PKPIM DEDAHKAN DAPATAN KAJIAN TRENDS IN INTERNATIONAL MATHEMATICS AND SCIENCE STUDY (TIMSS 2007) ANJURAN INTERNATIONAL ASSOCIATION FOR THE EVALUATION

Harian Metro

New Straits Times

Bernama


Utusan Malaysia

New Sabah Times

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melalui sumber yang boleh dipercayai telah menerima dokumen kertas kerja makluman dapatan kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA). Kertas kerja tersebut telah dibentangkan sebagai makluman dapatan kajian TIMSS 2007 kepada Ahli Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran Malaysia.

TIMSS 2007 adalah kajian perbandingan antarabangsa yang mengkaji pelaksanaan dan keberkesanan kurikulum Sains dan Matematik. Penyertaan Malaysia di dalam kajian ini telah mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Ogos 2000 selepas dibentangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Malaysia telah terlibat di dalam kajian ini sebanyak tiga kitaran iaitu kitaran pertama, 1998 hingga 2000, kitaran kedua, 2001 hingga 2004 dan kitaran ketiga, 2005 hingga 2008. TIMSS 2007 telah disertai oleh 59 buah negara daripada seluruh dunia.

Penglibatan Malaysia dalam kajian ini melibatkan murid Tingkatan 2. Seramai 4,466 orang murid Tingkatan 2, 150 orang guru Matematik dan 150 guru Sains yang mengajar Tingkatan 2 daripada 150 buah sekolah menengah di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Murid Tingkatan 2 dalam kelas yang terpilih menduduki ujian pencapaian dan menjawab soal selidik murid. Guru yang mengajar Matematik dan Sains di kelas tersebut menjawab soal selidik guru, manakala Pengetua atau Penolong Kanan menjawab soal selidik sekolah.

Soalan-soalan telah disediakan oleh panel pakar dari seluruh dunia menggunakan format soalan aneka pilihan dan soalan terbuka. Mengikut trend, separuh dari soalan TIMSS 2003 telah digunakan semula dalam soalan TIMSS 2007. Soalan trend (soalan TIMSS 2003) tersebut masih ditulis dalam Bahasa Malaysia, manakala soalan baru (soalan TIMSS 2007) telah ditulis dalam dwibahasa, iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Perlu diberi perhatian bahawa murid Tingkatan 2 yang menjadi responden kajian TIMSS 2007 adalah generasi pelajar Malaysia yang melalui program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Justeru itu, dapatan TIMSS 2007 ini turut memberi gambaran akan keberkesanan PPSMI terhadap para pelajar Malayisa sekalipun tidak dikaitkan secara langsung di dalam kertas kerja yang dibentangkan kepada Ahli Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran Malaysia.

Dengan ini, PKPIM mendedahkan dapatan kajian tersebut adalah seperti berikut;
Pencapaian Murid Dalam Mata Pelajaran Matematik
1. Kedudukan Malaysia di dalam TIMSS bagi mata pelajaran Matematik telah merosot daripada kedudukan tempat ke-10 daripada 46 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2003 kepada kedudukan tempat ke-20 daripada 49 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2007.

Negara-negara yang memperolehi skor purata yang lebih tinggi dan perbezaannya adalah signifikan berbanding Malaysia ialah China Taipei (598), Korea (597), Singapura (593), Hong Kong (572), Jepun (570), Hungary (517), England (513), Rusia (512), Amerika Syarikat (508), Lithuana (506), Republik Czech (504), Slovenia (501), Armenia (499), Australia (496), Sweden (491), Malta (488), Scotland (487) dan Serbia (486).

Enam daripada sembilan buah negara yang mendahului Malaysia dalam TIMSS 2003, masih mengatasi Malaysia dalam TIMSS 2007. Manakala 11 buah negara yang ketinggalan di belakang Malaysia dalam TIMSS 2003, telah melonjak dan mendahului Malaysia dalam TIMSS 2007 iaitu England, Rusia, Amerika Syarikat, Lithuana, Slovenia, Armenia, Australia, Sweden, Scotland, Serbia dan Itali. Dua peserta baru dalam TIMSS 2007 turut mendahului Malaysia iaitu Republik Czech dan Malta.

2. Skor purata murid Malaysia bagi mata pelajaran Matematik ialah 474 berbanding skor purata antarabangsa iaitu 500, dan perbezaan ini adalah signifikan dari segi statistik. Skor purata Malaysia telah merosot sebanyak 34 daripada 508 (TIMSS 2003) kepada 474 (TIMSS 2007).

