HADKAN JUMLAH PENGAMBILAN SUBJEK SPM ADALAH CADANGAN BAIK
Menghadkan jumlah pengambilan subjek SPM adalah satu cadangan yang baik. Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran
Penaja-penaja biasiswa cenderung untuk memberikan tajaan kepada pelajar yang berupaya memperolehi keputusan A1 terbanyak. Ini tentunya memberi kelebihan ketara kepada pelajar yang memperolehi A1 dalam kuantiti subjek yang besar berbanding pelajar yang memperolehi A1 dalam kuantiti subjek yang sedikit. Ini tidak adil bagi pelajar di sekolah-sekolah yang menghadkan jumlah pengambilan subjek SPM kepada sembilan atau sepuluh subjek sahaja.
Keadaan ini menyebabkan pengabaian terhadap para pelajar daripada sekolah-sekolah tersebut yang turut memperolehi keputusan SPM yang cemerlang tetapi dalam jumlah subjek yang sedikit. Persoalan yang timbul sekarang adalah persaingan yang tidak seimbang di kalangan pelajar untuk merebut tajaan biasiswa.
Sebenarnya, sekiranya keadaan di atas dijadikan sebagai ukuran, arahan tentu sahaja boleh dikeluarkan oleh pihak berwajib supaya semua sekolah memberikan kebebasan kepada para pelajar mereka untuk mengambil seberapa banyak jumlah subjek SPM. Dengan itu, masalah persaingan yang tidak adil akan dapat diselesaikan.
Namun sebenarnya, terdapat kemaslahatan yang lebih wajar untuk dijadikan sandaran kepada cadangan yang diutarakan. Lewat kebelakangan ini, seruan dan desakan supaya sistem pendidikan Malaysia tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata semakin banyak diperkatakan. Malah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah pun mengambil langkah proaktif membincangkan isu ini secara tuntas. Ini untuk memastikan supaya sistem pendidikan
Jika persaingan merebut keputusan A1 paling banyak di kalangan para pelajar diteruskan, adalah dikhuatiri ia akan mendorong para pelajar berorientasikan peperiksaan semata-mata, kerana menjadikan peperiksaan sebagai matlamat akhir di dalam pembelajaran mereka. Benar dengan memperolehi keputusan A1 yang banyak akan memberikan indikator kecemerlangan pembelajaran mereka. Tetapi soalnya, sejauh mana?
Kecemerlangan pembelajaran tidak boleh hanya diukur dengan keupayaan mengingat apa yang telah dipelajari. Syed Muhammad Naquib al-Attas mentafsirkan ilmu sebagai ketibaan makna di dalam diri. Maka, seharusnya soal sejauh mana makna kepada apa yang dipelajari, benar-benar tiba di dalam diri setiap pelajar menjadi perkara utama. Dan perkara ini tidak dapat diukur dengan kecemerlangan di dalam peperiksaan semata-mata. Ia perlu dinilai secara holistik untuk memastikan sistem pendidikan
Semua pihak juga harus mempertimbangkan kebajikan dan kepentingan pelajar luar bandar. Mereka seharusnya diberikan ruang dan peluang untuk turut sama bersaing secara sihat dan adil bersama rakan-rakan pelajar di bandar. Dengan permasalahan kemudahan, kekurangan guru, kemiskinan dan lain-lain yang masih membelenggu sekolah-sekolah kawasan pedalaman, nyata para pelajar luar bandar harus berlari lebih laju untuk mengejar A1. Sekiranya persaingan merebut A1 ini dijadikan amalan, tentu sahaja tidak adil bagi pelajar luar bandar yang terpaksa mengahrungi segala kekurangan berbanding pelajar bandar yang menikmati segala kemudahan yang sudah sedia ada.
Maka, tentu sekali cadangan yang diutarakan adalah amat wajar. Namun masih perlukan pertimbangan secara serius. Apa-apa keputusan oleh pihak berwajib seharusnya ditetapkan hanya selepas perbincangan bersama rakyat yang mempunyai kepakaran daripada pelbagai latarbelakang untuk menilai baik atau buruk sesuatu cadangan. Supaya tidak ada lagi keputusan-keputusan yang bersifat autokratik bagi menyahut seruan Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang menyatakan, ”the time for government knows best has end”.
Comments