Diari Lawatan PERKEPIS ke Borneo Utara: Satu Catatan Perjalanan & Perasaan
Pertemuan dengan Pelajar Islam Sarawak
- IPGM Kampus Gaya
Hari pertama kehadiran saya di sana telah dimanfaatkan sebaiknya untuk bertemu dengan wakil-wakil pelajar Islam Sarawak yang menyambung pengajian di IPGM Kampus Gaya yang terletak di dalam Bandaraya Kota Kinabalu. Pertemuan dengan Sdr. Safwandy, Aidi, Sdri. Nadzirah, Nooraminie dan Zulaiha berlangsung lebih kurang sejam. Perbincangan lebih menjurus kepada jalinan ukhuwwah dan kebajikan serta akademik mereka.
Saya menaruh harapan dan kepercayaan kepada Sdr. Safwandy, memula dan mengetuai untuk merealisasikan projek yang saya gagaskan untuk kebajikan pelajar Islam Sarawak di Borneo Utara. Saya percaya orang muda perlu diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan diri sendiri dengan sokongan dan dukungan orang lama. Saya mohon maaf kerana tidak dapat memaklumkan projek tersebut di dalam penulisan untuk bacaan umum ini.
- Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Hari kedua saya manfaatkan untuk bertemu dengan wakil-wakil pelajar Islam Sarawak yang menyambung pengajian di UMS. Saya bertemu dengan Sdr. Shah dan Mazelan selama lebih kurang 45 minit juga tidak lari daripada jalinan ukhuwwah dan perbincangan tentang kebajikan serta akademik mereka. Saya terharu dengan kisah kesungguhan Sdr. Shah untuk mendalami Islam sehingga membawanya kepada pengucapan dua kalimah syahadah. Sepanjang pengislamannya, Sdr. Shah tidak bergantung harap kepada institusi yang disediakan untuk membimbing mu'allaf sepertinya, tetapi berusaha sendiri untuk memastikan dirinya dilengkapi dengan pendidikan dan penghayatan Islam dengan bimbingan dua keluarga angkatnya.
Hati saya agak tercuit mendapat tahu Sdr. Mazelan beraal daripada Kampung Mang, Semarahan. Saya terkenang memori Kem Berambeh Selasih 4 di Kem Herba, Sg. Congkak, Hulu Langat, Selangor tempoh hari yang telah memperkenalkan kami dengan Sdr. Tarmizi yang turut berasal daripada kampung yang sama. Tambahan pula kesempatan saya untuk mengenalpasti lokasi kampung tersebut di dalam perjalanan lawatan saya ke Sadong Jaya tempoh hari.
- Kolej Matrikulasi Labuan (KML)
Saya berasa agak terkilan kerana terpaksa membatalkan lawatan saya ke Wilayah Persekutuan Labuan untuk bertemu dengan pelajar-pelajar Islam Sarawak yang menyambung pengajian di KML. Lawatan tersebut terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir berikutan status institusi tersebut yang sedang dikuarantin kerana penularan pandemik H1N1. Tambah terkilan apabila tarikh kuarantin tamat pada tarikh saya berlepas pulang ke Kuching, Sarawak. Lawatan yang telah direncakan lebih dua bulan lepas, saya akur kepada rencana Allah yang lebih hebat.
Namun, saya berterima kasih kepada Sdr. Nadzry, Arif dan Sdri. Hartini yang punya kepedulian untuk mengambil tahu dan mahu untuk menjayakan lawatan ini. Sekalipun hajat tidak kesampaian, saya ucapkan InshaAllah di lain masa. Dengan semangat kesungguhan dan kejelasan cita-cita, generasi muda Islam pasti berjaya di dunia dan akhirat dan kita akan mulakan bersama di Labuan, InshaAllah!
- Bertemu Ahli UsrahSaya amat gembira bertemu dengan ahli usrah yang tidak pun lama bersama PERKEPIS ketika berada di Kuching semasa menghadiri perkampungan untuk pelajar tajaan Yayasan Sarawak. Tetapi, sungguh tidak disangka, sekalipun hanya sekejap cuma, Sdr. Afyan berulang kali menzahirkan kerinduannya untuk bersama ahli keluarga PERKEPIS di Sarawak. Saya mula mengenalinya pada tahun 2006 di dalam program Kem Motivasi Insan Cemerlang PMR 2006 yang berlangsung di Miri. Sdr. Afyan kelahiran Sabah menyambung pengajian menengahnya di Kolej Tunku Haji Bujang ditaja di bawah Yayasan Sarawak di dalam program pertukaran pelajar antara Yayasan Sarawak dan Yayasan Sabah.