Peningkatan prestasi sebelas buah negara yang mendahului Malayisa dan enam negara lagi yang yang hampir sama dengan Malaysia dalam TIMSS 2007 berbanding dengan kedudukan mereka yang lebih rendah dari Malaysia dalam TIMSS 2003 mungkin menyumbang kepada peningkatan skor purata antarabangsa dalam TIMSS 2007. Ini memberi gambaran bahawa ketika prestasi Matematik murid antarabangsa meningkat, prestasi Matematik murid Malaysia menghadapi kemerosotan.

Pencapaian Murid Dalam Mata Pelajaran Sains
1. Kedudukan Malaysia di dalam TIMSS bagi mata pelajaran Sains juga telah merosot daripada kedudukan tempat ke-20 daripada 46 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2003 kepada kedudukan tempat ke-21 daripada 49 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2007.

Negara-negara yang memperolehi skor purata yang lebih tinggi dan perbezaannya adalah signifikan berbanding Malaysia ialah Singapura (567), China Taipei (561), Jepun (554), Korea (553), England (542), Hungary (539), Republik Czech (539), Slovenia (538), Hong Kong (530), Rusia (530), Amerika Syarikat (520), Lithuana (519), Australia (515), Sweden (511), Scotland (496), Itali (495), Armenia (488), Norway (487) dan Ukraine (485).

2. Skor purata murid Malaysia bagi mata pelajaran Sains ialah 471 berbanding skor purata antarabangsa iaitu 500, dan perbezaan ini adalah signifikan dari segi statistik. Skor purata Malaysia telah merosot sebanyak 29 daripada 510 (TIMSS 2003) kepada 471 (TIMSS 2007).

PKPIM mendapati hasil daripada pengamatan daripada dapatan kajian di atas, majoriti negara-negara yang memperolehi skor purata yang lebih tinggi dan mendahului kedudukan di tangga teratas di dalam TIMSS 2007, menggunakan Bahasa Kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pengantar di dalam pembelajaran dan pengajaran subjek Sains dan Matematik. Nasib buruk pula yang menimpa Malaysia di dalam TIMS 2007 kerana padah menggunakan Bahasa Inggeris yan bukan Bahasa Kebangsaan Malaysia sebagai bahasa pengantar di dalam pembelajaran dan pengajaran subjek Sains dan Matematik.

Laporan penuh TIMSS 2007 boleh dimuat turun daripada laman sawang rasminya di alamat, www.timss.bc.edu/TIMSS2007/intl_reports.html yang memecahkan kepada dua iaitu laporan TIMSS 2007 untuk Matematik dan Laporan TIMSS 2007 untuk Sains.

PKPIM berasa kesal terhadap KPM kerana tidak mendedahkan laporan TIMSS 2007 kepada umum. KPM seolah-olah cuba menyembunyikan fakta laporan ini yang jelas tidak berpihak kepada KPM. PKPIM kesal kerana KPM tidak bersikap objektif di dalam menilai keberkesanan PPSMI demi menjaga air muka dan kepentingan KPM setelah melakukan kesilapan dengan melaksanakan PPSMI sejak tahun 2003 dahulu. KPM secara jelas mengenepikan kepentingan dan untung nasib para pelajar dan guru yang terbeban dengan PPSMI.

PKPIM turut kecewa dengan KPM yang seolah-olah tidak ambil peduli akan laporan TIMSS 2007. Laporan TIMSS 2007 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu seharusnya menjadi kayu ukur letak duduk para pelajar Malaysia di arena antarabangsa. Ia turut menggambarkan betapa program PPSMI yang dilaksanakan telah merudumkan prestasi para pelajar Malaysia di dalam Matematik dan Sains.

Dengan ini, PKPIM mengulangi pendirian membantah dan menolak PPSMI. Sudah jelas betapa PPSMI bukan hanya mengancam kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang dilindungi kedudukannya oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran, bahkan mengancam masa depan pelajar dan hala tuju pendidikan Malaysia. PKPIM komited memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Pendidikan. PKPIM memberi mesej yang jelas bahawa PPSMI harus ditamatkan.

PKPIM sedar bahawa penamatan PPSMI secara mendadak ketika sesi persekolahan tahun ini yang sudah pun bermula akan membawa kesan buruk kepada para pelajar. Justeru, PKPIM mendesak KPM untuk segera memutuskan penamatan PPSMI menjelang tahun hadapan. PKPIM menawarkan diri untuk terlibat di dalam menyumbangkan pendapat dan cadangan di dalam merangka pelan peralihan PPSMI untuk kembali menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan dalam pada masa yang sama mencari jalan ke arah memperkasakan kemahiran berbahasa Inggeris di kalangan para pelajar.


KHAIRUL ANWAR BIN SHAZALI
Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Post a Comment