, dengan ketulusan hati yang ikhlas dan usaha teguh tanpa jemu serta sandaran tawakkal yang utuh pada Allah s.w.t., tanpa ragu lagi, kejayaan pasti menjelang! Inilah 1430 Hijrah dan 2009 Masehi, tahun baru untuk kita menjadi cahaya serata alam.


Khairul Anwar Shazali,
Setiausaha Agung PKPIM.

Comments