Perkenalan itu membawa kepada satu hubungan usrah yang berpanjangan hingga ke hari ini. Jika dahulu saya sebagai fasilitator dan Sdr. Afyan sebagai peserta, kini kami di tapak yang sama sebagai aktivis gerakan ini berjuang seduduk dan sediri. Sesungguhnya amat indah ukhuwwah yang terjalin di jalan Allah ini. Melihat adik-adik usrah berkembang dari semasa ke semasa dari kerusi peserta ke kerusi aktivis gerakan dan inshaAllah dari kefanaan dunia ke kekealan akhirat bersemadi dengan bahagia di syurga-Nya. Ia merupakan suatu perkara yang amat mengaharukan. Ya Allah, Kau ikhlaskanlah niatku, lahirkanlah dariku zuriat yang menyambung perjuangan Rasul KekasihMu demi agamaMu tinggi mulia di duniaMu untuk Kau terima kami dengan senyumMu di akhirat sana… Amin.
- Bertemu Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah
Pada hari kedua saya di sana, saya diberikan ruang dan peluang oleh pimpinan ABIM dan SISMA Sabah untuk memberikan pengisian sekitar tajuk 'Makna Pengakuan Diri Sebagai Hamba dan Khalifah' di samping turut berkongsi pengalaman untuk dijadikan sebagai peringatan buat mereka di dalam kehidupan terlibat dengan gerakan ini. Saya sempat bertemu dan mendengar pengisian daripada Sdr. Abdul Manap, YDP ABIM Sabah sekitar ayat 1 hingga 4 Surah As-Saff yang sememangnya cukup popular di dalam dunia gerakan Islam.
Saya ingatkan mereka, bahawa saya seorang yang kasar dalam penyampaian dan tegas dalam pendirian, jadi harap bersabar mendengar luahan hati saya kerana saya mahu yang menerima adalah hati mereka. Jangan anggap dirimu besar kerana yakin dengan wasilahmu dan menyalahkan wasilah yang lain, ingatlah hanya satu jemaah yang diterima Allah, dan 72 yang lain duduknya di neraka dan jemaah itu adalah kita, jemaah umat Islam di dalam pegangan akidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Kau bukan ahli neraka kerana menjadi ahli UMNO dan bukannya juga kau ahli syurga hanyasanya kau ahli PAS. Kau bukan betul kerana kau di dalam JIM dan salah kerana kau ABIM. Wasilah dengan pendekatan berbeza, matlamat kita tetap sama. Asal kita di dalam panduan syara' inshaAllah kita sampai ke dalam rahmat dan redha Allah dalam perjalanan menuju cita-cita Islam dengan menerima makna diri sebagai hamba Allah dan khalifah dunia.
Kembara Masjid
Sepanjang di sana, saya berkesempatan untuk menunaikan solat di beberapa masjid yang menjadi syiar Islam di negeri di bawah bayu itu. Saya menunaikan solat Jumaat pada hari kedua di Masjid Negeri Sabah yang bersebelahan dengan pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di tengah Bandaraya Kota Kinabalu. Tiada kelainan ketara berbanding suasana Jumaat di mana-mana tempat yang pernah saya jejakkan kaki.
Petang hari yang sama, saya solat 'Asr di Masjid UMS yang tersergam indah di atas bukit dalam perkarangan institusi tersebut. Menariknya, berhadapan dengan masjid tersebut, saya boleh melihat terus 1 Borneo yang menjadi kebanggaan Sabah sebagai "the biggest lifestyle shopping center in East Asia". Senyum sendiri, saya terfikir ke mana agaknya mahasiswa UMS habiskan masa senggang mereka?
Pada hari yang sepatutnya saya ke Wilayah Persekutuan Labuan, saya dibawa bersiaran di sekitar Kota Kinabalu. Dari Putatan ke Likas, tidak jauh tetapi mencukupi. Saya solat Zuhr di Masjid Bandaraya yang dibina dengan konsep 'atas air' yang letaknya di Teluk Likas berhadapan dengan lautan yang terbentang luas. Malamnya pula berkesempatan hadir ke kenduri arwah di rumah salah seorang ahli keluarga Sdr. Zikri di Petagas. Perjalanan balik malam itu, saya dibawa bersiaran di Tanjung Aru yang popular di kalangan muda-mudi di Kota Kinabalu.
Sepanjang lawatan di sana, saya banyak berbincang dengan ahli-ahli keluarga gerakan di sana berkisar tentang sejarah dan perkembangan Islam, isu-isu semasa tempatan di samping turut berkongsi fikir dan rasa tentang prinsip dan dasar gerakan yang diceburi ini. Semakin besar keluarga gerakan ini, semakin mencabar perjalanan perjuangan yang kia tempuhi samada di dalam mahupun luar. Kerana itu, kita sebagai ahli gerakan ini perlu sentiasa bersangka baik sesama ahli segerakan dan sentiasa berjiwa besar mengutamakan kepentingan gerakan dan jemaah Islam melampaui kepentingan diri.
