Kala Israel Menyerang Lagi...


"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah; "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)". Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong  dari Allah" (al-Baqarah, 2:120)

Serangan Israel ke atas konvoi keamanan yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza merupakan suatu kecelakaan yang dijangka. Ayat-ayat "Israel sudah melampau", "Israel has cross the line" mahupun "Israel jahanam" sudah lapuk dan basi. Kerana sememangnya semenjak kewujudan negara haram Israel itu pun, segala tindak tanduk mereka seiring dengan ayat yang dinukilkan di atas. Kelampauan Israel sememangnya diduga dan ini adalah risiko yang dijangka oleh konvoi keamanan tersebut.

Cemuhan dan kutukan daripada pemimpin-pemimpin dunia khususnya negara kuasa besar yang empunya veto pun tidak diendahkan oleh Israel, apatah lagi demonstrasi-demonstrasi jalanan, petisyen-memorandum atau rundingan damai. Israel punya pelan strategik yang telah direncana untuk dipatuhi dan dilaksanakan sebaik mungkin.

Isu konflik Israel-Palestin ini bukan isu yang baru. Ia seolah telah menjadi satu kebiasaan umum yang semakin diterima dengan rela. Masyarakat dunia hilang rasa peduli dengan isu ini kerana merasakan ia adalah isu yang tidak boleh dibendung dengan kedegilan Israel dan ketegasan dunia Islam. Kehilangan kepedulian ini menjadikan dunia menerima seadanya dan bersedia dengan respon biasa acap kali klimaks konflik yan berlarutan ini timbul dan tenggelam. Kerana kemuakan terhadap isu yang kelihatannya tiada nampak hujungnya.

Apa kita tidak memahami lagi sikap dan sifat Israel? Satu langkah signifikan yang keluar daripada kebiasaan di dalam menangani isu ini harus dilaksanakan bukan hanya oleh Palestin tetapi juga oleh seluruh kekuatan dunia Islam. Langkah yang telah lama dijerit dan diusahakan dengan tulang empat kerat rakyat Palestin namun tidak mendapat sokongan negara-negara dunia Islam. Intifadha demi intifadha dilancarkan namun, Palestin akan kekal seperti sekarang tanpa keterlibatan langsung negara-negara dunia Islam. Tapa apa daya negara-negara dunia Islam yang masih punya untung dan kepetningan dengan Israel?

Israel sudah tidak kenal akan keamanan kerana mereka yang menaja keganasan. Israel sudah tidak kenal keadilan kerena mereka yang mempromosikan kezaliman. Israel sudah tidak kenal agama dan moral etika kehidupan kerana mereka hidup di atas dunia tanpa sistem nilai.

Dunia Islam tidak punya kesatuan kerana masih punya untung dan kepentingan untuk disimpan. Dunia Islam tidak punya kekuatan kerana masih lupa akan ilmu peradaban. Dunia Islam tidak punya nilai kerana kerana tidak menjadikan Kalam Allah dan Sunnah Rasulullah sebagai ikutan.

Nah, tamat kisah serangan ke atas konvoi keamanan ini, klimaks baru konflik Israel-Palestin kita nantikan. Dan semuanya berulang menjadi tayangan.

Comments