Bajet Mini 2009 Mesra Siswazah
Tahniah diucapkan kepada Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak di atas pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2009 sebagai pakej rangsangan kepada Bajet 2009 yang telah dibentangkan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini. Pakej rangsangan tersebut yang berupa bajet mini berjumlah 60 bilion, melakar sejarah ekonomi Malaysia.
Belum pernah sebelum ini satu pakej rangsangan yang berjumlah sebegitu besar dibentangkan selepas pembentangan bajet tahunan negara. Namun, ia adalah suatu yang logik dan munasabah di dalam mendepani krisis ekonomi dunia yang teruk sehingga menyebabkan penguncupan ekonomi terburuk semenjak The Great Depression pada tahun 1929.
Teras Pertama yang berjumlah RM 2 bilion daripada empat teras yang dibentangkan di dalam bajet mini mempunyai kesan langsung kepada siswazah. Program-program yang ditawarkan di dalam teras tersebut adalah untuk membantu siswazah untuk mendepani masa-masa sukar natijah daripada krisis ekonomi kali ini. Teras tersebut diperuntukkan untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan melalui penyediaan latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan, kebajikan pekerja yan telah diberhentikan kerja, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di sektor awam, peluang siswazah untuk melanjutkan pelajaran, skim PROSPER siswazah dan usaha mengurangkan pekerja asing.
Perlu dicermati bahawa kira-kira 56,000 orang telah kehilangan pekerjaan kesan daripada krisis ekonomi kali ini. Ini tidak termasuk puluhan ribu lagi siswazah yang sudah sedia menganggur dan yang baharu tamat pengajian dan kini di dalam pengangguran. Justeru, di dalam teras pertama yang dibentangkan, bukan sahaja siswazah yang menjadi satu-satunya sasaran yang bakal menerima manfaat daripadanya, tetapi terpaksa bersaing bersama dengan golongan pekerja yang telah diberhentikan, golongan pekerja yang diberhentikan sementara dan mereka yang mengalami kekurangan pendapatan.
Tanpa mengabaikan sasaran lain di dalam perlaksanaan program-program di bawa teras pertama bajet mini tersebut, kedudukan siswazah harus dipertimbangkan sebaiknya kerana siswazah berada di kedudukan yang rapuh di dalam persaingan bersama sasaran lain. Ini kerana pengalaman berkerja golongan pekerja yang diberhentikan samada secara kekal mahupun sementara menjadi satu kelebihan ke atas siswazah yang baharu sahaja menamatkan pengajian tanpa pengalaman berkerja. Ini khususnya berlaku di dalam sektor swasta yang tentunya akan mengutamakan kemahiran dan pengalaman berkerja.
Justeru, adalah dicadangkan supaya perlaksanaan program-program di bawah teras pertama perlu mengenalpasti dan membahagikan sasaran program secara jelas. Adalah baik sekiranya diletakkan satu nisbah peratusan yang sedia ditentukan untuk setiap sasaran program ini. Sebagai contoh, dengan meletakan peruntukan 30 % tempat diberikan untuk siswazah di dalam program-program yang ditawarkan di bawah teras pertama dalam bajet mini yang dibentangkan.
Tidak dinafikan bahawa Teras Pertama yang dibentangkan banyak menawarkan program-program yang menyediakan ruang dan peluang untuk siswazah berkecimpung di dalam keusahawanan seperti Program Tunas Mekar dan Skim PROSPER siswazah. Namun, tidak semua siswazah mempunyai minat ataupun kemahiran yang menjurus ke arah keusahawanan. Oleh itu, siswazah yang mempunyai minat dan kemahiran yang menjurus ke arah lapangan lain sebagai contoh kepimpinan, perlu turut diberi perhatian dan bantuan sewajarnya. Ini adalah untuk memastikan supaya mereka tidak tercicir untuk turut memberi sumbangan kepada negara.
Namun, ruang dan peluang yang disediakan untuk berkecimpung di dalam keusahawanan tidak boleh dipersiakan oleh siswazah. Siswazah perlu memanfaatkan kelebihan yang disediakan untuk mereka berkecimpung di dalam keusahawanan. Tambahan pula penglibatan siswazah di dalam keusahawanan akan mampu untuk membantu negara biarpun sedikit untuk mengharungi krisis ekonomi kali ini. Di kala masalah deflasi timbul, siswazah perlu bijak untuk mengenalpasti sektor-sektor ushawan yang ingin diceburi.
Siswazah juga harus mengambil peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi melalui peluang yang ditawarkan di dalam Teras Pertama Bajet Mini 2009. Penampungan kos yuran pengajian dan bahan penyelidikan sebanyak RM 20,000 untuk pelajar peringkat sarjana kedoktoran falsafah dan RM 10,000 untuk pelajar peringkat sarjana adalah satu usaha yang murni oleh kerajaan. Bukan sahaja ia dapat menyelesaikan masalah pengangguran dalam jangka masa pendek, bahkan ia dapat membina kapasiti akademik para siswazah untuk memiliki kelayakan yang lebih tinggi.
Siswazah harus mengambil pelang ini untuk memperolehi kelayakan akademik yang lebih tinggi. Dalam masa-masa mencabar ini, peluang melanjutkan pengajian tambahan pula dibiayai samada secara penuh ataupun separuh adalah satu pilihan yang cukup baik. Persepsi bahawa kelayakan akademik yang tinggi adalah tidak perlu untuk pekerjaan selain daripada dunia akademik dan kepensyarahan adalah tidak tepat dan perlu diketepikan.
Biarpun dengan segala program-program yang ditawarkan untuk dimanfaatkan oleh siswazah di dalam Teras Pertama Bajet Mini 2009 ini, siswazah tidak boleh berada di dalam zon selesa. Siswazah tidak harus menyandarkan survival dan masa depan diri kepada orang lain sebagai contoh kepada kerajaan semata-mata. Siswazah perlu bersikap proaktif di dalam membina kehidupan diri tambahan lagi di dalam suasana ekonomi yang tidak menentu pada hari ini.
Bajet Mini 2009 telah menyediakan tawaran program-program yang membuka banyak ruang dan peluang untuk siswazah. Kini, tinggal kemahuan diri siswazah sendiri untuk mencipta masa depan yang lebih baik buat diri sendiri dan negara.
Comments