JANGAN BENARKAN CHIN PENG BALIK

Berita Harian, 27 Mei 2009

Malaysiakini

Saya bukanlah mangsa kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) secara langsung. Tetapi, saya memahami kesengsaraan mereka yang hidup ketika era keganasan PKM. Mereka hidup di dalam ketakutan di tanah air sendiri akibat ideologi komunisme yang didukung oleh PKM. Tempoh masa di antara pengunduran Jepun dan kembalinya British ke Tanah Melayu telah menunjukkan belang sebenar PKM yang juga dikenali dengan gelaran Bintang Tiga. Chin Peng lah yang mula menggerakkan PKM secara radikal untuk mencapai matlamat penubuhan sebuah Republik Komunis Malaya.

Benar bahawa PKM menentang musuh imperialis yang sama dengan arus perdana perjuangan kemerdekaan negara dahulu. Tetapi adakah tepat untuk kita katakan bahawa PKM menyumbang di dalam perjuangan kemerdekaan negara? Menentang musuh yang sama tidak semesti melayakkan PKM untuk dijolokkan sebagai pejuang kemerdekaan negara. Lebih-lebih lagi dengan perjuangan kemerdekaan ala PKM yang turut menjadikan rakyat sebagai mangsa. Memeras dan memaksa rakyat untuk mengikut telunjuk dan memenuhi kehendak mereka demi mengangkat idelogi komunisme yang mereka dukung.

Arus perdana perjuangan kemerdekaan negara menyaksikan betapa tokoh-tokoh pejuang kemederkaan negara berkorban jiwa dan raga menentang kuasa imperialis demi mendaulatkan agama, bangsa dan tanah air tanah tumpah darah kita. Mereka tidak dijanjikan apa-apa imbuhan dan tidak pula mengejar apa-apa gelaran. Tidak pula mereka menjadikan rakyat sebagi korban semata di dalam mencapai matlamat perjuangan kemerdekaan yang mereka terajui. PKM pula di bawah kepimpinan Chin Peng pula telah melakukan yang sebaliknya.

Apa relevannya cadangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang untuk membenarkan Chin Peng dibenarkan balik ke Malaysia? Sudah ribuan tentera dan polis Malaysia terkorban di dalam membanteras keganasan PKM yang diterajui Chin Peng. Ribuan juga yang menjadi janda, duda dan yatim piatu. Adapun yang bernasib baik untuk terus hidup, tetapi terus dihantui dengan bayang-bayang PKM. Tidak kurang juga yang menjadi cacat anggota badan akibat keganasan yang PKM lakukan.

Apakah kita tidak menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang borkorban diri demi keamanan dan keharmonian tanah air yang dicintai? Kesanggupuan kita untuk merelakan Chin Peng kembali ke Malaysia hanya akan menghiris perasaan mereka yang berkorban demi negara menentang keganasan PKM. Seolah-olah pengorbanan mereka tiada makna kerana merelakan ikon PKM yang dahulunya ditentang kerana jenayahnya terhadap kemanusiaan di tanah air ini, dibenarkan kembali mencium tanah Malaysia ini.

Cadangan yang katanya dibuat atas dasar kemanusiaan, sebenarnya adalah tidak berasas. Atas dasar kemanusiaanlah maka seharusnya Chin Peng dihalang daripada kembali ke Malaysia. Dengan rekod jenayah terhadap kemanusiaan oleh Chin Peng ketika memimpin PKM di Tanah Melayu dahulu sehingga merebak ke Borneo, apakah boleh penjenayah sebegini dimaafkan atas dasar kemanusiaan? Dengan membuang Chin Peng ke luar negara sudah cukup baik bagi Chin Peng yang seharusnya menerima hukuman yang paling berat atas apa yang telah dilakukannya terhadap generasi terdahulu.

Dan alasan bahawa Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada Malaysia adalah tidak benar. Sejauh manakah kita boleh mengukurnya? Chin Peng sebagai simbol PKM mempunyai nilai ancaman tersendiri sekalipun PKM sudah terkubur. Kembalinya Chin Peng ke Malaysia akan menjadikannya sebagai seorang personaliti yang ditokohkan oleh segolongan pihak yang buta dengan sejarah Malaysia. Tidak mustahil dengan kembalinya Chin Peng, maka fahaman komunisme akan mula bertapak dan mengukuh. Ini tentu sahaja membahayakan keselamatan negara. Apatah lagi dengan dengan kemajuan teknologi maklumat hari ini, generasi muda menjadi kelompok sasar yang paling mudah terpengaruh lebih-lebih lagi dengan beberapa sudut kelemahan pengajaran dan kesan pemebelajaran subjek sejarah Malaysia di kalangan generasi muda.

Bersyukurlah dengan kemerdekaan Tanah Melayu dan penubuhan Malaysia, kita mencipta kemerdekaan kita dengan acuan tersendiri. Tidak dengan radikalisme komunisme Chin Peng dan tidak pula menjadi boneka British. Generasi muda harus sedar dan insaf terhadap sejarah masa lalu. Jangan sampai model negara acuan arus perdana perjuangan kemerdekaan yang lalu terkubur kerana buta dan kejahilan kita generasi hari ini.

*penulisan ini adalah kenyataan peribadi dan tidak sebagai mewakili Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

____________________________________________________________________

sila klik di sini untuk ke pautan yang dikirimkan ke emel saya sebagai maklumat tambahan oleh rakan maya yang tidak saya kenali.

Comments

sepatutnya chin peng dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah perang..
hahaha