Tiada Makna Lagi ke Kuala Lumpur...
Seawal pagi ini menerima berita sedih dari seberang melalui status sahabat-sahabat di dalam facebook. Yang dimuliakan Shaikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki akan berangkat ke Mesir untuk melanjutkan pengajian. Sungguh pun tidaklah saya menjadi murid yang taat dan setia, tapi sepanjang pemergiannya ini tentu sahaja menghilangkan makna buat saya ke Kuala Lumpur...
Selepas saya kembali ke Kuching, Sarawak sejak Ogos tahun lepas, tidaklah saya pernah melepaskan peluang untuk hadir menziarahi beliau di dalam kuliahnya di Ampang setiap kali saya berkesempatan untuk ke Kuala Lumpur. Kali terakhir saya ke Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lepas, saya terkilan kerana tidak berkesempatan berjabat tangan dan mencium tangannya. Rindu padanya tidak terubat sepenuhnya. Berniat untuk menjemput beliau ke Kuching, Sarawak untuk menyampaikan mutiara hikmahnya di dalam Majlis Sambutan Isra' wa Mikraj, namun tertahan oleh simpati pada beliau yang terpaksa bertongkat kerana masih diuji dengan kesihatannya yang agak terganggu.
Saya teringat pada suatu pepatah yang entah saya kutip dari mana. "Kita tidak akan menghargai sesuatu sehingga kita kehilangannya". Kembalinya yang dimuliakan Habib Abdul Qadir as-Saqqaf dan Habib Ali Jaafar al-Aidrus ke rahmatullah telah membuka satu persatu kemuliaan dua sosok tokoh ini yang menimbulkan penghargaan setinggi-tingginya kepada mereka berdua. Alangkah baik sekiranya penghargaan selayaknya saya berikan pada mereka berdua ketika mereka masih lagi bernyawa.
Ini pula dengan pemergiaan yang dimuliakan Shaikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki untuk menyambung pengajian. Tentu sahaja baharu terasa kerugian yang berat kerana sifat murid ini yang nakal dan tidak berdisplin kepadanya. Saya mengenali sosok tokohnya agak lewat. Di penghujung pengajian saya di UIAM baharulah terbuka hati untuk ke kuliah-kuliahnya. Tiadalah saya berharap untuk merugikan diri sendiri kerana gagal menghargai beliau selayaknya semasa kehidupannya ini. Satu-satunya perkara yang saya kesali apabila meninggalkan Kuala Lumpur untuk kembali ke Kuching, Sarawak adalah meninggalkan beliau. Apalah lagi maknanya untuk saya ke Kuala Lumpur sekiranya beliau tiada lagi di sana?
Ya tentu sahaja ada kuliah-kuliah yang lain akan sentiasa berlangsung sekalipun beliau tiada lagi di sana. Saya doakan tiadalah ditarik akan Kuala Lumpur itu daripada sifatnya sebagai pusat keilmuan tempat berhimpun segala macam ulama' dan cendikiawan. Namun, tanpa beliau, tentu sahaja akan dirasai kelompongannya jua.
Semoga Allah permudahkan segala urusan buat Shaikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki sepanjang beliau menyambung pengajiannya di bumi Mesir dan kembali secepatnya ke Malaysia untuk mendidik dan memimpin kami kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.
Comments