Saya tertarik dengan apabila salah seorang aktivis SISMA Sabah memaklumkan saya bahawa mereka baharu sahaja berbincang tentang usaha untuk menjadi Sabah bukan lagi sebagai negeri di bawah bayu tetapi sebagai negeri di bawah 'Wahyu'. Semoga Allah permudahkan urusan mereka dan kita bersama.
Kembara Buku
Sudah menjadi kebiasaan saya untuk tidak melepaskan peluang untuk memburu buku di kedai-kedai buku tempat lawatan saya. Agak susah untuk membuang kebiasaan ini apabla sudah menjadi tabiat. Saya kira saya telah mengabiskan sekitar RM 250.00 untuk buku-buk yang saya beli di sana. Buku-buku yang terdapat di kedai-kedai buku seperti Harris (1 Borneo) dan Times (Wisma Warisan) agak mengujakan. Buku Where Have All The Leaders Gone? karangan Lee Iacocca yang selama ini saya temui harganya tidak pernah jatuh di bawah paras RM 90.00 ++, saya temui di Harris dengan harga serendah RM 20.00 ++!
Selain itu, saya temui juga beberapa siri buku baru yang sememangnya cocok dengan minat dan kecenderungan saya di Times dan Harris. Saya membeli empat buku Introducing Ethics, Philosophy, Post-Modernisme & Logic: A Graphic Guide di samping buku Latest Answer to the Oldest Question.
Saya teruskan juga kembara buku saya di kedai buku Penguin yang terletak di tengah Bandaraya Kota Kinabalu dan akhirnya menamatkan kembara saya di kedai buku Books and Magazines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Saya terkesima sebenarnya ketika mula menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Cukup gah, cukup indah. Tentu sahaja akan menadi pintu kemasukan merancakkan pelancongan di Sabah.
Di dalam perjalanan kembara buku saya, saya mellaui banyak bangunan-bangunan besar di Kota Kinabalu. Sdr. Salim memaklumkan saya bahawa pusat-pusat membeli belah tumbuh bagai cendawan di sana. Ada usaha untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai hentian membeli-belah antarabangsa. Suria KK yang dalam pembinaan, KK Times, dan pelbagai lagi memang menampakkan kerancakan Bandaraya tepi laut itu cukup memikat. Sungguh memang seperti berlaku perlumbaan di sana untuk membina pusat membeli-belah terbesar, termoden, terindah dan segala macam. Cuma saya tertanya-tanya, bersediakah rakyat Sabah menerima pembangunan yang tentunya membawa masuk pelancong dengan segala macam budaya dan pemikiran yang akan dicerminkan kepada mereka?
Khatimah
Saya kira, PERKEPIS dan SISMA perlu punya hubungan yang lebih rapat. Pertemuan di dalam ziarah amat perlu untuk membuka pelbagai ruang dan peluang yang ada. Jaringan sememangnya cukup penting lebih-lebih lagi di di dalam gerakan yang sama itu sendiri. Mengimani ayat ke-4 surah As-Saff, kita harus bergandingan bahu sebagai satu benteng yang kukuh mendepani segala macam fitnah yang tidak henti-henti timbul masa kini.
Keperluan kerjasama PERKEPIS dan SISMA amat mendesak dengan perkembangan semasa dakyah-dakyah sesat dan kuffar yang semakin hebat dan menggasak di kepulauan Borneo ini. Jiwa-jiwa generasi muda Islam perlu dibangunkan segera. PERKEPIS dan SISMA lah yang perlu memikul amanah ini. Tanpa perlu disuruh, amanah ini perlukan usaha proaktif dan reaktif dengan kesungguhan kita yang tidak mudah diluntur dengan hinaan mahupun pujian.
Aktivis-aktivis PERKEPIS dan SISMA perlu sedar, gerakan ini bukan kelab-kelab biasa seperti kelab berbasikal mahupun kelab fasilitator. Kita menjadi da'ie yang punya tanggungan fardhu kifayah yang berat dan besar, menyambung misi nubuwwah dan kerasulan Sayyidina Muhammad Rasulullah s.a.w. Kita tampil sebagai jurubicara umat, kita bangun sebagai pejuang kebenaran dan keadilan, kita hadir sebagai penyeru seruan Tauhid. Kita lah generasi yang mencorak Islam di masa hadapan. Rosaknya generasi kita, rosaklah kita hanyut dibuai dunia jauh daripada Islam.
Siapa lagi yang kita harapkan? Bila lagi kita mahu mulakan?
Oleh:
Khairul Anwar Shazali
Yang Di-Pertua PERKEPIS
Comments