Kongres Islam Sarawak Tolak PPSMI


Saya baru selesai menyertai Kongres Islam Sarawak ke-2 selepas penganjuran kali pertamanya pada tahun 1968. Kongres yang berlangsung daripada 10 Februari dirasmikan oleh Y.A.B. Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Taib Mahmud dan ditangguhkan oleh Y.A.B. Datuk Patinggi Najib Tun Razak ketika Majlis Penangguhan dan Makan Malam sebentar tadi.

Kongres disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Saya menganggarkan penyertaan adalah berjumlah sekitar 500 orang. Politikus, Budayawan, Agamawan, Ilmuwan, Tokoh-tokoh dan para Pemimpin masyarakat adalah di antara yang hadir menyertai kongres tersebut. Selain daripada pembentangan kertas kerja oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Sidek Baba, Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Yusuf Othman, Y.Bhg. Datin Paduka Sa'adiah Sheikh Bakir dan Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Zainal Kling, Kongres turut membahagikan para peserta kepada enam kumpulan bengkel yang kemudiannya melalui siri perbincangan untuk menghasilkan resolusi kongres. Setiap satu kumpulan disertai oleh lebih kurang 60 ke 80 orang peserta.Kumpulan-kumpulan bengkel adalah seperti berikut;

1. Politik dan Pentadbiran
2. Pendidikan
3. Ekonomi
4. Dakwah
5. Perundangan Islam
6. Sosio-Budaya

Saya berkesempatan untuk menyumbang ide dan berkongsi pandangan di dalam kumpulan bengkel Politik dan Pentadbiran. Namun yang ingin saya gadangkan di dalam penulisan kali ini adalah salah satu resolusi kumpulan bengkel Pendidikan yang signifikan dengan isu semasa iaitu cadangan untuk menggugurkan PPSMI dan dikembalikan kepada Bahasa Melayu. Kumpulan bengkel Pendidikan juga mendesak supaya sebuah memo dihantar kepada pihak KPM untuk memaklumkan resolusi kongres untuk menolak PPSMI. Tambah menarik, apabila resolusi tersebut diumumkan di khalayak ketika sidang pleno di hadapan kesemua peserta, resolusi tersebut mendapat tepukan gemuruh menunjukkan tanda sokongan kesemua peserta kongres terhadap resolusi untuk menggugurkan PPSMI.

Para peserta Kongres Islam Sarawak yang mewakili pelbagai lapisan dan kumpulan masyarakat Islam daripada seluruh pelusuk Sarawak, telah bersetuju dengan resolusi tersebut. Saya kira menunjukkan betapa PPSMI gagal meyakinkan rakyat akan keberhasilannya. KPM dinasihati untuk mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan-kepentingan lain yang sedang KPM lindungi. Rakyat daripada negeri lain turut menunjukkan tentangan seruapa terhadapa PPSMI melalui bacaan keadaan semasa hari ini.

Rakyat telah bersuara! Tamatkan sahaja PPSMI!

Comments