Perak Dalam Dilema

"Raja adil, Raja disembah,
Raja zalim, Raja disanggah"

Saya kira prosa di atas akan terus menarik perhatian kita bersama kepada kemelut politik yang sedang kencang berlaku di Perak. Tidak pernah di dalam sejarah Malaysia mahupun dunia barang kali yang punya dua Ketua Eksektif memimpin dua jawatankuasa eksekutif yang berbeza.

Meletakkan prosa di atas sebagai awalan tulisan saya tidak memberikan apa-apa maksud tersirat. Tidak terdetik untuk saya melabel Sultan Azlan Shah sebagai Sultan yang zalim namun tidak juga saya putuskan samada baginda Sultan yang adil.

Melihat kepada sandiwara penuh dramatik dan suspen drama politik di Perak, saya kira ingin saya nyatakan betapa saya merasa jijik dengan kekejian amalan politik Dato' Nasarudin, (UMNO-PKR-UMNO-?, ADUN Bota). Kemasukannya di dalam PKR yang dijangka meningkatkan juran kelebihan kerusi di Perak rupanya hanya sebagai "Kuda Trojan" untuk menarik tiga ADUN daripada kalangan Pakatan Rakyat untuk melompat menjadi ADUN BEBAS. Dan Dato' Nasarudin? Kembali ke UMNO. Saya berasa amat malu dan kecewa dengan amalan poltik yang teramat keji dimainkan oleh Dato' Nasarudin. Samada ia sememangnya dirancang atau tidak? Saya kira ia tetap suatu yang keji. Dato' Nasarudin seharusnya dinobat sebagai Raja Lompat Parti yang baru menggantikan Datuk Ibrahim Ali sebelum ini.

Saya tidak punya apa-apa komen terhadap tiga ADUN PKR yang menjadi BEBAS ketika ini. Saya ingat, sekiranya Dato' Seri Anwar Ibrahim juga berusaha untuk mengajak wakil -wakil rakyat daripada Barisan Nasional untuk melompat masuk ke Pakatan Rakyat, maka apa salahnya untuk ketiga-tiga mereka bertindak sedemikian? Namun, apa niat dan sebab-musabab lompatan ketiga-tiga mereka itu yang perlu kita soal. Sekiranya melompat dengan niat yang benar dan bersebabkan yang sahih, maka silakan. Tetapi sekiranya kerana kepentingan diri dan sesebuah parti, maka saya ingat tidak lah jauh bezanya mereka dengan penyagangak-penyagak yang merompak kepercayaan rakyat dengan janji dan ucapan manis ketika PRU 12 dahulu dan akhirnya mengkhianatinya.

Saya masih meneliti hujahan perundangan di dalam kes ini. Pertembungan pendapat di antara Dr. Shamrahayu (UIAM) dan Dr. Aziz Bari (UIAM) adalah suatu yang saya kira biasa di dalam dunia akademik namun membebankan pemerhati yang menunggu-nunggu suara-suara akademik dari balik dinding tebal menara gading. Sekalipun Sultan Azlan Shah merupakan bekas Ketua Hakim Negara, saya kira adalah perlu kita menilai apa yang ada di hadapan kita dengan ilmu yang benar melalui akal yang bersih. Jangan disilaukan dengan persepsi.

Dalam pada masa yang sama, saya kira amat perlu semua kita diperingatkan untuk kekal mejaga adab di dalam bertelingkah. Perbuatan segelintir pihak di kalangan penyokong dan pemimpin pembangkang lakukan ke atas Sultan Perak dan kerabat diraja baginda adalah suatu yang saya kira amat biadab. Jangan kerana Raja tidak menyokong pandangan kita hari ini, Raja itu kita sanggah dan di kemudian hari Raja itu juga yang kita harapkan sebagai benteng kita sebagai rakyat melawan kezaliman dan kebatilan.

Sekiranya insitusi diraja boleh kita runtuhkan maruahnya hari ini, tidak panjang kah akal kita memikirkan apa sebenarnya yang sedang kita hidangkan kepada musuh-musuh yang sentiasa menuggu waktu agar sistem monarki berpelembagaan Malaysia runtuh supaya senang hak dan keistimewaan Bumiputra dan Islam dirobek dan dimusnahkan.
3 comments