Beragama Dengan BerTuhan
Sememangnya saya agak kepenatan ketika ini. Sejak hujung bulan lepas, tugasan di SPP banyak menagih keringat saya di luar pejabat. Saya gagahi juga coretan ini untuk masukan terbaru di blog yang sudah hampir empat minggu saya tinggalkan bersarang.
Dalam kepenatan, saya tersenyum sendiri dengan segala pengalaman yang dikurniakan Allah s.w.t. dalam tempoh masa yang memenatkan namun amat menggembirakan ini. Biarlah masa-masa berbaki ini, saya tadahi segala macam makna hidup yang saya perolehi di sini sekalipun pasti, bahawa noktahnya belum lagi.
Membaca buku terjemahan dalam Bahasa Indonesia, “Bertuhan Tanpa Agama” karangan Bertrand Russell mencabut satu demi satu gerigi besi yang memenjara makna agama di dalam hidup saya. Saya belum berani memberi komentar lanjut tentang buku tersebut lantaran belum lagi tamat menghadamnya. Namun membacanya nyata memberi saya satu kesegaran tersendiri untuk lebih menghargai agama sekalipun daripada penulis yang anti agama.
Di dalam aliran para ahli falsafah awal abad ke-19 yang berpatah arang lalu kembali kepada nilai moral dan etika melalui agama, Russell tampil berbeza. Dengan pengalaman betapa Gereja memanipulasi agama untuk kepentingan tersendiri dengan memenjara makna agama di dalam diri pemeluknya di abad sebelum itu, Russell keras menggambarkan bahawa agama hanya baik secara personal dan tidak seharusnya diwajibkan ke atas awam. Satu dasar privatisasi agama.
Namun, saya kira pengalaman yang dilalui oleh setiap manusia itu berbeza. Nyata bagi Russell sekalipun dibesarkan di dalam keluarga yang kuat berpegang kepada Kristian Katolik, namun sekitarannya telah membentuk satu pengalaman beragama yang tidak indah bagi akal fikirnya.
Agama bukan hanya sebagai satu bentuk perasaan seperti yang digambarkan oleh Russell. Pengalaman kehidupan beragama saya menjadikan agama itu sebagai satu kod etika dan moral di dalam melayari bahtera hidup menuju ke destinasi yang sudah pun diketahui namun kini persoalan bagi saya, berapa lamakah akan saya layarkan bahtera hidup ini?
Beragama mendatangkan suatu bentuk kemahuan untuk mengikuti kod moral etika yang diajukan oleh agama. Kemahuan itu samada dibina atas kesedaran diri atau atas paksaan yang disebabkan oleh pengaruh sekitaran. Apakah Muslimnya saya hari ini kerana saya beragama dengan sedar atau beragama kerana sekitar saya dilahirkan dan dibesarkan terdapat satu bantuk paksaan ke atas saya untuk terus sahaja menerima apa sahaja yang diberikan kepada saya semenjak lahir.
KeIslaman dan murtadnya seseorang menjadikan konsep beragama sebagai contoh di dalam Islam sebagai satu perkara yang harus diteliti. Masuknya ke dalam Islam, kerana apa? Sedar atau lari daripada kod moral etika yang diajukan oleh agamanya sebelum ini? Keluarnya daripada Islam, kerana apa? Sedar atau lari daripada kod moral etika yang diajukan Islam?
Mana mungkin (sekurang-kurangya melalui pengalaman beragama saya) seseorang itu berTuhan tanpa agama. BerTuhan itu sendiri telah menjadikan kita tergolong di dalam satu bentuk agama. Kerana agama itu bukan sekadar perasaan, ia adalah satu kod moral etika yang diyakini dan dipercayai membantu kita untuk mencari makna hidup untuk kita hidup dengan bebas daripada kejahilan dan kemurkaan jiwa yang mahukan kebergantungan harap. BerTuhan, menjadikan kita mematuhi satu kod moral etika sekalipun yang kita cipta sendiri melalui pengalaman kita mencari Tuhan. Dan kita patuhi serta setia melaksanakan kod tersebut. Nah, itu sudah berAgama, sekalipun tidak diberi-namakan agama itu.
Maka agama hadir di dalam hidup kita hari ini meudahkan kita di dalam mencari Tuhan. Di mana Tuhan? Di mana buktiNya? Di mana kuasaNya? Maka agama hadir dengan penyelesaian, satu bentuk silibus untuk ditawarkan kepada kita supaya kita ikuti dan akhirnya bahtera kehidupan yang kita layari ini berlabuh ke destinasi yang betul bertemu dengan Tuhan. Soalnya, bila?
Comments